Latar belakang
Parut adalah tanda yang tertinggal pada kulit selepas luka atau kecederaan telah sembuh, contohnya, selepas pembedahan atau selepas terbakar. Kebanyakan parut akan pudar dan menjadi lebih pucat dari masa ke masa, tetapi beberapa parut menjadi merah dan menaik (dipanggil parut hipertrofik). Parut hipertrofik mungkin mengambil beberapa tahun untuk menjadi rata dan pudar.
Parut boleh menjadi gatal, sakit atau hodoh, dan boleh menyekat pergerakan. Parut boleh menjejaskan orang secara fizikal dan emosi, dan boleh menjejaskan sejahteraan seseorang.
Rawatan-rawatan bertujuan untuk menambahbaik penampilan parut dan menjadikannya kurang jelas kelihatan. Ia termasuk: memakai pakaian yang melekap pada kulit (pakaian bertekanan); rawatan diaplikasikan pada parut; terapi laser dan lembaran gel silikon.
Lembaran gel silikon adalah balutan luka lembut yang mengandungi silikon elastik. Ia mempunyai tekstur yang lembut dan bergetah dan melekat pada kulit. Ia biasanya digunakan pada kulit yang menyembuh untuk membantu melembutkan dan meratakan parut hipertrofik.
Apakah yang ingin pengulas ketahui?
Dalam Ulasan Cochrane ini, pengulas ingin mengetahui seberapa baik lembaran gel silikon berkesan dalam merawat parut hipertrofik.
Kaedah pengulas gunakan
Mereka mencari kajian-kajian yang menyiasat penggunaan lembaran gel silikon untuk merawat parut hipertrofik. Mereka hanya mencari kajian-kajian rawak terkawal, yang mana rawatan diterima setiap orang dipilih secara rawak. Kajian-kajian ini memberi bukti yang paling boleh dipercayai mengenai kesan-kesan rawatan.
Apa yang mereka temui
Mereka menemui 13 kajian dengan 468 orang (425 daripadanya menlengkapkan kajian) dengan parut hipertrofik disebabkan oleh pembedahan, kecederaan, terbakar atau melecur. Kajian-kajian itu membandingkan kesan-kesan lembaran gel silikon dengan: yang tidak diberi rawatan dengan lembaran gel silikon; memakai pakaian tekanan; mengaplikasikan gel silikon atau ekstrak bawang; balutan poliuretana; suntikan steroid; terapi laser; cahaya denyutan kuat atau Gecko Nanoplast (pembalut silikon gel).
Semua kajian dilakukan di hospital, di Eropah (6 kajian), China (2), Amerika Syarikat (1), Kanada (1), Iran (1), Turki (1) dan India (1). Kajian mengambil masa yang berbeza: dari 3 bulan hingga 12 bulan.
Empat kajian melaporkan penilaian-penilaian parut oleh profesional penjagaan kesihatan dengan cara yang dapat digunakan untuk ulasan ini. Tiada kajian melaporkan keputusan yang berguna untuk penilaian kendiri oleh seseorang terhadap parut mereka selepas rawatan.
Tiada kajian melaporkan keputusan yang berguna untuk kesejahteraan seseorang (kualiti hidup): sama ada orang kekal dengan rawatan (kepatuhan), sama ada rawatan-rawatan itu mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini; atau sama ada rawatan-rawatan itu kos-efektif (manfaat rawatan melebihi sebarang kos tambahan).
Kajian-kajian itu tidak memberikan maklumat yang mencukupi untuk membandingkan lembaran gel silikon dengan suntikan steroid, terapi laser atau cahaya berdenyut.
Apakah keputusan utama ulasan mereka?
Lembaran gel silikon mungkin meningkatkan sedikit penampilan parut hipertrofik berbanding dengan ekstrak bawang. Pengulas tidak pasti sama ada lembaran gel silikon meningkatkan penampilan parut lebih baik daripada tanpa rawatan lembaran gel silikon, atau gel silikon, atau poliuretana.
Lembaran gel silikon mungkin mengurangkan tahap kesakitan berbanding dengan pakaian tekanan. Lembaran gel silikon juga mungkin menyebabkan sedikit pengurangan tahap kesakitan berbanding dengan tanpa rawatan lembaran gel silikon. Pengulas tidak pasti sama ada lembaran gel silikon mengurangkan kesakitan berbanding dengan pelekat propilena glikol dan lembaran hidroksietil selulos. Bukti juga sangat tidak pasti mengenai kesan lembaran gel silikon terhadap kesakitan berbanding dengan Gecko Nanoplast.
Kepastian terhadap bukti
Kepastian (keyakinan) pengulas terhadap bukti adalah rendah, atau sangat rendah. Bukti yang mereka temui datang dari beberapa kajian (kadang-kadang hanya satu), sering dengan jumlah orang yang kecil, dengan keputusan yang dilaporkan dengan buruk, maka mereka tidak pasti sejauh mana keputusan-keputusan ini boleh dipercayai. Oleh itu pengulas berpendapat kesimpulan mereka berkemungkinan akan berubah jika keputusan dari kajian-kajian lebih lanjut tersedia.
Kesimpulan
Pengulas tidak pasti mengenai sama ada lembaran gel silikon berfungsi lebih baik daripada kebanyakan rawatan lain untuk parut hipertrofik. Lembaran gel silikon mungkin meningkatkan penampilan parut sedikit berbanding dengan penggunaan ekstrak bawang, dan mungkin mengurangkan kesakitan berbanding dengan tanpa rawatan lembaran gel silikon atau pakaian tekanan.
Tarikh carian
Ulasan ini menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga 21 April 2021.
Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my