Tujuan ulasan Cochrane ini adalah untuk menilai kesan dasar yang mensasarkan mereka yang memberi preskripsi ubat-ubatan. Penulis ulasan mengumpul dan menganalisis semua kajian yang relevan untuk menjawab soalan ini dan menjumpai dua kajian.
Ulasan ini adalah satu daripada siri ulasan yang telah dirancang atau siap yang melihat kesan pelbagai jenis dasar farmaseutikal tentang penggunaan ubat secara rasional.
Mesej-mesej utama
Kami tidak tahu apakah kesan dasar pendidikan atau kawal selia terhadap pemberian preskripsi ubat kerana bukti kepastian adalah sangat rendah.
Apakah dasar pendidikan dan kawal selia?
Sejumlah besar dana penjagaan kesihatan dibelanjakan untuk ubat-ubatan, dan jumlah ini semakin meningkat. Dan penyedia penjagaan kesihatan tidak sentiasa memberikan preskripsi ubat-ubatan yang betul. Oleh itu, pembuat dasar mencari cara untuk mengawal kos ubat-ubatan tetapi masih memastikan pesakit mendapatkan ubat-ubatan yang mereka perlukan. Kerajaan, badan bukan kerajaan dan pemberi insurans kesihatan kadang-kala cuba melakukan hal ini dengan mensasarkan mereka yang memberikan preskripsi ubat-ubatan.
Satu cara untuk melakukan hal ini adalah memperkenalkan dasar pendidikan. Ini termasuk akta, undang-undang dan peraturan-peraturan yang memerlukan pemberi preskripsi ubat untuk mendapatkan jenis maklumat, pendidikan atau maklum balas tertentu mengenai tingkah laku memberi preskripsi mereka.
Satu lagi pendekatan adalah dengan memperkenalkan polisi kawal selia. Ini termasuk akta, undang-undang dan peraturan-peraturan mengenai siapa yang boleh memberi preskripsi ubat-ubatan, apa jenis ubat yang boleh diberikan preskripsi dan berapa banyak yang boleh mereka preskripsi. Biasanya, pemberi preskripsi dipantau untuk memastikan mereka mengikuti dasar-dasar ini.
Apakah keputusan utama ulasan?
Penulis ulasan mendapati terdapat dua kajian yang berkaitan. Kedua-dua kajian ini adalah dari Amerika Syarikat dan kedua-duanya menilai dasar yang diperkenalkan pada akhir 1990-an.
Kajian pertama menilai dasar yang bertujuan untuk mendapatkan doktor untuk memberi preskripsi antihistamin yang lebih murah tetapi dianggap sama baik dengan antihistamin yang lain. Dalam satu bahagian kajian, surat dihantar kepada doktor-doktor dan kepada pesakit mereka memberitahu mereka tentang dasar baru, dan memberi mereka maklumat tentang antihistamin. Di bahagian lain kajian itu, surat hanya dihantar kepada doktor.
Kajian kedua menilai dasar yang bertujuan untuk mendapatkan doktor untuk memberi preskripsi benzodiazepin yang lebih sedikit untuk jenis pesakit tertentu. Dasar ini memerlukan doktor di negeri New York untuk mengisi tiga salinan borang yang sama setiap kali mereka memberi preskripsi benzodiazepin. Farmasi kemudian menghantar salah satu salinan ke unit pengawasan negeri yang memantau apa yang dipreskripsikan oleh doktor. Kajian ini membandingkan doktor-doktor ini dengan doktor-doktor di negeri New Jersey, yang tidak dipantau dengan cara yang sama.
Disebabkan bukti kepastian dari kedua-dua kajian ini adalah sangat rendah, kami tidak tahu apakah kesan dasar-dasar ini terhadap penggunaan ubat-ubatan oleh individu. Kami juga tidak tahu sama ada dasar-dasar ini mempunyai kesan ke atas kesihatan rakyat atau penggunaan perkhidmatan penjagaan kesihatan atau kos kerana kajian-kajian ini tidak mengukur maklumat ini.
Sehingga bilakah ulasan ini dikemaskini?
Penulis ulasan mencari kajian-kajian yang telah diterbitkan sehingga Mac 2018.
Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my