Apakah itu batu karang?
Batu karang adalah koleksi bahan yang mengandungi kalsium yang biasanya keras, dan ia boleh terbentuk dalam satu atau kedua-dua buah pinggang. Batu karang boleh terbentuk apabila paras tinggi mineral tertentu membentuk kristal dalam saluran kencing. Batu ini boleh menjadi sekecil butiran pasir atau sebesar kacang pis. Dalam kes yang jarang berlaku, ia boleh menjadi sebesar bola golf. Batu karang yang kecil mungkin tidak menyebabkan gejala atau kesakitan yang teruk. Batu karang yang lebih besar boleh menyekat air kencing daripada keluar dari buah pinggang.
Bagaimanakah batu karang dirawat?
Orang yang mempunyai batu karang yang besar selalunya memerlukan rawatan. Dua cara biasa untuk merawat batu karang dipanggil litotripsi perkutaneus (PCNL) dan pembedahan intrarenal retrogred (RIRS). PCNL melibatkan tiub kecil yang diletakkan dari permukaan kulit ke dalam buah pinggang dan kemudian menggunakan pelbagai peralatan untuk memecahkan dan mengeluarkan batu karang. RIRS melibatkan tiub tontonan panjang yang diletakkan melalui uretra (saluran yang menyambungkan pundi kencing ke bahagian luar badan) dan ureter (saluran yang menyambungkan pundi kencing dan buah pinggang) ke dalam buah pinggang, kemudian menggunakan pelbagai peralatan untuk memecahkan dan mengeluarkan batu karang. Tidak jelas bagaimana perbandingan kedua-dua rawatan itu.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada PCNL lebih baik daripada RIRS dalam merawat batu karang. Kami terutamanya berminat dengan keputusan berikut.
• Pengeluaran sepenuhnya batu karang
• Komplikasi yang serius
• Keperluan untuk prosedur membuang batu yang lain
• Konsultasi perubatan yang tidak dirancang
• Tempoh tinggal di hospital
• Penyempitan atau kecederaan pada ureter
• Kualiti hidup
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan PCNL dengan RIRS dalam kalangan orang dewasa dengan batu karang dalam sebarang saiz dan terletak di mana-mana bahagian buah pinggang. Kami membanding dan merumuskan keputusan daripada kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami mendapati 42 kajian yang membahagikan peserta secara rawak sama ada kepada PCNL atau RIRS. Terdapat 4571 peserta secara keseluruhan. Purata umur peserta adalah antara 27.7 tahun dan 59.3 tahun, dan purata saiz batu karang adalah antara 10.1 mm dan 39.1 mm.
Keputusan utama
Kami mendapati bahawa berbanding dengan orang yang dirawat dengan RIRS, orang yang dirawat dengan PCNL mungkin lebih cenderung bebas daripada batu karang selepas prosedur dan kurang berkemungkinan memerlukan prosedur lain untuk mengeluarkan batu karang yang berbaki. PCNL mungkin tidak meningkatkan risiko komplikasi yang serius, walaupun ia boleh mengakibatkan tinggal lebih lama di hospital. Kami juga mendapati bahawa orang yang dirawat dengan PCNL mungkin tidak lebih cenderung mengalami penyempitan ureter berbanding orang yang dirawat dengan RIRS. Kami tidak menemui sebarang bukti untuk konsultasi perubatan yang tidak dirancang atau kualiti hidup.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai keyakinan yang tipis terhadap bukti untuk kebanyakan keputusan, terutamanya kerana kajian tidak dirancang atau dijalankan dengan baik dan kerana keputusan berbeza dengan ketara antara kajian-kajian.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Penemuan ulasan ini adalah terkini setakat 23 Mac 2023.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia).