Apakah isunya?
Pesakit yang memerlukan mesin untuk menyokong pernafasan tidak boleh bercakap disebabkan tiub yang menghantar gas ke paru-paru melalui kotak suara mereka. Pesakit menggunakan kata mulut, gerak isyarat, dan menggunakan ekspresi wajah. Namun, semua ini sangat sukar difahami. Otot yang lemah dan kesukaran menumpukan perhatian, yang biasa dalam penyakit kritikal, menyebabkan penggunaan alat bantuan seperti peralatan menulis atau papan komunikasi menjadi sukar. Bukti konsisten tentang alat bantuan komunikasi adalah efektif kekurangan.
Mengapakah hal ini penting?
Kesukaran berkomunikasi meningkatkan risiko bahaya individu, menyusahkan pesakit dan ahli keluarga dan menyebabkan tekanan pada anggota kesihatan.
Apakah bukti yang telah kami temui?
Kami telah mencari kajian (sehingga 30 July 2020) yang menerokai alat bantuan yang digunakan untuk membantu individu dengan tiub pernafasan untuk berkomunikasi. Kami telah menjumpai 11 kajian yang melibatkan 1931 peserta dimasukkan ke unit rawatan rapi. Kami juga mencari kajian yang melibatkan individu memerlukan tiub pernafasan dan tinggal di rumah atau dalam penjagaan jangka panjang, tetapi tidak menemui apa-apa. Lapan kajian menggunakan papan komunikasi atau aplikasi. Tiga kajian menggunakan alat bantuan yang membantu pesakit untuk bercakap dengan tiub pernafasan dikekalkan di tempatnya. Semua kajian membandingkan alat bantuan komunikasi dengan amalan komunikasi rutin. Dalam enam kajian, amalan rutin tidak termasuk sebarang penggunaan alat bantuan komunikasi. Dalam lima kajian yang selebihnya, penjagaan biasa merangkumi pelbagai alat bantuan komunikasi yang digunakan secara rutin dalam unit rawatan rapi yang mengambil bahagian termasuk papan komunikasi, buku nota kertas, dan waktu rutin penggunaan alat bantu pertuturan. Kami tidak pasti sama ada penggunaan awal alat untuk membantu pertuturan mungkin meningkatkan bilangan individu yang boleh mengucapkan perkataan yang boleh difahami atau memendekkan masa untuk dapat bercakap. Kualiti bukti adalah rendah.
Begitu juga jika dibandingkan dengan rawatan rutin di mana alat bantuan tidak digunakan, kami tidak pasti tentang kesan papan komunikasi terhadap kepuasan pesakit. Kami tidak pasti mengenai kesannya terhadap tekanan psikologi dan kualiti hidup disebabkan ketidakpastian bukti. Alat komunikasi yang membantu individu untuk bercakap mungkin mempunyai sedikit atau tiada pengaruh pada tempoh tinggal di unit rawatan rapi (bukti berkualiti rendah). Kami adalah tidak pasti tentang bahaya penggunaan alat komunikasi yang mungkin berlaku kerana hanya tiga kajian melaporkan hal ini, dan semua menilai kejadian buruk yang berbeza, dan dua kajian adalah sangat kecil.
Apakah maksudnya?
Kami tidak pasti sama ada penggunaan alat bantuan komunikasi dalam unit rawatan rapi mungkin meningkatkan jumlah individu yang dapat mengucapkan kata-kata yang dapat difahami. Penggunaan papan komunikasi mungkin meningkatkan kepuasan pesakit, tetapi kami tidak yakin dengan penemuan ini kerana bukti berkualiti rendah. Ini bermaksud kajian lanjutan berkemungkinan untuk mengubah pemahaman kami mengenai kesan alat bantuan komunikasi. Lebih banyak kajian diperlukan untuk memahami kesan alat bantuan komunikasi, terutamanya kesan terhadap kesejahteraan psikologi dan kebolehan individu untuk berkomunikasi.
Diterjemahkan oleh Tan Yin Xin, Alphanumeric. Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.