Mesej utama
- Tiada 'rawatan terbaik' untuk patah pinggul jenis ini.
- Lebih ramai orang memerlukan pembedahan tambahan pada pinggul mereka yang patah selepas rawatan dengan paku (paku dimasukkan mengarah ke atas dari lutut ke sendi pinggul) atau plat statik bersudut tetap (pin atau skru melekatkan plat pada tulang yang patah).
- Mungkin tiada perbezaan antara paku cephalomedullary yang pendek (paku dimasukkan mengarah ke bawah dari sendi pinggul ke lutut) dan plat dinamik bersudut tetap (pin atau skru yang melekatkan plat pada tulang yang patah boleh meluncur).
- Kami menemui terlalu sedikit kajian untuk mengetahui sama ada rawatan ini lebih baik dalam meningkatkan kualiti hidup orang selepas pembedahan.
Patah tulang pinggul pada orang yang lebih tua
Patah tulang pinggul adalah patah di bahagian atas tulang kaki. Terdapat dua jenis patah tulang pinggul; dalam ulasan ini, kami menyertakan orang yang mengalami patah tulang di luar sendi pinggul. Jenis patah pinggul yang satu lagi ialah patah betul-betul di bawah sendi bola dan soket - kami membuat ulasan tentang patah tulang ini dalam ulasan lain. Kedua-dua jenis patah tulang pinggul adalah biasa pada orang dewasa yang lebih tua yang tulang mereka mungkin rapuh disebabkan oleh keadaan yang dikenali sebagai osteoporosis.
Apakah rawatannya?
- Menggunakan implan logam untuk membaiki bahagian tulang yang patah. Sebatang paku dimasukkan ke dalam tulang peha. Paku panjang atau pendek ini boleh dimasukkan mengarah ke bawah dari sendi pinggul ke lutut (paku cephalomedullary). Sesetengah paku boleh dimasukkan mengarah ke atas dari lutut ke sendi pinggul (paku condylocephalic). Sebagai alternatif, pakar bedah boleh menggunakan 'plat bersudut tetap' yang terletak di tepi luar tulang yang patah dan dilekatkan pada tulang dengan skru atau pin. Selalunya skru untuk plat ini meluncur dan plat tersebut dikenali sebagai plat dinamik bersudut tetap. Tanpa ini, plat tersebut adalah plat statik bersudut tetap.
- Menggantikan tulang pinggul yang patah dengan yang tiruan. Ini boleh dilakukan menggunakan hemiarthroplasty (HA), yang menggantikan hanya bahagian bola sendi, atau dengan total hip arthroplasty (THA) yang menggantikan keseluruhan sendi pinggul termasuk soket.
- Menggunakan fiksasi luaran. Pin atau skru diletakkan ke dalam tulang di mengelilingi bahagian yang patah dan rangka logam memegang paku ini di tempatnya. Rangka itu terletak di luar badan, di sekeliling tulang pinggul yang patah.
- Rawatan tanpa pembedahan, biasanya memerlukan tempoh rehat di atas katil di mana kaki berada pada kedudukan tetap menggunakan cengkaman dengan pemberat.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan satu atau lebih daripada mana-mana rawatan. Kami ingin mengetahui manfaat dan kemudaratan rawatan yang berbeza ini. Kami menggabungkan penemuan daripada kajian, dan menghasilkan satu 'rangkaian' (yang digunakan apabila penyelidik membandingkan semua rawatan yang sedia ada dalam satu analisis yang dipanggil 'meta-analisis rangkaian') untuk melihat sama ada kami dapat mengetahui sama ada sesetengah rawatan lebih baik daripada yang lain.
Apakah yang telah kami temui?
Kami menjumpai 184 kajian dengan seramai 26,073 orang yang mengalami patah tulang pinggul jenis ini. Kebanyakan orang berumur antara 60 dan 93 tahun, dan 69% adalah wanita, yang merupakan kebiasaan bagi mereka yang mengalami patah tulang jenis ini. Kami menyertakan 73 daripada kajian ini dalam 'rangkaian' kami.
Kami mendapati sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan orang yang mati dengan setiap rawatan. Kami tidak pasti sama ada mana-mana rawatan adalah lebih baik daripada yang lain untuk mengurangkan kematian dalam tempoh 12 bulan selepas pembedahan.
Untuk kebanyakan rawatan, kami juga mendapati sedikit atau tiada perbezaan bagi orang perlu menjalani pembedahan tambahan pada pinggul mereka yang patah. Walau bagaimanapun, untuk paku condylocephalic dan plat statik bersudut tetap, lebih ramai orang memerlukan pembedahan tambahan berbanding mereka yang dirawat dengan plat dinamik bersudut tetap. Nampaknya rawatan-rawatan ini meningkatkan peluang untuk memerlukan pembedahan tambahan.
Sangat sedikit kajian melaporkan sama ada orang mempunyai kualiti hidup yang lebih baik berkaitan kesihatan mereka selepas rawatan.
Adakah kami yakin dengan apa yang kami memperoleh?
Kami tidak begitu yakin dengan penemuan ini kerana:
- kebanyakan kajian tidak dilaporkan dengan baik. Ada kemungkinan bahwa kaedah kajian mereka boleh menimbulkan ralat dalam keputusan mereka;
- kami mendapati beberapa perbezaan antara beberapa hasil kajian yang tidak dapat kami jelaskan;
- kami mendapati beberapa perbezaan dalam jenis tulang patah dalam beberapa kajian;
- kebanyakan rawatan memasukkan kemungkinan manfaat (contohnya, kurang kematian) serta kemungkinan bahaya (contohnya, lebih banyak kematian). Ini menjadikan keputusan-keputusan sangat tidak menentu.
Kesan sebenar rawatan-rawatan ini mungkin sangat berbeza dengan apa yang kami temui dalam ulasan ini.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Julai 2020.
Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my