Intervensi berasaskan humor untuk penghidap skizofrenia

Soalan ulasan

Adakah intervensi berasaskan humor berkesan dalam merawat penghidap skizofrenia?

Latar belakang

Skizofrenia merupakan penyakit mental yang serius. Ia merupakan gangguan pemikiran, iaitu kepercayaan palsu yang kukuh walaupun terdapat bukti yang berlawanan, hilang hubungan dengan realiti, dan persepsi yang berubah. Gejala ini dikelaskan sebagai (i) gejala positif, seperti pertuturan yang bercelaru, ilusi atau idea berterusan yang salah; dan (ii) gejala negatif, seperti kekurangan emosi atau kuantiti pertuturan yang terhad; dan penurunan dalam fungsi kognitif, termasuk tumpuan, ingatan dan kawalan tingkah laku. Rawatan utama untuk skizofrenia adalah ubat antipsikotik. Rawatan berasaskan humor sebagai intervensi, seperti menonton filem jenaka, video lucu, atau komedi, telah dicadangkan sebagai rawatan tambahan yang menggalakkan kesihatan dan kesejahteraan dengan merangsang penemuan yang menggembirakan, ekspresi atau penghargaan terhadap situasi kehidupan yang tidak rasional atau berubah-ubah.

Pencarian bukti

Kami menjalankan carian elektronik pada Februari 2021 untuk kajian yang merawakkan pesakit skizofrenia yang menerima intervensi berasaskan humor sebagai tambahan kepada penjagaan biasa, atau menerima penjagaan biasa sahaja, intervensi psikologi lain atau keadaan kawalan. Kami menemui lapan rekod dan menyemak kesesuaiannya untuk dimasukkan dalam ulasan kami.

Bukti yang ditemui

Tiga kajian memenuhi syarat-syarat ulasan dan dua kajian berkualiti rendah (jumlah peserta = 96) memberikan data yang boleh digunakan. Berbanding dengan kawalan aktif, intervensi berasaskan humor mungkin tidak memperbaiki gejala positif dan kebimbangan, tetapi boleh memperbaiki gejala kemurungan. Walau bagaimanapun, apabila dibandingkan dengan penjagaan piawai, intervensi berasaskan humor mungkin tidak memperbaiki gejala kemurungan. Bukti semasa adalah sangat terhad dan berkualiti rendah hingga sangat rendah. Kami tidak pasti sama ada intervensi berasaskan humor boleh membawa kepada penambahbaikan yang penting secara klinikal dalam keadaan mental atau kualiti hidup pada penghidap skizofrenia.

Kesimpulan

Bukti penyelidikan adalah tidak mencukupi untuk menyokong penggunaan intervensi berasaskan humor pada penghidap skizofrenia.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information