Apakah rawatan terbaik untuk patah tulang pinggul dalam kalangan orang tua?

Mengapa soalan ini penting?

Patah tulang pinggul ialah kepatahan tulang di bahagian atas tulang peha. Kami sertakan orang dengan kepatahan di bawah sendi bola dan soket. Jenis patah tulang pinggul ini lazim dalam kalangan orang tua yang mana tulangnya mungkin rapuh kerana keadaan yang dipanggil osteoporosis. Ia sering berlaku setelah terjatuh dari posisi berdiri atau duduk. Kepatahan tulang pinggul boleh dirawat dengan pelbagai cara dan kami tidak tahu sama ada sesetengah rawatan lebih baik daripada yang lain.

Apakah rawatannya?

- Menggantikan tulang pinggul yang patah dengan yang tiruan. Ini boleh dibuat menggunakan hemiarthroplasty (HA), yang menggganti bahagian bola sahaja pada sendi dan boleh menjadi unipolar (sendi tiruan tunggal) atau bipolar yang berbentuk sendi tambahan di dalam HA. Arthroplasty tulang pinggul lengkap (THA) mengganti semua bahagian sendi termasuk soket dan sering mempunyai hanya satu sendi tiruan di antara bola dan soket.(artikulasi tunggal) atau kadang-kadang dua (dwi-mobiliti) Semua jenis sendi tiruan boleh dipasang dengan atau tanpa simen.

- Mengguna implan logam untuk membaiki bahagian tulang yang patah. Pin atau skru boleh dimasukkan ke dalam kedua-dua bahagian tulang yang patah, atau pakar bedah boleh mengguna 'plat bersudut tetap' yang terletak di bahagian luar tulang yang patah dan dilekatkan kepada tulang dengan skru atau pin. 

- Rawatan tanpa pembedahan, biasanya memerlukan tempoh rehat di katil di mana kaki berada pada posisi tetap menggunakan traksi dengan pemberat.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan satu atau lebih jenis rawatan. Kami ingin tahu manfaat dan mudarat pelbagai rawatan yang berbeza. Kami gabungkan penemuan daripada kajian-kajian dan hasilkan satu 'rangkaian' (yang diguna apabila para penyelidik membuat ‘meta analisis rangkaian’ -keputusan daripada kajian-kajian) untuk melihat jika sesetengah rawatan lebih baik daripada yang lain.

Apakah yang kami temui?

Kami mendapati 119 kajian melibatkan 17,653 peserta dengan 17,669 fraktur. Purata umur peserta kajian adalah antara 60 hingga 87 tahun; 73% adalah wanita, yang biasa mengalami patah tulang pinggul seperti ini. Kami sertakan 75 daripada kajian-kajian dalam 'rangkaian' kami.

Kami mendapati reka bentuk moden unipolar HA yang dipasang dengan simen tulang atau implan logam (plat sudut tetap dan pin) dilihat berpeluang terbesar untuk mengurangkan bilangan kematian dalam tempoh 12 bulan selepas kecederaan. Berbanding dengan orang yang menjalani rawatan ini, lebih ramai orang yang dirawat dengan reka bentuk moden bipolar yang tidak disimen atau dengan THA (artikulasi tunggal) meninggal dunia. 

Kami tidak menemui banyak kajian untuk dimasukkan ke dalam 'rangkaian' kami bagi kualiti hidup yang berkait dengan kesihatan, dan tidak terdapat rawatan yang memperbaik kualiti hidup mereka. 

Kami juga mendapati orang yang dirawat dengan sebarang penggantian pinggul kurang cenderung memerlukan pembedahan tambahan pada pinggul mereka yang patah berbanding orang yang dirawat dengan implan logam atau dirawat tanpa pembedahan. Antara semua reka bentuk penggantian pinggul, kurang orang yang memerlukan pembedahan tambahan selepas rawatan dengan reka bentuk moden penggantian pinggul separa (hemiarthroplasty) unipolar yang bersimen, tetapi tidak terdapat perbezaan besar dalam penemuan dalam kesemua jenis rawatan penggantian pinggul.

Secara keseluruhan, reka bentuk moden penggantian pinggul yang bersimen cenderung menghasilkan hasil yang lebih baik dan mungkin pendekatan yang lebih berjaya daripada cuba membaiki tulang yang patah. THA (artikulasi tunggal) mungkin meningkatkan risiko kematian berbanding reka bentuk moden HA yang bersimen, tanpa membawa kepada perbezaan penting dalam kualiti hidup.- tetapi kami tidak pasti tentang penemuan ini. THA jenis ini mungkin sesuai untuk sesetengah orang yang mengalami patah tulang jenis ini, tetapi kami belum mengkajinya dalam ulasan ini.

Adakah kami yakin dengan dapatan ini?

Kesan sebenar rawatan-rawatan ini mungkin sangat berbeza daripada apa yang kami dapati dalam ulasan ini. Banyak kajian dalam ulasan ini diterbitkan sebelum standard umum pelaporan penyelidikan diperbaik, oleh itu kami tidak pasti sama ada kajian-kajian tersebut dijalankan dengan baik atau tidak. Kadangkala, jenis fraktur adalah berbeza-beza (terutama di antara peserta yang dirawat dengan implan logam dan yang dirawat dengan penggantian pinggul), dan ini mungkin mempengaruhi keputusan dalam 'rangkaian'. Kami juga mendapati keputusan-keputusan memasukkan potensi risiko manfaat dan mudarat, dan ini sering terjadi kerana tidak cukup peserta kajian untuk mencari keputusan yang tepat.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Kami membuat carian pada Julai 2020.     

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Ch’ng Chyi Yang (RUMC). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information