Mesej utama
• Rawatan dengan nabiximols berkemungkinan menghasilkan peningkatan spastik dan mungkin tidak meningkatkan kesan bahaya yang serius dibandingkan dengan plasebo
• Dibandingkan dengan plasebo, kanabinoid (nabiximols, ekstrak C annabis, kanabinoid sintetik) berkemungkinan meningkatkan kesejahteraan apabila diukur dengan hasil yang dilaporkan pesakit
• Disebabkan oleh kekurangan bukti kukuh, manfaat ubat-ubatan ini untuk merawat sakit neuropatik kronik adalah tidak jelas.
Apakah isunya?
Ramai pesakit multiple sklerosis (multiple sclerosis, MS) mengalami spastik yang mengakibatkan kesakitan dan kesan ke atas keupayaan untuk menjalankan aktiviti harian. Spastik adalah satu bentuk peningkatan nada otot. Ubat berasaskan cannabis merujuk kepada penggunaan Cannabis, atau ramuannya yang dipanggil kanabinoid, sebagai terapi perubatan untuk mengurangkan spastik, sakit kronik dan simptom lain dalam MS. Satu soal selidik antarabangsa menjumpai bahawa MS adalah salah satu daripada lima keadaan perubatan yang C annabis paling kerap digunakan. Satu lagi soal selidik yang dijalankan di UK menunjukkan bahawa lebih daripada satu daripada lima pesakit MS melaporkan mereka telah menggunakan Cannabis untuk cuba menguruskan simptom mereka.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada kanabinoid lebih baik daripada plasebo pada orang dewasa dengan MS untuk meningkatkan:
• spastik;
• sakit neuropatik kronik;
- kesejahteraan hidup,
Kami juga ingin mengetahui sama ada kanabinoid dikaitkan dengan:
• pemberhentian rawatan akibat kesan yang tidak diingini;
• kesan bahaya yang serius;
• gangguan sistem saraf atau gangguan psikiatri;
• toleransi dadah ditakrifkan sebagai keadaan yang berlaku apabila badan membiasakan diri dengan ubat supaya lebih banyak ubat diperlukan.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan kanabinoid dengan plasebo pada orang dewasa dengan MS. Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan mereka, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah kajian dan kepastian bukti.
Apakah yang kami temui?
Kami menjumpai 25 kajian yang melibatkan 3763 pesakit MS, 2290 daripadanya menerima kanabinoid. Lima belas kajian adalah kajian jangka sangat pendek atau jangka pendek (dua hingga 12 minggu), tujuh kajian jangka pertengahan (12 hingga 26 minggu), dan dua kajian jangka panjang (50 dan 156 minggu). Satu kajian melaporkan keputusan pada tiga hari sahaja. Kajian terbesar melibatkan 657 orang dan kajian terkecil melibatkan 14 orang. Kebanyakan kajian dilakukan di negara Eropah. Tiga belas kajian menilai semburan oral (nabiximols) yang mengandungi dua sebatian yang diperoleh daripada tumbuhan C annabis. Kajian lain membandingkan kanabinoid yang berbeza dengan plasebo. Syarikat farmaseutikal membiayai 15 daripada kajian tersebut.
Hasil utama
Berbanding dengan plasebo, kanabinoid:
• mungkin meningkatkan bilangan orang yang melaporkan pengurangan penting tahap keparahan spastik yang dirasakan sehingga 14 minggu (bukti daripada lima kajian yang melibatkan 1143 orang);
• boleh meningkatkan bilangan orang yang melaporkan pengurangan penting tahap keparahan kesakitan neuropatik kronik yang dirasakan, tetapi buktinya sangat tidak pasti (bukti daripada satu kajian melibatkan 48 orang).
Kami tidak pasti sama ada kanabinoid mengurangkan keamatan kesakitan neuropatik kronik:
• mungkin meningkatkan bilangan orang yang menganggap kesejahteraan hidup mereka telah bertambah baik 'sangat banyak' atau 'banyak' (bukti daripada lapan kajian yang melibatkan 1215 orang);
• boleh meningkatkan sedikit bilangan orang yang menghentikan rawatan kerana kesan yang tidak diingini (bukti daripada 21 kajian yang melibatkan 3110 orang);
• boleh mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan orang yang mempunyai kesan berbahaya yang serius (bukti daripada 20 kajian yang melibatkan 3124 orang);
• boleh meningkatkan gangguan sistem saraf (bukti daripada tujuh kajian yang melibatkan 1154 orang) atau gangguan psikiatri (bukti daripada enam kajian yang melibatkan 1122 orang);
• mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas bilangan orang yang mempunyai toleransi dadah, tetapi buktinya sangat tidak pasti (dua kajian yang melibatkan 458 orang).
Apakah batasan bukti tersebut?
Tiada bukti berkualiti tinggi.
Kami sederhana yakin bahawa kanabinoid berfungsi lebih baik berbanding tiada kanabinoid untuk meningkatkan tahap keparahan spastik dan kesejahteraan hidup pada orang dewasa dengan MS. Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap keputusan kami untuk kesan ke atas kesakitan neuropatik kronik kerana bukti yang sedia ada adalah terhad.
Terdapat bukti terhad untuk menentukan kesan kanabinoid pada kesan berbahaya yang serius, gangguan sistem saraf atau psikiatri, dan toleransi ubat.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Disember 2021.
Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Universiti Kebangsaan Malaysia). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my