Apa yang dapat dilakukan oleh individu, terutama mereka yang mengalami masalah pernafasan jangka panjang, untuk mengelakkan kesan pencemaran udara?

Soalan ulasan

1. Apa pilihan yang ada bagi orang dengan dan tanpa masalah pernafasan jangka panjang untuk mengurangkan pendedahan mereka terhadap pencemaran udara luar?

2. Adakah pilihan ini memberi kesan kepada kesihatan orang yang mengalami masalah pernafasan jangka panjang?

Latar belakang soalan

Pencemaran udara luar adalah masalah utama. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan bahawa lebih daripada 90% orang tinggal di tempat di mana pencemaran udara adalah pada tahap berbahaya. Adalah diperkirakan bahawa purata orang yang tinggal di Eropah kehilangan satu tahun hidup kerana kualiti udara yang buruk.

Pencemaran udara cenderung memberi kesan yang lebih besar pada orang yang mengalami masalah pernafasan, seperti asma dan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD).

Beberapa pilihan untuk membantu mengurangkan kesan pencemaran udara termasuk memakai pelitup muka yang menapis pencemaran ketika berada di luar, mengelakkan jalan raya tertentu yang banyak kenderaan, atau menggunakan amaran pencemaran udara. Adalah tidak jelas sejauh mana pilihan ini berfungsi, dan ada juga kemungkinan pilihan tersebut mempunyai kesan yang tidak diingini atau tidak menyenangkan.

Kami memutuskan untuk membuat kajian ini setelah bertemu dengan sekumpulan orang dengan COPD di London. Kami meminta mereka untuk memberitahu kami soalan terpenting mengenai kesihatan mereka. Beberapa ahli kumpulan ingin mengetahui apakah ada bukti mengenai apa yang dapat mereka lakukan sendiri untuk mengurangkan menghirup udara yang tercemar.

Pengenalan dan pemilihan kajian

Kami mencari beberapa pangkalan data dalam talian untuk kajian yang mencuba pelbagai pilihan, seperti pelitup muka dan amaran pencemaran udara. Kami mencari kajian dalam apa-apa bahasa, diterbitkan di mana sahaja di dunia dan pada bila-bila masa, dan juga maklumat yang tidak diterbitkan. Dua penyelidik melihat senarai kajian secara berasingan dan kemudian menyetujui kajian mana yang harus kami sertakan. Kami menjalankan carian terkini pada 16 Oktober 2020.

Ciri-ciri kajian

Kami memasukkan sebarang kajian yang mencuba intervensi peringkat individu untuk mengurangkan jumlah pencemaran udara yang terdedah kepada seseorang. Dengan ini kami maksudkan sesuatu yang dapat dilakukan oleh seseorang sendiri, misalnya memakai pelitup muka, atau mendaftar untuk menerima amaran mengenai tahap pencemaran udara. Kami menyertakan kajian pada orang dewasa dan kanak-kanak yang sihat, serta orang dengan masalah pernafasan jangka panjang. Ukuran utama yang kami ingin tahu adalah: ukuran pendedahan pencemaran udara; kemerosotan keadaan pernafasan; kemasukan ke hospital; kualiti hidup; dan kesan sampingan serius yang tidak diingini. Kebanyakan kajian dibiayai oleh kerajaan atau badan amal.

Keputusan utama

Kami menjumpai sebelas kajian untuk dimasukkan dalam ulasan ini. Kajian mencuba beberapa cara yang berbeza untuk mengurangkan pendedahan pencemaran udara: lima kajian menggunakan pelitup muka yang menyaring pencemaran, lima kajian menggunakan amaran dan pendidikan pencemaran udara, dan satu kajian menguji perjalanan kitaran pencemaran tahap lebih rendah. Kajian adalah bervariasi dalam saiz dari 15 orang hingga lebih dari 1000.

Oleh kerana kajian adalah sangat berbeza, kami tidak dapat menggabungkan keputusannya secara statistik. Kami juga menemui bahawa sebahagian besar kajian tidak dapat 'membutakan' peserta atau staf kajian, yang bermaksud orang yang terlibat dalam kajian mengetahui sama ada mereka menerima pilihan yang bertujuan untuk mengurangkan pendedahan pencemaran. Ini penting kerana mengetahui perkara ini dapat mempengaruhi cara orang bertindak.

Kajian pelitup muka penapis pencemaran dan laluan kitaran

Kami mendapati bahawa pelitup muka dan laluan kitaran pencemaran tahap lebih rendah mungkin memberi kesan kecil pada ukuran yang menunjukkan bahawa anda terdedah pada pencemaran udara (contohnya tekanan darah), tetapi keputusan dari kajian yang berlainan adalah bervariasi dan kami sangat tidak pasti. Satu kajian melaporkan bahawa orang mendapati pernafasan sedikit sukar semasa memakai pelitup muka, tetapi tidak ada kajian lain yang secara khusus mencatat kesan sampingan yang tidak diingini. Orang yang menggunakan laluan kitaran pencemaran tahap lebih rendah mengalami kurang kerengsaan di hidung dan tekak mereka, tetapi ia tidak mempengaruhi gejala pernafasan yang lain.

Kajian amaran kualiti udara

Satu kajian mendapati bahawa menghantar amaran kepada orang ketika kualiti udara buruk mungkin meningkatkan kekerapan mereka menghadiri jabatan kecemasan atau dimasukkan ke hospital. Tetapi dua kajian lain yang melihat pada hal ini tidak menemui perbezaan yang jelas antara orang yang menerima amaran dan orang yang tidak.

Kami menemui dalam beberapa kajian, orang yang menerima amaran pencemaran udara dan pendidikan untuk mengelakkan pencemaran udara melaporkan tingkah laku yang lebih bersifat ‘pencegahan’, misalnya mengelakkan bersenam di luar ketika kualiti udara buruk. Tetapi dalam kajian lain, amaran nampaknya tidak banyak memberikan perbezaan.

Kajian lain melaporkan bahawa tidak ada perbezaan yang jelas dalam gejala pernafasan antara mereka yang menerima amaran pencemaran udara dan mereka yang tidak.

Kami telah memberikan definisi kata kunci dalam glosari ( Jadual 1).

Kesimpulannya

Kami tidak menemui banyak kajian untuk membantu kami menjawab soalan ini. Kajian yang kami temui adalah agak berbeza antara satu sama lain sehingga kami tidak dapat menggabungkannya bersama untuk membuat gambaran yang lebih jelas. Ini bermaksud bahawa kami masih tidak dapat memastikan apakah nasihat terbaik untuk diberikan pada orang yang ingin mengurangkan impak pencemaran udara dalam kehidupan mereka sehari-hari.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nor Amirah Mohd Shukor. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information