Apa itu batu ginjal?
Produk buangan dalam darah kadang-kadang dapat membentuk kristal yang terkumpul dalam ginjal. Lama kelamaan ia membentuk bonjolan seperti batu keras, yang disebut batu ginjal.
Batu ginjal boleh terbentuk di kedua-dua ginjal terutamanya dalam kalangan orang dengan keadaan perubatan tertentu atau yang mengambil ubat-ubatan tertentu, atau jika orang tidak minum cukup air atau cecair. Batu boleh menyebabkan sakit yang teruk, demam dan jangkitan ginjal jika ia menyekat ureter.
Rawatan untuk batu ginjal
Kebanyakan batu adalah kecil untuk keluar dengan air kencing: meminum air dan cecair lain yang banyak akan membantu. Batu ginjal yang lebih besar mungkin terlalu besar untuk keluar secara semula jadi dan biasanya dikeluarkan melalui pembedahan.
Litotripsi gelombang kejutan adalah kaedah bukan pembedahan untuk merawat batu di ginjal atau ureter. Gelombang bunyi bertenaga tinggi diaplikasi di luar badan untuk memecahkan batu ginjal menjadi lebih kecil. Selepas rawatan gelombang kejutan, ubat-ubatan yang disebut penyekat alfa kadang-kadang diberi untuk membantu serpihan batu keluar secara semula jadi.
Penyekat alfa berfungsi merelaks otot dan membantu membuka saluran darah. Ia sering diguna untuk merawat tekanan darah tinggi dan masalah menyimpan dan membuang air kencing dalam kalangan lelaki dengan kelenjar prostat yang membesar. Pennyekat alfa boleh merelaks otot di ureter, yang mana dapat membantu mengeluarkan batu ginjal dan serpihannya.
Mengapa kami lakukan Ulasan Cochrane ini
Kami ingin tahu bagaimana penyekat alfa berfungsi membantu serpihan batu ginjal keluar dalam air kencing. Kami juga ingin tahu potensi kesan yang tidak diingini berkaitan dengan penyekat alfa.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang melihat pemberian penyekat alfa kepada orang dewasa selepas rawatan gelombang kejutan untuk membuang serpihan batu ginjal.
Kami mencari kajian rawak terkawal, di mana rawatan yang diterima oleh orang ditentukan secara rawak, kerana kajian ini biasanya memberi bukti rawatan yang paling bolehpercaya.
Tarikh carian: kami menyertakan bukti yang diterbitkan sehingga 27 Februari 2020.
Apa yang kami temui
Kami menemui 40 kajian melibatkan 4793 orang yang menjalani rawatan gelombang kejutan untuk memecahkan batu ginjal. Kebanyakan kajian berlangsung di Asia; ada yang di Eropah, Afrika dan Amerika Selatan. Kebanyakan kajian tidak melaporkan sumber pembiayaan.
Kajian-kajian ini membandingkan pemberian penyekat alfa dengan plasebo (dami) atau rawatan biasa (boleh merangkumi antibiotik, ubat penahan sakit dan cecair yang diberi melalui mulut atau melalui titisan).
Tamsulosin adalah penyekat alfa yang paling lazim dikaji; yang lain adalah silodosin, doxazosin, terazosin dan alfuzosin.
Apakah keputusan ulasan kami?
Berbanding rawatan biasa atau rawatan plasebo, penyekat alfa boleh:
membersihkan batu ginjal dalam lebih ramai orang: 111 lebih ramai orang untuk setiap 1000 orang yang dirawat (36 kajian);
membersihkan batu dengan lebih cepat: hampir empat hari (14 kajian);
mengurangkan keperluan rawatan tambahan untuk membersihkan batu: 32 kurang orang untuk setiap 1000 orang yang dirawat (12 kajian); dan
menyebabkan kurang kesan tidak diingini: mempengaruhi 103 kurang orang untuk setiap 1000 orang yang dirawat (tujuh kajian).
Kebaynakan kesan tidak diingini adalah lawatan kecemasan ke hospital dan orang kembali ke hospital kerana masalah berkaitan batu. Kesan tidak diingini lebih kerap berlaku dalam kalangan orang yang mendapat rawatan biasa atau rawatan plasebo berbanding orang yang diberi penyekat alfa.
Tiada kajian yang melihat kualiti (kesejahteraan) hidup.
Adakah keputusan ini bolehpercaya?
Kami tidak pasti tentang keputusan ini kerana ia berdasarkan kajian yang tidak jelas bagaimana orang dipilih untuk mengambil bahagian; tidak jelas jika keputusannya lengkap dilaporkan; beberapa keputusan tidak konsisten dan dalam sesetengah kajian keputusan adalah sangat berbeza. Keputusan kami mungkin berubah jika terdapat bukti lanjut.
Kesimpulan
Pemberian penyekat alfa selepas rawatan gelombang kejutan untuk memecahkan batu ginjal mungkin membersih serpihan dengan lebih cepat dalam kallangan lebih ramai orang dan mengurangkan keperluan rawatan tambahan. Penyekat alfa mungkin menyebabkan kurang kesan tidak diingini berbanding penjagaan biasa atau plasebo.
Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Perubatan Melaka-Manipal). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.