Intervensi-intervensi pembedahan dan perubatan untuk jangkitan cantuman aorta abdomen

Latar belakang

Jangkitan cantuman aorta abdomen adalah komplikasi serius berikutan pembedahan aneurisma aorta. Mereka boleh diurus melalui dua cara: sama ada dengan pembedahan atau pengurusan perubatan. Pembedahan merupakan rawatan utama pada masa ini dan biasanya dilakukan melalui dua cara, iaitu satu cara melibatkan membuang dan menggantikan cantuman yang mempunyai jangkitan, dan cara yang lain pula memintas cantuman yang mempunyai jangkitan. Pengurusan perubatan biasanya melibatkan pengambilan antibiotik jangka panjang. Pengurusan perubatan mengelakkan potensi risiko komplikasi pembedahan, tetapi ia memerlukan penggunaan antibiotik untuk beberapa bulan, atau sepanjang hayat. Pada masa ini, terdapat tiada kesepakatan mengenai intervensi (pembedahan atau perubatan) yang mana adalah paling berkesan dalam mengurus jangkitan cantuman aorta abdomen. Dalam keadaan kecemasan atau kompleks seperti kebocoran cantuman, pengurusan pembedahan merupakan satu-satunya pilihan, manakala untuk mereka yang tidak sesuai untuk menjalani pembedahan, pengurusan perubatan adalah pilihan yang lebih disukai. Namun begitu, dalam keadaan bukan kecemasan, biasanya pilihan peribadi yang mempengaruhi penyedia penjagaan kesihatan membuat keputusan. Ulasan ini bertujuan untuk menilai dan membanding kesan intervensi pembedahan dan perubatan untuk jangkitan cantuman aorta abdomen.

Ciri-ciri kajian dan keputusan utama

Kami mencari kajian rawak terkawal (sejenis kajian di mana peserta-peserta diperuntukkan kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan melalui cara rawak) sehingga Disember 2019. Kami tidak menjumpai kajian yang menepati kriteria kemasukan kami. Oleh itu, pada masa ini tidak ada bukti yang mencukupi untuk membuat kesimpulan berkaitan dengan kesan intervensi pembedahan dan perubatan untuk jangkitan cantuman aorta abdomen.

Kesimpulan

Kajian rawak terkawal pelbagai pusat adalah diperlukan untuk mengenal pasti kaedah yang paling berkesan untuk merawat jangkitan cantuman aorta. Dengan melakukan ini, garis panduan ‘piawaian emas’ boleh dirumuskan supaya semua pesakit boleh menerima tahap rawatan yang sama tanpa mengira di mana mereka dirawat.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nicole Fong Wan June. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiicd.edu.my

Tools
Information