Sejauh mana ketepatan imbasan ultrasound dengan kontras yang dipertingkatkan untuk mengesan karsinoma hepatoselular?

Mesej utama

Dalam kalangan orang dewasa dengan penyakit hati kronik, ultrasound dengan kontras yang dipertingkatkan (CEUS) boleh menyebabkan diagnosis karsinoma hepatoselular terlepas dalam kira-kira 22.2% orang yang kemudiannya tidak akan menerima rawatan yang tepat pada masanya atau sesuai, dan akan gagal untuk mendiagnosis karsinoma hepatoselular dalam 6.2% orang yang mungkin menerima ujian lanjut atau rawatan yang tidak diperlukan.

Dalam subset orang yang boleh membuang karsinoma hepatoselular melalui pembedahan, CEUS mungkin terlepas karsinoma hepatoselular dalam 22.5% orang yang boleh menjalani pembedahan untuk membuang sebahagian daripada hati mereka manakala ia akan tersilap menemui kanser dalam 7.3% orang yang akan menjalani ujian lanjut atau pembedahan yang tidak diperlukan.

Memandangkan terdapat beberapa masalah dengan cara kajian dijalankan, CEUS untuk pengesanan karsinoma hepatoselular mungkin kelihatan lebih tepat daripada yang sebenarnya.

Mengapa penambahbaikan diagnosis karsinoma hepatoselular penting?

Karsinoma hepatoselular adalah kanser yang berasal dari hati. Ia adalah keenam dari segi kejadian kanser dan keempat dari segi kematian berkaitan kanser di seluruh dunia. Kanser ini kebanyakannya berlaku pada orang dengan penyakit hati kronik tanpa mengira punca sebenar. Orang yang mempunyai ujian darah atau keputusan ultrasound yang menunjukkan mereka mungkin menghidap karsinoma hepatoselular berkemungkinan menjalani ujian lanjut, seperti pengimejan atau biopsi (di mana sekeping hati yang kecil dikeluarkan dan diperiksa). Jika kanser dikesan awal, penghidap boleh memilih supaya sebahagian daripada hati dibuang atau menjalani transplantasi hati. Dalam karsinoma hepatoselular lanjutan, mereka mungkin memerlukan kemoterapi. Jika karsinoma hepatoselular terlepas semasa ujian diagnostik, penghidap tidak akan menerima rawatan yang sesuai. Walau bagaimanapun, diagnosis karsinoma hepatoselular yang salah apabila seseorang tidak menghidap kanser bermakna orang mungkin menjalani ujian atau rawatan yang tidak diperlukan.

Apakah ultrasound dengan kontras yang dipertingkatkan dan bagaimana ia boleh mendiagnosis karsinoma hepatoselular?

CEUS boleh mengesan keabnormalan dalam hati yang mungkin disebabkan oleh kanser dan, menggunakan agen kontras, mengesahkan diagnosis karsinoma hepatoselular. Agen kontras ini selamat. CEUS digunakan dalam amalan klinikal untuk mengesahkan karsinoma hepatoselular dalam orang yang disyaki menghidap kanser ini melalui ultrasound abdomen yang dijalankan sebelum ini atau ujian darah untuk mengukur alpha-foetoprotein.

Peranan CEUS dalam diagnosis karsinoma hepatoselular masih menjadi kontroversi antara garis panduan. Ulasan sistematik sebelum ini telah menilai prestasi CEUS dalam pengesanan karsinoma hepatoselular tetapi pengulas telah menyertakan kajian yang berbeza dan mendapati keputusan yang berbeza.

Apa yang kami ingin kenalpasti?

Kami ingin mengetahui sama ada CEUS mempunyai ketepatan mencukupi untuk mendiagnosis karsinoma hepatoselular dalam orang dewasa dengan penyakit hati kronik (kemerosotan progresif fungsi hati selama lebih daripada enam bulan). Kami berminat dengan karsinoma hepatoselular dalam mana-mana saiz dan keterukan dan, kedua, dalam karsinoma hepatoselular yang sesuai untuk dibuang melalui pembedahan (reseksi).

Apa yang kami buat?

Kami mencari kajian yang menilai ketepatan ujian diagnostik imbasan CEUS berbanding ujian terbaik yang sedia ada untuk mengesahkan karsinoma hepatoselular pada orang dewasa dengan penyakit hati kronik. Ujian terbaik yang sedia ada adalah pemeriksaan hati, atau sebahagian daripada hati di bawah mikroskop.

Apa yang kami temui?

Kami menemui 23 kajian dengan 6546 orang dewasa.

Sekitar 690 (69%) daripada 1000 orang dewasa dengan penyakit hati kronik mempunyai karsinoma hepatoselular yang disahkan dalam sebarang saiz dan keparahan. Dengan mengambil kira 1000 orang ini, CEUS:

– mengesan kanser hati dengan betul dalam 537 orang;

– terlepas kanser hati dalam 153 orang;

– kanser dikesan secara salah dalam 19 orang;

– mengesan tiada kanser dengan betul dalam 291 orang.

Sekitar 690 (69%) daripada 1000 orang dewasa dengan penyakit hati kronik mempunyai karsinoma hepatoselular yang disahkan yang boleh dibuang melalui pembedahan. Dengan mengambil kira 1000 orang ini, CEUS:

– mengesan kanser hati dengan betul dalam 535 orang;

– terlepas kanser hati dalam 155 orang;

– kanser dikesan secara salah dalam 23 orang;

– mengesan tiada kanser dengan betul dalam 287 orang.

Apakah batasan bukti ini?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad kerana kajian menggunakan kaedah yang berbeza untuk memilih peserta kajian dan menggunakan piawai rujukan yang berbeza. Ini bermakna imbasan CEUS mungkin lebih atau kurang tepat daripada apa yang dicadangkan oleh bukti.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 5 November 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Tang Kar Foong (Ministry of Health Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information