Mesej utama
• Perkhidmatan penjagaan yang teratur untuk pemfibrilan atrium (AF) mungkin menyebabkan pengurangan jumlah kematian yang besar daripada semua sebab dan juga mengurangkan kemasukan ke hospital yang berkaitan dengan jantung, tetapi mereka mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan terhadap kemasukan ke hospital daripada semua sebab dan mungkin tidak mengurangkan kematian berkaitan jantung berbanding dengan penjagaan rutin (penjagaan yang diberikan sebagai sebahagian daripada amalan normal).
• Perkhidmatan penjagaan yang teratur untuk AF mungkin tidak mengurangkan komplikasi seperti strok dan strok mini dan komplikasi major yang berkaitan dengan pendarahan di otak berbanding penjagaan rutin.
• Kajian lebih besar, direka bentuk dengan baik adalah diperlukan untuk memberikan anggaran yang lebih baik tentang manfaat dan potensi bahaya perkhidmatan penjagaan teratur untuk AF.
Apakah pemfibrilan atrium?
Pemfibrilan atrium (AF) ialah degupan jantung yang tidak teratur yang berlaku apabila isyarat elektrik dalam jantung dilepaskan secara cepat pada masa yang sama. Hal ini mengakibatkan jantung berdegup terlalu laju atau terlalu lambat, di mana boleh mengakibatkan gejala yang mengganggu dan komplikasi perubatan yang serius, termasuk darah beku yang menyebabkan strok (di mana darah mengalir ke otak telah disekat).
Bagaimanakah pemfibrilan atrium dirawat?
Pemfibrilan atrium dirawat dengan perubahan gaya hidup, ubat-ubatan, dan prosedur, termasuk pembedahan, untuk membantu mencegah darah beku, mengawal degupan jantung, atau memulihkan ritma normal jantung.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Perkhidmatan penjagaan yang teratur untuk AF melibatkan: (i) memberikan penjagaan yang tertumpu kepada peningkatan pengalaman penjagaan seseorang, hasil kesihatan, dan kualiti hidup; (ii) yang disampaikan oleh pasukan penyedia kesihatan dari pelbagai bidang yang bekerja bersama; dan (iii) yang menggunakan teknologi untuk menyokong pendekatan bersepadu. Penjagaan rutin adalah penjagaan yang diberikan sebagai sebahagian amalan normal.
Kami ingin mengetahui sama ada perkhidmatan penjagaan teratur untuk AF adalah lebih baik daripada penjagaan biasa (rutin) dalam mengurangkan kematian dan kemasukan ke hospital daripada semua sebab.
Kami juga ingin mengetahui sama ada perkhidmatan penjagaan teratur untuk AF adalah lebih baik berbanding penjagaan biasa dalam mengurangkan kematian berkaitan jantung dan kemasukan ke hospital, lawatan ke jabatan kecemasan berkaitan AF, komplikasi seperti strok dan mini strok, komplikasi besar dan kecil berkaitan pendarahan dalam otak, kualiti hidup berkaitan AF, gejala AF, tempoh tinggal di hospital, dan kos berkaitan perkhidmatan.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan perkhidmatan penjagaan yang teratur untuk AF kepada penjagaan rutin dalam orang dewasa yang didiagnosis dengan AF. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan dan menilai keyakinan kami dalam bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 8 kajian melibatkan sejumlah 8205 orang dengan AF, dengan purata umur 60 hingga 73 tahun. Kajian yang disertakan telah dilakukan di China, Belanda, dan Australia. Kesemua lapan kajian melaporkan menerima geran individu atau gabungan dana awam dan dana daripada industri.
Berbanding kepada penjagaan rutin, perkhidmatan penjagaan AF yang teratur:
- mencegah satu kematian daripada semua sebab bagi setiap 37 pesakit yang dirawat dan disusuli untuk enam tahun;
- mencegah satu kemasukan ke hospital daripada semua sebab untuk setiap 101 pesakit yang dirawat dan disusuli untuk dua tahun;
- mencegah satu kematian berkaitan jantung untuk setiap 86 pesakit yang dirawat dan disusuli untuk enam tahun; dan
- mencegah satu kemasukan ke hospital berkaitan jantung untuk setiap 28 pesakit yang dirawat dan disusuli untuk enam tahun; tetapi
- mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan terhadap komplikasi seperti strok dan mini strok (satu komplikasi dicegah untuk setiap 588 pesakit yang dirawat dan disusuli untuk enam tahun) dan komplikasi besar berkaitan pendarahan dalam otak (satu komplikasi pendarahan dicegah untuk setiap 556 pesakit yang dirawat dan disusuli untuk enam tahun).
Tiada kajian yang menilai komplikasi kecil berkaitan pendarahan dalam otak.
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti untuk kematian dan kemasukan ke hospital daripada semua sebab adalah sederhana disebabkan mungkin terdapat beberapa peserta kajian yang sedar rawatan mana yang mereka terima, yang mungkin boleh mempengaruhi keputusan.
Kami sedikit yakin terhadap bukti untuk kematian yang berkaitan dengan jantung disebabkan oleh cara penyampaian yang berbeza merentasi kajian, dan ia mungkin bahawa sesetengah peserta kajian sedar tentang rawatan mana yang mereka terima, yang mungkin mempengaruhi keputusan. Kami yakin bahawa perkhidmatan penjagaan yang teratur untuk AF mengurangkan kemasukan ke hospital yang berkaitan dengan jantung.
Kami sedikit yakin terhadap bukti untuk komplikasi dan komplikasi berkaitan dengan pendarahan terutamanya disebabkan cara rawatan yang diberikan berbeza merentasi kajian, dan ia mungkin bahawa sesetengah peserta kajian sedar tentang rawatan yang mana mereka terima, yang boleh mempengaruhi keputusan. Tambahan pula, bilangan kajian yang kecil mencegah kami daripada pasti tentang keputusan tersebut.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).