Soalan ulasan
Pendekatan manakah yang membantu orang untuk terus mengambil ubat yang ditetapkan, memperbaiki kualiti hidup dan mengurangkan kemasukan ke hospital bagi orang dengan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD)?
Latar belakang
COPD adalah keadaan paru-paru yang boleh menyebabkan masalah pernafasan jangka panjang dan merangkumi gejala seperti sesak nafas. Ubat-ubatan memang wujud bagi membantu tetapi kadang-kadang orang tidak mengambilnya seperti yang ditetapkan. Pendekatan yang berbeza dapat membantu orang mengambil ubat mereka seperti yang ditetapkan dan membantu memperbaiki gejala atau kualiti hidup dan mengurangkan kemasukan ke hospital.
Kami ingin mengetahui apakah ada pendekatan yang boleh membantu orang dengan COPD mengambil ubat-ubatan seperti yang ditetapkan.
Kajian dikenal pasti dan dipilih
Kami mencari pangkalan data untuk mencari kajian. Empat orang bekerja secara berpasangan melihat senarai kajian secara berasingan dan setuju dengan kajian mana yang dirangkumkan. Carian terakhir untuk kajian dijalankan pada Mei 2020.
Ciri-ciri kajian
Kami merangkumkan kajian yang membandingkan cara mudah untuk membantu menmperbaiki penggunaan ubat (contohnya dos ubat yang berbeza atau inhaler tunggal dan bukannya dua inhaler yang berasingan) dengan penjagaan COPD biasa. Kami juga merangkumkan kajian yang menguji pendekatan gabungan (misalnya maklumat atau latihan dari jururawat atau ahli farmasi dan memantau penggunaan ubat).
Apakah keputusannya?
Kami merangkumkan 14 kajian (2191 orang) dalam analisis kami. Tidak ada kajian yang tersembunyi (orang tahu adakah mereka menerima pendekatan untuk menolong mereka dengan kepatuhan atau alternatif). Enam kajian menggunakan pendekatan mudah (contohnya perubahan dos ubat, perubahan jenis alat sedut, atau alat peringatan penyedut Bluetooth), dan lapan kajian menggunakan pendekatan gabungan (contohnya jururawat atau ahli farmasi yang memberi nasihat atau maklumat tentang cara memperbaiki penggunaan ubat).
Kami tidak pasti mengenai kesan dos ubat yang berbeza pada orang yang patuh pada ubat kerana tidak ada perbezaan dengan penjagaan biasa (satu kajian). Dua kajian berasingan mendapati bahawa alat peringatan inhaler Bluetooth atau perubahan dalam dos ubat oral tidak membantu memperbaiki kepatuhan. Profesional kesihatan yang terlibat dalam memberi maklumat boleh membantu memperbaiki kepatuhan (satu kajian). Ini diukur dengan pengisian semula preskripsi. Memotivasikan orang untuk mengubah tingkah laku mereka boleh membantu memperbaiki kepatuhan terhadap ubat mereka (satu kajian). Ini diukur oleh orang yang melengkapkan soal selidik mengenai kepatuhan terhadap ubat mereka.
Satu kajian menemui bahawa alat penyedut Bluetooth boleh membantu memperbaiki kualiti hidup. Mungkin ada sedikit atau tidak ada perbezaan antara mereka yang menggunakan alat sedut tunggal dalam jumlah orang yang dimasukkan ke hospital berbanding dengan mereka yang menggunakan dua alat sedut berasingan (satu kajian). Kami tidak menemui perbezaan antara pendekatan tunggal dan penjagaan biasa terhadap jumlah orang yang mempunyai kesan sampingan.
Pendekatan gabungan boleh membantu memperbaiki jumlah orang yang mengambil ubat mereka, tetapi kami tidak yakin dengan penemuan ini (empat kajian). Ia mungkin ada sedikit atau tiada impak terhadap kualiti hidup (tiga kajian). Pendekatan gabungan boleh jadi bermanfaat dalam mengurangkan jumlah orang dengan COPD yang dimasukkan ke hospital untuk sebarang sebab atau kerana gejala COPD (dua kajian).
Tidak ada perbezaan antara pendekatan gabungan dan dalam jumlah orang yang mengalami kejadian buruk.
Mesej utama
Kami tidak dapat mengatakan dengan pasti bahawa pendekatan mudah adalah berguna untuk membantu orang dengan COPD untuk memperbaiki penggunaan ubat kerana maklumat adalah sangat terhad. Pendekatan gabungan boleh membantu orang untuk mengambil ubat mereka seperti yang ditetapkan dan boleh membantu untuk mengurangkan jumlah orang yang dimasukkan ke hospital, namun, lebih banyak maklumat adalah diperlukan untuk membantu menjawab soalan ini dengan yakin.
Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my