Berapa berkesankah dresing dan agen topikal dalam pengurusan luka selepas rawatan pembedahan untuk sinus pilonidal punggung?

Mesej utama

- Plasma kaya platelet (sebahagian daripada darah peserta sendiri yang menggalakkan pertumbuhan semula tisu) boleh mengurangkan masa untuk penyembuhan luka berbanding kain kasa steril
- Krim pembaikan kulit Lietofix boleh membantu luka sembuh dalam masa 30 hari berbanding dengan dresing iodin (yang membantu mengurangkan bakteria dalam luka)
- Adalah tidak jelas sama ada dresing hidrogel (direka bentuk untuk luka kekal lembap) mengurangkan masa untuk penyembuhan luka berbanding pembersihan luka dengan iodin

Apakah penyakit sinus pilonidal punggung?

Penyakit sinus pilonidal pada punggung adalah keadaan menyakitkan yang lazim mempengaruhi orang dewasa muda.

Ia berlaku di rekah natal (alur antara punggung). Ia bermula sebagai keradangan folikel rambut atau folikel rambut yang dijangkiti. Kesan vakum, yang dihasilkan oleh gerakan punggung, boleh menarik lebih banyak rambut ke dalam kawasan yang meradang. Simptom boleh menjadi sangat sakit dan kadang-kadang berlarutan untuk masa yang lama.

Bagaimanakah sinus pilonidal pada punggung dirawat?

Keadaan ini sering dirawat secara pembedahan, dengan memotong kawasan keradangan yang mengandungi rambut dan puing, dan dalam beberapa kes luka tidak ditutup dengan jahitan tetapi dibiar terbuka untuk sembuh secara semula jadi. Terdapat banyak dresing dan agen topikal (krim atau losyen) sedia ada untuk membantu luka-luka sembuh.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin melihat dresing dan agen topikal yang manakah lebih baik untuk merawat luka terbuka selepas rawatan pembedahan untuk sinus pilonidal punggung.

Untuk setiap intervensi kami melihat:

- berapa lama masa yang perlu untuk menyembuhkan luka;
- bilangan luka yang sembuh selepas 30 hari, 6 bulan dan 1 tahun;
- sama ada luka berulang;
- berapa lama masa diambil oleh orang yang dirawat untuk kembali ke aktiviti harian biasa;
- kualiti hidup;
- nilai untuk wang;
- sakit semasa penukaran dresing pertama;
- kesan bahaya (contohnya jangkitan tapak pembedahan atau tindak balas alahan) selepas rawatan.

Apa yang kami lakukan?

Kami sertakan peserta dari sebarang umur dan jantina yang telah dirawat di sebarang persekitaran penjagaan. Kami mencari kajian di mana:

- peserta telah dirawat untuk penyakit sinus pilonidal pada punggung dengan luka terbuka;
- pelbagai dresing dan agen topikal dibandingkan untuk melihat keberkesanannya dalam membantu luka sembuh.

Apa yang kami dapati?

Kami sertakan 11 kajian, dengan jumlah 932 peserta. Dua kajian membandingkan terapi luka tekanan negatif topikal (yang mengaplikasi sedutan terkawal pada permukaan luka) dengan dresing luka mudah. Dua kajian membandingkan plasma kaya platelet dengan kasa penyerap steril. Tujuh kajian lain membandingkan pelbagai dresing dan agen topikal. Semua kajian dijalankan di hospital.

- Tiada kajian memberi data tentang kualiti hidup, nilai untuk wang atau sakit pada perubahan dresing pertama.
- Kami tidak tahu sama ada terapi luka tekanan negatif topikal membantu luka sembuh lebih cepat daripada dresing luka mudah.
- Krim pembaikan kulit Lietofix boleh membantu luka sembuh dalam masa 30 hari.
- Kami tidak tahu sama ada dresing hidrogel membantu luka sembuh lebih cepat atau melindungi lebih baik daripada jangkitan tapak pembedahan berbanding pembersihan luka dengan 10% iodin povidon.
- Plasma kaya platelet mungkin mengurangkan masa untuk penyembuhan luka berbanding kain kasa penyerap steril.
- Berbanding jejaring plasebo, jejaring zink oksida (yang dianggap bersifat menyembuhkan) mungkin mempunyai ada sedikit atau tiada kesan ke atas sama ada luka sembuh dalam 30 hari, dan adalah tidak jelas jika ia mengurangkan masa untuk penyembuhan luka.
- Kami tidak tahu sama ada span kolagen yang direndam dalam antibiotik berkesan ke atas masa penyembuhan luka berbanding tanpa dresing.
- Dresing yang disalut dengan dialkylcarbamoyl chloride (bahan yang melekat pada bakteria) mungkin memberi sedikit atau tiada perbezaan masa penyembuhan luka berbanding dresing alginat (diperolehi daripada rumpai laut).

Apakah limitasi bukti?

Kami tidak begitu yakin dengan bukti kerana hanya terdapat satu atau dua kajian dalam setiap perbandingan dan kebanyakan kajian adalah sangat kecil. Mungkin juga orang dalam kajian mengetahui rawatan yang mereka terima.

Adakah bukti ini mutakhir?

Bukti dalam ulasan ini adalah terkini sehingga Mac 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal (PPM). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information