Haloperidol berbanding dengan olanzapine untuk penghidap skizofrenia

Mesej-mesej utama

Kami sangat kurang pasti sama ada terdapat perbezaan antara kedua-dua ubat dari segi manfaat.

Olanzapine boleh mempunyai sedikit kelebihan dari segi meningkatkan keadaan minda secara umum (tingkah laku, mood, pemikiran, persepsi, dll.) dan boleh mempunyai beberapa manfaat dari segi kualiti hidup.

Orang lebih cenderung untuk menambah berat badan dengan olanzapine dan lebih cenderung untuk mengalami masalah pergerakan dengan haloperidol. Orang yang menggunakan haloperidol lebih cenderung untuk berhenti mengambil ubat mereka.

Semasa memilih antara haloperidol dan olanzapine, faktor-faktor yang perlu diambil kira adalah pilihan seseorang, ciri-ciri seperti kecenderungan mereka untuk menambah atau mengurangkan berat dan pengalaman mereka dengan ubat-ubatan.

Apakah skizofrenia?

Orang dengan skizofrenia sering mendengar suara, melihat benda dan mempunyai kepercayaan yang tidak dikongsi oleh orang yang lain. Mereka boleh berasa sangat letih, kurang minat dan boleh mempunyai masalah perasaan emosi. Ulasan ini penting disebabkan skizofrenia ialah keadaan kesihatan mental yang teruk, dengan kira-kira 1% kemungkinan untuk didiagnosis sepanjang hayat seseorang.

Apakah haloperidol dan olanzapine?

Haloperidol (disebut Hal-oh-per-i-dol) telah digunakan dalam rawatan skizofrenia untuk beberapa dekad. Ia kekal sebagai rawatan yang paling kerap diberikan dan mempunyai manfaat yang jelas. Ia juga mempunyai beberapa kesan sampingan seperti kegelisahan, ketaran yang tidak terkawal, tremor dan kekakuan, terutamanya pada dos yang tinggi. Olanzapine (disebut oh-LAN-za-peen) ialah ubat yang lebih baharu. Ia juga dijdapati berguna dalam rawatan skizofrenia, walaupun mempunyai kesan sampingannya, kenaikan berat badan adalah yang paling biasa. Kami ingin memahami perbezaan manfaatt klinikal ubat-ubatan tersebut dan juga untuk melihat sama ada boleh lebih sesuai digunakan untuk negara berpendapatan rendah serta semasa kecemasan kemanusiaan.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Adakah haloperidol lebih baik daripada olanzapine dalam merawat skizofrenia atau gangguan spektrum skizofrenia?

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian klinikal terawak yang telah dijalankan sehingga 14 Januari 2023. Kami telah mencari kajian yang membahagikan penghidap skizofrenia dan gangguan spektrum skizofrenia secara rawak untuk menerima haloperidol atau olanzapine dalam bentuk tablet. Ulasan ini menyertakan 68 kajian dengan 9132 peserta.

Apakah yang kami temui?

Berdasarkan penemuan kami, kami kurang pasti sama ada terdapat perbezaan antara dua ubat ini dalam perubahan penting klinikal secara umum dan relaps. Walau bagaimanapun, olanzapine boleh menyebabkan peningkatan sedikit dalam keadaan mental (keadaan umum minda seperti tingkah laku, mood, pemikiran, persepsi, dll) dan sedikit sebanyak peningkatan dalam kualiti hidup. Tentang ukuran yang lain, haloperidol dan olanzapine adalah sama dari segi manfaat. Tambahan pula, kedua-dua ubat ini menunjukkan kesan sampingan: peserta yang mengambil haloperidol lebih cenderung berbanding dengan mereka yang mengambil olanzapine untuk mengalami masalah seperti pergerakan, dan mereka yang mengambil olanzapine lebih cenderung untuk menambah berat badan. Walau bagaimanapun, ia patut dimaklumkan bahawa terdapat perbezaan yang ketara antara beberapa kajian. Tambahan pula, tardapat peningkatan bilangan orang yang mengambil haloperidol telah meninggalkan kajian awal disebabkan oleh kesan sampingan. Walaupun maklumat tidak mencukupi untuk memahami alasan untuk penemuan sebegini, kami membuat hipotesis bahawa ia boleh dikaitkan dengan penggunaan dos haloperidol yang lebih tinggi berbanding dengan olanzapine dalam beberapa kajian.

Apakah batasan bukti?

Kajian-kajian perlu fokus dan memasukkan hasil yang relevan untuk penghidap skizofrenia dan keluarga mereka. Kebanyakan kajian menumpukan kepada manfaat dalam tahun pertama penggunaannya, dan belum mengambil kira faktor yang lain yang boleh menarik minat orang yang pernah mengalami skizofrenia, seperti keupayaan bekerja, impak keluarga, fungsi sosial dan penerimaan kepada pengguna. Walaupun beberapa kajian mengukur relaps sebagai hasilnya, definisi relaps tidak selalunya menjelaskan sama ada ia mengakibatkan kemasukan seseorang ke hospital. Hal ini penting untuk penghidap skizofrenia dan keluarga mereka disebabkan relaps dan kemasukan ke hospital adalah kegagalan yang dramatik dan ketara.

Ini adalah penting untuk memahami mengapa banyak kajian tidak menggunakan dos ubat yang setara semasa mereka dibandingkan. Kebanyakan kajian telah menggunakan dos haloperidol yang lebih tinggi berbanding dengan olanzapine, yang boleh dikaitkan dengan lebih banyak kesan sampingan dan hasil klinikal berkaitan untuk orang yang mengambil haloperidol dalam kajian tersebut.

Ia adalah penting untuk diingati bahawa ulasan kami yang teliti mempunyai sedikit atau sangat sedikit keyakinan dalam penemuan keutamaan disebabkan kajian-kajian tersebut mempunyai beberapa kelemahan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini terkini sehingga 14 Januari 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).

Tools
Information