Soalan ulasan
Kami ingin mengetahui sama ada terapi tambahan (terapi yang digunakan sebagai tambahan kepada kaedah rawatan standard) selain daripada kortikosteroid (sejenis ubat anti-radang) adalah lebih baik atau lebih teruk daripada rawatan standard (iaitu antibiotik, digunakan dengan atau tanpa kortikosteroid) sahaja atau dengan plasebo (rawatan palsu) dalam merawat orang dengan meningitis bakteria akut (jangkitan bakteria pada selaput yang mengelilingi dan melindungi otak). Untuk menjawab soalan ini, kami mengulas bukti yang ada tentang kesan terapi tambahan selain kortikosteroid terhadap kematian, kehilangan pendengaran, dan sekuela neurologi lain (kesan selepas penyakit) pada orang dengan meningitis bakteria akut.
Latar belakang
Meningitis bakteria akut ialah jangkitan pada selaput pelindung yang mengelilingi otak, dikenali sebagai meninges. Meningitis menyebabkan keradangan dan kerosakan pada tisu otak yang membawa kepada kematian dalam 7% hingga 50% kes. Mereka yang terselamat sering mengalami sekuela neurologi (gejala sistem saraf yang berterusan selepas penyembuhan daripada jangkitan, seperti kehilangan pendengaran, kurang upaya fizikal (kemerosotan fungsi fizikal), masalah setempat (kekurangan neurologi setempat, atau kehilangan fungsi normal otak, saraf tunjang, atau saraf yang setempat ke kawasan tertentu badan), sawan, dan gangguan kognitif, yang sering membawa kepada masalah pembelajaran dalam golongan kanak-kanak dan masalah untuk kembali bekerja dalam golongan dewasa) yang boleh berlarutan selama beberapa minggu hingga bertahun-tahun. Meningitis bakteria dirawat dengan antibiotik sebagai terapi utama, dengan kortikosteroid merupakan satu-satunya terapi tambahan yang disarankan yang menunjukkan penambahbaikan hasil. Kami ingin mengetahui sama ada penggunaan terapi tambahan selain daripada kortikosteroid adalah lebih baik atau lebih teruk daripada rawatan standard sahaja atau dengan plasebo pada orang dengan meningitis bakteria akut.
Tarikh carian
Bukti adalah terkini sehingga September 2021.
Ciri-ciri kajian
Kami menilai semua farmakologi (ubat) terapi tambahan (kecuali kortikosteroid) yang mana kami temui kajian rawak terkawal (sejenis kajian di mana peserta dirawakkan kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang dijalankan pada orang dengan meningitis bakteria akut. Kami menemui lapan kajian yang mengkaji lima intervensi yang berbeza.
Tiga kajian (1274 peserta) menilai parasetamol dalam golongan kanak-kanak (tidak termasuk bayi baru lahir) dengan meningitis bakteria. Ketiga-tiga kajian telah dibiayai oleh pertubuhan kerajaan atau yayasan penyelidikan. Satu kajian juga melaporkan sokongan dana daripada akhbar harian, dan satu kajian melaporkan sokongan dana daripada syarikat farmaseutikal.
Dua kajian (49 peserta) menilai imunoglobulin dalam meningitis bakteria. Satu kajian memasukkan kanak-kanak (tidak termasuk bayi baru lahir), manakala kajian-kajian lain memasukkan orang dewasa yang tidak ditentukan umurnya. Sumber dana tidak dinyatakan. Satu kajian menerima ubat kajian daripada syarikat farmaseutikal.
Satu kajian (15 peserta) menilai heparin (penipis darah) dalam golongan orang dewasa dengan meningitis bakteria. Kajian ini dibiayai oleh sebuah yayasan penyelidikan.
Satu kajian (57 peserta) menilai pentoxifylline dalam golongan kanak-kanak (tidak termasuk bayi baru lahir) dengan meningitis bakteria. Sumber dana tidak dinyatakan.
Satu kajian (30 peserta) menilai campuran asid suksinik, inosin, nikotinamida, dan riboflavin mononukleotida dalam golongan kanak-kanak (tidak termasuk bayi baru lahir). Sumber dana tidak dinyatakan.
Keputusan utama
Kami mendapati bahawa parasetamol mungkin menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan untuk bilangan kematian (parasetamol 35.2% (berpotensi menyebabkan antara 7.1% pengurangan kematian sehingga 3.4% lebih kematian) berbanding plasebo 37.4%, bukti berkepastian rendah). Parasetamol mungkin menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kehilangan pendengaran (parasetamol 19.6% berbanding plasebo 18.8%, bukti berkepastian rendah); sekuela neurologi selain daripada kehilangan pendengaran (parasetamol 32.1% berbanding plasebo 20.6%, bukti berkepastian rendah); atau kehilangan pendengaran yang teruk (parasetamol 11.7% berbanding plasebo 12.2%, bukti berkepastian rendah). Parasetamol mungkin menghasilkan sedikit lebih sekuela neurologi berjangka pendek selain daripada kehilangan pendengaran (parasetamol 15.7% berbanding plasebo 7.9%, bukti berkepastian rendah) dan sedikit lebih sekuela neurologi berjangka panjang selain daripada kehilangan pendengaran (parasetamol 8.8% berbanding plasebo 3.8%, bukti berkepastian rendah). Tiada kesan sampingan dilaporkan.
Kesan imunoglobulin, heparin, pentoxifylline, dan campuran asid suksinik, inosin, nikotinamida, dan riboflavin mononukleotida ke atas bilangan kematian adalah tidak pasti kerana bukti berkepastian sangat rendah. Tiada kesan sampingan dilaporkan untuk imunoglobulin (bukti berkepastian sangat rendah), dan kadar tindak balas alahan sebanyak 3.3% dilaporkan pada pesakit yang menerima campuran asid suksinik, inosin, nikotinamide, dan riboflavin mononucleotida (kumpulan intervensi) (bukti berkepastian sangat rendah). Tiada hasil yang lain (kehilangan pendengaran, sekuela neurologi selain daripada kehilangan pendengaran, kehilangan pendengaran yang teruk, dan sekuela neurologi berjangka pendek atau berjangka panjang selain daripada kehilangan pendengaran) dilaporkan dalam kajian-kajian ini.
Kepastian bukti
Kepastian bukti untuk parasetamol adalah rendah untuk semua hasil disebabkan oleh isu dengan reka bentuk kajian, keputusan yang tidak konsisten dan terlalu sedikit peserta dalam kajian dan kurang laporan hasil kajian yang diinginkan untuk ulasan ini. Kepastian bukti adalah sangat rendah untuk semua rawatan lain disebabkan oleh isu reka bentuk kajian dan data yang tidak mencukupi. Tiada kesimpulan boleh dibuat tentang keberkesanan mana-mana rawatan yang dinilai pada masa ini kerana bukti yang terhad dan berkepastian rendah. Ini mungkin berubah jika hasil daripada kajian yang lebih besar dengan reka bentuk yang lebih baik menjadi tersedia.
Diterjemah oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my