Adakah panduan ultrabunyi pilihan yang bagus untuk kanulasi intravena periferal pada orang dewasa?

Apakah kanulasi intravena periferal?

Meletakkan saluran intravena periferal adalah salah satu prosedur yang paling penting dalam perubatan. Ia melibatkan memasukkan tiub nipis dan fleksibel (dikenali sebagai kateter atau kanula) ke dalam vena menggunakan jarum. Proses ini dikenali sebagai ‘kanulasi’. Ia perlu apabila memberi cecair, ubat-ubatan, dan pengambilan sampel darah.

Kanulasi intravena periferal biasanya dilakukan dengan melihat dan menyentuh vena sasaran di tangan atau lengan. Kaedah ini dikenali sebagai kaedah mercu tanda. Meletakkan saluran intravena periferal kadangkala sukar, memerlukan beberapa tusukan jarum jika penyedia penjagaan kesihatan tidak dapat mencari vena yang sesuai. Jika kanulasi intravena periferal gagal dengan kaedah mercu tanda, garis vena pusat di leher atau dada selalunya merupakan langkah seterusnya. Namun, penempatan pusat saluran vena boleh menyebabkan komplikasi serius seperti jangkitan, trombosis (darah beku), dan pneumothorax (paru-paru kuncup). Kaedah ini juga lebih memakan masa dan kos yang tinggi. Oleh itu, penyisipan saluran vena pusat harus menjadi pilihan terakhir.

Bagaimanakah panduan ultrabunyi (USG) boleh membantu?

Ultrasound boleh menemui vena sasaran yang tidak dapat dilihat oleh mata. Ultrabunyi juga membolehkan penyedia penjagaan kesihatan melihat jarum dan struktur sekeliling penting yang tidak boleh rosak apabila memasukkan tiub. Panduan ultrabunyi sering digunakan untuk membantu kanulasi vena pusat, tetapi kegunaan untuk kanulasi vena periferal masih tidak jelas.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada panduan ultrabunyi berguna dan selamat berbanding kaedah mercu tanda untuk kanulasi intravena periferal pada orang dewasa. Kami juga ingin mengetahui sama ada penggunaan panduan ultrabunyi adalah berbeza dengan orang apabila kanulasi dikelaskan sebagai sukar, sederhana sukar, atau mudah.

Apa yang kami buat?

Kami secara sistematik mencari kajian yang membandingkan kesan panduan ultrabunyi kepada kaedah mercu tanda kepada kanulasi intravena periferal pada orang dewasa. Kami menggabungkan keputusan kajian, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami dapati?

Kami mendapati 16 kajian dengan 2267 peserta membandingkan kanulasi intravena periferal menggunakan panduan ultrabunyi kepada kaedah mercu tanda. Kesan panduan ultrabunyi adalah bergantung kepada tahap kesukaran orang kanulasi menggunakan kaedah mercu tanda. Kesan terbesar dilihat pada orang yang dikelaskan sebagai 'sukar' untuk kanulasi, dan kesannya menjadi lebih kecil apabila kesukaran berkurangan.

- Dalam pesakit 'sukar', bimbingan ultrabunyi boleh meningkatkan kejayaan lulus pertama kanulasi (iaitu, kemasukan tiub yang berjaya pada percubaan pertama), kejayaan keseluruhan kanulasi, dan tidak mempunyai kesan yang jelas terhadap kesakitan orang.

- Dalam pesakit 'sederhana sukar', bimbingan ultrabunyi mungkin meningkatkan kejayaan lulus pertama kanulasi, dan tidak ada kesan yang jelas pada kesakitan orang. Tiada kajian menilai kejayaan keseluruhan kanulasi.

- Dalam pesakit 'mudah', bimbingan ultrabunyi mengurangkan kejayaan lulus pertama kanulasi dan mungkin meningkatkan kesakitan orang. Tiada kajian menilai kejayaan keseluruhan kanulasi.

Apakah batasan bukti tersebut?

Kami tidak begitu yakin dengan bukti ini kerana kajian tidak selalu mengukur hasil dengan cara yang boleh dipercayai. Di samping itu, kajian berbeza dalam cara mereka menentukan tahap kesukaran dengan kaedah mercu tanda dan 'kegagalan tusukan'.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga November 2021. Kami mengenal pasti enam kajian yang sedang berlangsung. Kami akan memasukkan keputusan daripada kajian ini dalam kemas kini pada masa depan.

Mesej utama

Pada orang di mana kanulasi intravena periferal menggunakan kaedah mercu tanda adalah sukar, bimbingan ultrabunyi boleh meningkatkan lulus pertama dan kejayaan keseluruhan kanulasi dan tidak mempunyai kesan yang jelas pada kesakitan. Dalam pesakit yang agak sukar, bimbingan ultrabunyi mungkin meningkatkan sedikit kejayaan lulus pertama kanulasi dan mungkin tidak mempunyai kesan yang jelas pada kesakitan. Dalam pesakit yang mudah, panduan ultrabunyi mengurangkan kejayaan lulus pertama kanulasi dan mungkin meningkatkan sedikit kesakitan.

Kekurangan definisi umum dalam kajian yang disertakan untuk tahap kesukaran dengan kaedah mercu tanda dan kegagalan tusukan menjejaskan keputusan. Kajian pada masa depan harus menggunakan definisi biasa.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information