Apakah faedah dan risiko bagi inovasi bahan dan reka bentuk kateter (tiub plastik nipis yang menyampaikan ubat dan darah melalui urat) untuk mengurangkan komplikasi dan jangkitan yang menyebabkan kegagalan kateter pramatang?

Mesej utama

Kateter pusat yang dimasukkan secara periferi (PICC) sering dikaitkan dengan komplikasi serius, kadar kegagalan yang tinggi, dan kesan negatif bagi pesakit dan sistem penjagaan kesihatan.

Terdapat kurangnya bukti kukuh untuk menilai faedah dan risiko reka bentuk dan bahan PICC (cth. silikon berbanding poliuretana) untuk mencegah komplikasi, jangkitan, dan, kegagalan kateter.

Penyelidikan masa depan dalam bidang ini harus memberi tumpuan kepada keberkesanan bahan kateter yang diubahsuai permukaannya (penghalang pembekuan darah), salutan anti bakteria (penghalang anti-jangkitan), dan perkembangan baru dalam reka bentuk kateter (cth. kateter poliuretana dengan injap tekanan) untuk mengurangkan kegagalan kateter, serta melihat sebarang kesan yang tidak diingini dari rawatan ini.

Apakah kateter pusat yang dimasukkan secara periferi, dan untuk apa ia digunakan?

PICC ialah tiub yang dimasukkan ke dalam urat vena periferi dengan hujung kateter menuju ke urat pusat pada orang dewasa dan kanak-kanak yang memerlukan rawatan perubatan seperti cecair, produk darah, atau ubat-ubatan. Peranti perubatan invasif ini biasanya dimasukkan pada pesakit yang memerlukan terapi yang memudaratkan pada urat periferi yang lebih kecil dan/atau bagi mereka yang memerlukan terapi selama lebih dari tujuh hari.

PICC biasanya dirumitkan oleh jangkitan, kateter tersumbat, dan rosak. Komplikasi ini membawa kepada kegagalan peranti, pembuangan, dan gangguan rawatan perubatan.

Kegagalan PICC yang memerlukan kemasukan semula PICC dikaitkan dengan peningkatan komplikasi dan peningkatan kerumitan prosedur akibat perubahan anatomi pembuluh darah. Dalam kalangan kanak-kanak, penempatan PICC seterusnya dikaitkan dengan peningkatan risiko pembekuan pada urat pembuluh dalam.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada bahan PICC yang berbeza (dari bahan apa PICC dibuat) atau reka bentuk (cth. injap atau tanpa injap) mengurangkan berlakunya komplikasi PICC dan kegagalan peranti.

Apakah yang kami lakukan?

Kami menjalankan carian di pangkalan data perubatan sehingga 16 Mei 2023 untuk kajian rawak terkawal (sejenis kajian di mana peserta ditugaskan secara rawak ke salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang membandingkan bahan dan reka bentuk PICC yang berbeza pada pesakit dari sebarang umur.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 12 kajian (termasuk kira-kira 2913 peserta) tentang bahan dan reka bentuk kateter yang berbeza yang digunakan untuk mencegah komplikasi dan jangkitan kateter. Secara keseluruhan, tidak ada maklumat yang mencukupi untuk menentukan bahan atau reka bentuk kateter apa yang harus digunakan untuk mencegah komplikasi kateter seperti pembekuan darah dan jangkitan kateter.

Terdapat kemungkinan pengurangan risiko kateter rosak atau gagal apabila kateter yang mempunyai hujung terbuka digunakan. Penggunaan injap depan juga boleh sedikit mengurangkan risiko kateter rosak atau gagal. Lebih banyak penyelidikan diperlukan dengan kumpulan kajian yang lebih besar untuk mengesahkan sama ada bahan dan reka bentuk PICC yang berbeza berkesan untuk mencegah komplikasi dan jangkitan. Pesakit harus berbincang dengan doktor mereka mengenai bahan dan reka bentuk kateter yang berbeza yang ada, dan mana yang terbaik untuk mereka berdasarkan keperluan dan risiko individu mereka.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak yakin dengan bukti kerana kebanyakan kajian adalah kecil (kurang daripada 300 orang) dengan sedikit kejadian komplikasi. Terdapat keperluan untuk kajian dengan beratus-ratus atau bahkan ribuan orang disertakan untuk mengetahui sama ada bahan atau reka bentuk kateter ini membantu mencegah komplikasi dan jangkitan. Selanjutnya, kaedah yang digunakan untuk menetapkan peserta secara rawak kepada kumpulan rawatan dan pembutaan penilai hasil terhadap rawatan yang diterima tidak didokumentasikan dengan baik dan harus diperbaiki dalam kajian masa depan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 16 Mei 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Solihin bin Zahari (RCSI UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin, Universiti Sains Malaysia.

Tools
Information