Terapi terbaik untuk mereka yang menghidapi kanser lanjutan paru-paru bukan sel kecil yang belum dirawat tanpa mutasi yang boleh disasarkan dan status prestasi yang sederhana terjejas

Mesej utama

– Kemoterapi pilihan untuk orang yang mempunyai status prestasi terjejas sederhana (PS) dengan kanser lanjutan paru-paru bukan sel kecil (NSCLC) dan yang tidak pernah menerima sebarang rawatan sebelum ini harus mengandungi dua ubat, salah satu daripadanya adalah ubat berasaskan platinum.

– Walaupun risiko kerosakan sumsum tulang lebih tinggi dengan ubat berasaskan platinum, kejadian ini selalunya agak ringan dan mudah dirawat.

– Kami tidak dapat menilai kesan imunoterapi pada orang dengan prestasi yang sederhana terjejas.

Apakah itu kanser paru-paru bukan sel kecil?

Kanser paru-paru adalah penyebab paling kerap kematian berkaitan kanser di seluruh dunia dan NSCLC adalah subjenis yang paling biasa. Pada masa diagnosis, penyakit itu telah merebak di lebih separuh daripada semua kes. Dalam tumor minoriti orang yang didiagnosis dengan NSCLC yang telah merebak ke bahagian lain badan, mutasi khusus boleh ditemui, yang dirawat berbeza daripada kebanyakan orang tanpa mutasi sedemikian.

Bagaimanakah kanser paru-paru bukan sel kecil boleh dirawat?

NSCLC hanya boleh dirawat dengan ubat yang memanjangkan hayat seperti kemoterapi (ubat yang digunakan untuk memusnahkan sel kanser) atau imunoterapi (ubat yang meningkatkan sistem imun seseorang dan membantu badan mencari dan memusnahkan sel kanser). Memilih rawatan yang terbaik bergantung pada keadaan kesihatan seseorang. Keadaan itu ditentukan menggunakan skala dari 0 (tiada gejala) hingga 5 (mati). Tiada perbincangan mengenai rawatan orang yang agak cergas (skor 0 atau 1), kerana mereka sering mentoleransi dengan rawatan ini dengan agak baik. Orang yang mempunyai keadaan kesihatan yang rendah (skor 3 atau 4) hanya menerima penjagaan sokongan dalam kebanyakan kes. Walau bagaimanapun, walaupun mewakili 20% hingga 30% daripada semua orang, rawatan terbaik untuk orang dengan prestasi yang sederhana terjejas (PS 2) tidak jelas, kerana mereka sering tidak mengambil bahagian dalam kajian.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Objektif kami adalah untuk menyiasat terapi terbaik untuk orang dengan NSCLC lanjutan tanpa mutasi khusus dengan PS 2.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian klinikal yang membandingkan rawatan untuk NSCLC lanjutan dengan penjagaan sokongan terbaik atau rawatan lain.

Apakah yang kami temui?

Kami menjumpai 22 kajian; 20 membandingkan pelbagai jenis kemoterapi dan dua membandingkan kemoterapi dengan imunoterapi.

Keputusan utama

Orang yang dirawat dengan rejimen kemoterapi menggunakan dua ubat, termasuk ubat berasaskan platinum, mempunyai jangka hidup yang lebih panjang daripada orang yang dirawat dengan kemoterapi tanpa ubat berasaskan platinum. Walau bagaimanapun, orang-orang ini mempunyai lebih banyak kesan sampingan, terutamanya dengan pengaruh negatif pada sumsum tulang (bahan yang terdapat di tengah-tengah tulang), mengakibatkan kekurangan sementara sel darah merah dan putih, dan platelet. Beberapa kajian yang menganalisis kualiti hidup berkaitan kesihatan semuanya menggunakan kaedah pengukuran yang berbeza. Kami mendapati tiada perbezaan dalam kualiti hidup apabila kami melihat kajian tersebut secara individu. Kami mendapati dua kajian yang diterbitkan sebahagiannya yang mengkaji imunoterapi, yang tidak menemui faedah kelangsungan hidup berbanding kemoterapi.

Apakah batasan bukti?

Kami sederhana yakin dengan keputusan kami bahawa kemoterapi dengan ubat berasaskan platinum meningkatkan jangka hidup. Kami juga ada keyakinan yang sederhana dengan bukti yang menilai masa untuk perkembangan penyakit kerana dalam semua kajian yang disertakan, kedua-dua penyiasat dan peserta kajian mengetahui sepenuhnya rawatan yang diterima oleh peserta. Ini mungkin membawa kepada bias yang besar. Di samping itu, kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap bukti mengenai ketoksikan kerana bukti itu berdasarkan sebilangan kecil kajian dengan hasil yang bercanggah.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini adalah terkini sehingga 17 Jun 2022.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Universiti Malaya). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.

Tools
Information