Apakah tujuan ulasan ini?
Gangguan spektrum autisme (ASD) adalah gangguan yang agak biasa yang melibatkan perkembangan otak yang tidak normal. Ia selalunya membawa kepada tingkah laku yang berulangan, aktiviti yang tersekat, minat yang terhad, fungsi sosial dan berbahasa yang berkurangan. Tidak ada rawatan yang berkesan untuk ciri-ciri ASD ini tetapi penyelidikan baru-baru ini menunjukkan bahawa D-sikloserin dapat meningkatkan kemahiran sosial dan komunikasi dalam orang dengan ASD. D-sikloserin adalah sejenis ubat yang digunakan untuk mengubati tuberkulosis (jangkitan berjangkit yang biasanya menyerang paru-paru) dan skizofrenia (gangguan pemikiran, emosi dan tingkah laku mental yang serius). Kami ingin mengetahui sama ada D-sikloserin, secara tunggal atau dengan kombinasi rawatan lain, lebih baik atau lebih buruk daripada plasebo (pil dummy) dalam meningkatkan kemahiran sosial dan komunikasi pada individu dengan ASD. Kami juga ingin mengetahui sama ada terdapat kesan sampingan yang berbahaya daripada penggunaan ubat ini.
Mesej utama
Nampaknya tidak ada perbezaan yang jelas antara D-sikloserin dan latihan kemahiran sosial dengan latihan kemahiran sosial sendiri pada kemahiran sosial dan komunikasi pada individu dengan ASD. Walau bagaimanapun, kami kurang pasti tentang hasil-hasil ini.
Apa yang dikaji dalam tinjauan ini?
Kami mencari pengkalan data kajian saintifik dan mendapati satu kajian relevan untuk dimasukkan di dalam ulasan ini. Kajian ini dilakukan di AS dan tidak mempunyai pembiayaan industri. Sebanyak 67 kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun dimasukkan dalam kajian ini. Satu kumpulan mengambil ubat yang disebut D-sikloserin seminggu sekali ditambah dengan latihan kemahiran sosial, dan kumpulan yang lain mengambil pil plasebo (pil dummy yang tidak termasuk ubat) ditambah dengan latihan kemahiran sosial. Rawatan berlangsung selama 10 minggu.
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Satu minggu selepas rawatan, tidak ada perbezaan dalam interaksi sosial, tingkah laku berulangan dan kemahiran berbahasa antara kumpulan D-sikloserin dan plasebo. Berbanding dengan rawatan plasebo, D-sikloserin mungkin tidak meningkatkan jumlah kesan sampingan yang berbahaya, jumlah orang yang tercicir dari kajian dan tindak balas terhadap rawatan.
D-sikloserin boleh menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan terhadap kekurangan kemahiran sosial dan komunikasi pada individu dengan ASD. Penemuan ini mungkin berubah jika disertakan lebih banyak kajian. Kami tidak mengetahui kesan jangka panjang D-sikloserin kerana jangka masa kajian yang singkat.
Sejauh mana ulasan ini dikemas kini?
Penulis ulasan mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga November 2020.
Diterjemahkan oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia) . Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my