Sel sumsum tulang dalam kardiomiopati terdilat bukan iskemik

Soalan ulasan

Adakah sel sumsum tulang selamat dan berkesan sebagai rawatan untuk kardiomiopati terdilat bukan iskemik (DCM)?

Latar belakang

DCM adalah gangguan otot jantung dengan dilatasi jantung (otot jantung menjadi regang) dan kontraksi terganggu, tanpa tekanan darah tinggi, injap jantung yang rosak atau berpenyakit, atau penyakit jantung semasa lahir atau berkait dengan infarksi miokardium (serangan jantung) . Standard rawatan semasa adalah berdasarkan ubat-ubatan dan peranti jantung. Walau bagaimanapun, DCM masih merupakan salah satu penyebab utama transplantasi jantung dalam kalangan dewasa.

Sel stem adalah sel khusus yang terhasil dalam sumsum tulang yang mampu membentuk pelbagai jenis sel. Memberi sel stem secara langsung ke otot jantung telah diusulkan sebagai rawatan alternatif untuk mengurangkan atau menghentikan kemerosotan fungsi jantung dalam kalangan orang dengan DCM.

Ciri-ciri kajian

Kami memilih kajian rawak terkawal (RCT; kajian klinikal di mana orang secara rawak dimasukkan ke dalam salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang membandingkan infusi sel stem dari sumsum tulang ke otot jantung dengan rawatan penjagaan biasa (kawalan) dalam kalangan orang yang didiagnos dengan DCM. Kami mencari pelbagai pangkalan data untuk kajian-kajian sehingga 10 November 2020.

Kami menyertakan 13 RCT melibatkan 762 peserta (452 menerima terapi sel stem dan 310 kawalan). Kajian-kajian melibatkan orang dengan gejala iskemik yang teruk (berikutan serangan jantung) dan DCM bukan iskemik. Kami memilih hanya data dari DCM bukan iskemik.

Kajian-kajian menyertakan purata 60 orang berusia sekitar 45 hingga 58.5 tahun dan 50% hingga 89% lelaki dalam setiap kajian. Setelah menjalani terapi, para peserta dinilai selama enam bulan hingga lima tahun, dengan kebanyakannya pada satu tahun. Satu kajian menyatakan pendanaan swasta manakala tujuh yang lain mendapat dana awam atau kerajaan, dua kajian memdapat dana bukan untung, dan empat kajian tidak melaporkan maklumat ini.

Keputusan utama

SCT berbanding kawalan: bukti berkualiti rendah menggambarkan ketidakpastian tentang mortaliti, komplikasi prosedur, kualiti hidup berkaitan dengan kesihatan dan kapasiti bersenam. Bukti berkualiti rendah mencadangkan SCT mungkin sedikit memperbaik kemerosotan fungsi jantung dan mungkin tidak meningkatkan risiko denyutan jantung abnormal dalam kalangan orang dengan DCM. Tiada kajian melaporkan hasil lain yang relevan seperti peristiwa buruk kardiak major.

STC ditambah sitokin berbanding kawalan: bukti berkualiti sangat rendah menggambarkan ketidakpastian tentang mortaliti. Bukti berkualiti rendah mencadangkan SCT ditambah sitokin mungkin tidak memperbaik kualiti hidup berkaitan kesihatan tetapi mungkin memperbaik kapasiti bersenam serta beberapa ukuran fisiologi yang berkait dengan fungsi jantung (walaupun tidak jelas sejauh mana hasil ini dikaitkan dengan manfaat klinikal yang relevan untuk pesakit). Oleh itu keputusan harus ditafsir dengan berhati-hati. Bukti berkualiti sangat rendah menggambarkan ketidakpastian tentang komplikasi prosedur. Tiada kajian melaporkan peristiwa buruk kardiak major atau denyutan jantung abnormal.

Oleh kerana bilangan kajian yang terhad, kami tidak dapat menganalisis untuk kenal pasti ciri khusus SCT dan ciri klinikal pesakit yang dikaitkan dengan hasil yang lebih baik. Oleh itu, lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk menentukan peranan SCT dalam rawatan DCM dan terapi yang paling berkesan.

Kualiti bukti

Bukti dalam ulasan ini adalah berkualiti rendah hingga sangat rendah kerana bilangan kecil peristiwa, keputusan yang tidak serupa merentasi kajian-kajian, risiko bias, dan isu dengan reka bentuk kajian. Tambahan pula, keterbatasan dalam pelaporan kebanyakan kajian menyukarkan perolehan dan menggunakan maklumat untuk mencapai kesimpulan yang lebih jelas.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nor Amirah Mohd shukor. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information