Mengapakah ulasan ini penting?
Gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) adalah keadaan yang teruk dan melumpuhkan yang mungkin berlaku pada orang yang terdedah kepada peristiwa traumatik. Peristiwa sebegini boleh mempunyai kesan negatif yang berpanjangan terhadap kehidupan mereka yang pernah mengalaminya, serta kehidupan orang yang tersayang.
Penyelidikan telah menunjukkan bahawa terdapat beberapa perubahan dalam cara otak berfungsi kepada orang dengan PTSD. Sesetengah penyelidik telah mencadang menggunakan ubat-ubatan untuk menyasarkan perubahan ini sejurus selepas sesuatu peristiwa traumatik, sebagai cara untuk mencegah terjadinya PTSD. Walau bagaimanapun, kebanyakan orang yang mengalami peristiwa traumatik tidak akan mengalami PTSD. Oleh itu, ubat-ubatan yang boleh diberikan sejurus selepas pendedahan kepada peristiwa traumatik mesti dinilai dengan teliti untuk keberkesanannya, termasuk mengimbangi risiko kesan sampingan terhadap risiko mengalami PTSD.
Siapakah yang akan berminat?
- Orang yang terdedah kepada peristiwa traumatik dan keluarga, rakan dan orang tersayang
- Profesional yang bekerja dalam bidang kesihatan mental
- Profesional yang bekerja dalam bidang traumatologi dan perubatan kecemasan
- Orang yang menjaga mangsa peristiwa traumatik dan veteran angkatan tentera
Apakah soalan yang cuba dijawab oleh ulasan ini?
Bagi orang yang terdedah kepada peristiwa traumatik, sama ada mereka mempunyai simptom psikologi atau tidak, terdapat beberapa ubat yang lebih berkesan daripada ubat lain atau plasebo (pil dummy) dalam:
- mengurangkan keterukan gejala PTSD?
- mengurangkan bilangan orang yang berhenti makan ubat kerana kesan sampingan?
- mengurangkan kebarangkalian untuk mengalami PTSD?
Kajian manakah yang disertakan dalam ulasan ini?
Kami mencari pangkalan data saintifik untuk kajian di mana peserta diberikan ubat secara rawak dengan tujuan mencegah PTSD dan gejala-gejalanya atau mengurangkan keterukan. Kami menyertakan kajian yang diterbitkan sehingga November 2020. Kami memilih kajian pada orang dewasa yang pernah mengalami mana-mana jenis peristiwa traumatik, dan yang menyediakan rawatan, tidak kira sama ada peserta mempunyai gejala psikologi atau tidak.
Kami menyertakan 13 kajian, dengan jumlah seramai 2023 peserta. Satu kajian sahaja telah menyumbang seramai 1244 peserta. Kajian-kajian itu berlangsung dalam tetapan yang berbeza dan melibatkan orang yang terdedah kepada pelbagai peristiwa traumatik. Beberapa kajian berlangsung di jabatan kecemasan dan melibatkan trauma yang disebabkan oleh kecederaan yang disengajakan atau yang tidak disengajakan. Kajian lain memfokus kepada penyakit yang mengancam nyawa sebagai punca trauma, termasuk pembedahan major atau kemasukan ke unit rawatan rapi. Ubat-ubatan yang paling kerap diberikan kepada peserta dalam kajian termasuk: hidrokortison (yang mengurangkan tindak balas imun badan), propranolol (digunakan untuk merawat masalah jantung dan kebimbangan, antara keadaan lain), dan gabapentin (ubat yang digunakan terutamanya untuk merawat sawan dan sakit saraf).
Apakah yang diberitahu oleh bukti tersebut?
Kami menjumpai empat kajian yang membandingkan hidrokortison dengan plasebo. Kajian-kajian ini tidak melaporkan prestasi peserta pada tiga bulan selepas peristiwa traumatik, iaitu pada titik masa yang biasanya berguna untuk menilai evolusi gejala PTSD.
Kami menemui bukti yang mempunyai kepastian yang sangat rendah tentang propranolol berbanding plasebo tiga bulan selepas peristiwa traumatik. Bukti ini tidak memberitahu kami sama ada propranolol lebih berkesan atau tidak berbanding plasebo dalam mengurangkan keterukan gejala PTSD dan kebarangkalian untuk mengalami PTSD. Kami tidak menemui bukti tentang kebarangkalian orang berhenti makan ubat kerana kesan sampingan, kualiti hidup atau ketidakupayaan berfungsi (ukuran jangka hayat seseorang dihadkan oleh gejala).
Kami menemui bukti yang mempunyai kepastian yang sangat rendah tentang gabapentin berbanding plasebo tiga bulan selepas peristiwa traumatik. Bukti ini tidak memberitahu kami sama ada gabapentin lebih berkesan atau tidak daripada plasebo dalam mengurangkan keterukan gejala PTSD dan kebarangkalian untuk mengalami PTSD. Kami tidak menemui bukti tentang kebarangkalian orang berhenti makan ubat kerana kesan sampingan, kualiti hidup, atau ketidakupayaan berfungsi.
Kami menemui kajian tentang ubat tambahan, di mana maklumat tentang pengurangan keterukan PTSD dan kebarangkalian orang berhenti makan ubat sama ada tiada kesimpulan ataupun tiada.
Tiada kajian yang disertakan yang mengukur ketidakupayaan fungsi peserta.
Apakah yang patut berlaku seterusnya?
Bukti yang kami temui tidak menyokong penggunaan sebarang ubat untuk pencegahan PTSD pada orang yang terdedah kepada peristiwa traumatik, tidak kira sama ada mereka mempunyai gejala psikologi atau tidak. Lebih banyak kajian berkualiti tinggi yang melibatkan lebih ramai orang diperlukan untuk membuat kesimpulan tentang rawatan ini.
Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.