Mesej-mesej utama
1
.
Bukti sedia ada mencadangkan bahawa intervensi psikologi boleh memberi manfaat kepada kanak-kanak dan remaja dengan asma.
2. Disebabkan terdapat perbezaan antara kajian-kajian, ianya adalah sangat sukar untuk membandingkan data, justeru keputusan ulasan ini adalah sangat tidak pasti dan sukar ditafsirkan.
Latar belakang
Kanak-kanak dan remaja dengan asma adalah lebih cenderung untuk mengalami simptom tekanan psikologi (contohnya keresahan, kemurungan, atau kedua-duanya) berbanding kepada mereka yang tiada asma. Rawatan psikologi mungkin membantu dalam mengurangkan distres dan maka meningkatkan keupayaan kanak-kanak dan remaja untuk menguruskan asma mereka.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada rawatan psikologi lebih baik daripada penjagaan biasa, rawatan tanpa komponen psikologi, atau tiada rawatan untuk menambahbaikan hasil berikut.
1. Simptom-simptom keresahan
2. Simptom-simptom kemurungan
3. Hubungan perubatan (seperti kemasukan ke hospital atau lawatan ke jabatan kecemasan)
4. Serangan asma
5. Simptom-simptom asma
6. Penggunaan ubat-ubatan
7. Kualiti hidup
Kami juga ingin mengetahui sama ada rawatan psikologi mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini dalam kanak-kanak dan remaja dengan asma.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami telah mencari kajian-kajian yang telah menilai rawatan psikologi (seperti terapi tingkah laku, terapi kognitif, atau kaunseling) dibandingkan dengan rawatan standard untuk penjagaan asma, rawatan tanpa komponen psikologi, atau tiada rawatan dalam kanak-kanak perempuan dan lelaki berusia lima hingga 18 tahun dengan asma.
Apakah yang kami temui?
Kami telah menyertakan 24 kajian yang telah mendaftarkan 1639 kanak-kanak dan remaja. Kami telah menemui keputusan bercampur untuk hampir semua hasil dalam ulasan ini: banyak rawatan telah menunjukkan manfaatnya, tetapi yang lain tidak menunjukkan bukti sebarang kesan. Keputusan beberapa kajian mencadangkan bahawa intervensi psikologi boleh memberi manfaat kepada kanak-kanak dan remaja dengan asma, terutamanya untuk mengurangkan simptom keresahan atau kemurungan, mengurangkan serangan asma, mengurangkan simptom asma, dan meningkatkan penggunaan ubat. Untuk kebanyakan kajian, ia adalah sukar untuk menilai betapa pentingnya manfaatnya disebabkan skala penilaian tidak dijelaskan dengan baik.
Terdapat bukti terhad bahawa intervensi psikologi dapat mengurangkan keperluan untuk hubungan perubatan atau meningkatkan kualiti hidup. Tiada kajian yang telah melaporkan kesan rawatan yang tidak diingini.
Apakah batasan bukti?
Keputusan kami adalah sangat tidak pasti dan sukar untuk ditafsirkan kerana kajian menggunakan teori yang berbeza untuk membangunkan rawatan mereka, alat yang berbeza untuk mengukur hasil, tempoh rawatan susulan yang berbeza, dan definisi yang berbeza untuk hasilnya (contohnya satu kajian telah mengukur simptom siang hari sementara yang lain mengukur simptom asma secara menyeluruh). Disebabkan terdapat perbezaan yang penting ini, ia adalah sukar untuk membuat perbandingan antara kajian-kajian tersebut. Bilangan kanak-kanak dan remaja adalah kecil dalam kebanyakan kajian, dan beberapa kajian hanya melaporkan sebahagian daripada keputusan tersebut. Lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi diperlukan untuk mengukuhkan asas bukti untuk menggunakan rawatan psikologi dalam kanak-kanak dan remaja dengan asma, dan untuk menentukan jenis rawatan psikologi yang paling membantu.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini terkini sehingga Februari 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.