Apakah faedah program senaman dan pendidikan yang diselia (dikenali sebagai pemulihan pulmonari) berbanding penjagaan biasa untuk orang dewasa yang menghidapi asma?

Mesej utama

- Kami mendapati bahawa penghidap asma yang mengambil bahagian dalam program senaman dan pendidikan yang diselia (dikenali sebagai pemulihan pulmonari) berkemungkinan menjadi lebih cergas (boleh berjalan lebih jauh) dan mempunyai kesejahteraan yang lebih baik selepas menamatkan program-program ini berbanding mereka yang menerima penjagaan biasa. Walau bagaimanapun, kami tidak pasti jika faedah ini berterusan sehingga satu tahun kemudian.

- Disebabkan kekurangan bukti, kesan pemulihan pulmonari terhadap hasil seperti kadar serangan asma atau kemasukan ke hospital, kebimbangan dan kemurungan, atau tahap aktiviti fizikal adalah tidak jelas.

- Kajian lebih besar yang direka dengan baik diperlukan untuk menganggarkan dengan lebih baik manfaat sebenar pemulihan pulmonari untuk orang dewasa yang menghidapi asma.

Apakah itu asma?

Asma adalah penyakit paru-paru biasa di mana tiub pernafasan boleh menjadi radang dan sempit dan mungkin menghasilkan lendir tambahan. Penghidap asma boleh mengalami batuk, semput, sesak dada dan sesak nafas, dengan mereka yang paling teruk mengalami kesukaran menjalani kehidupan seharian.

Asma tidak boleh diubati, tetapi gejala boleh dikawal. Ubat yang berbeza boleh membantu mengawal gejala, manakala senaman fizikal juga boleh membantu. Walau bagaimanapun, sesetengah orang yang menghidapi asma mungkin merasa sukar untuk menjalani program senaman yang komprehensif.

Apakah itu pemulihan pulmonari?

Program senaman dan pendidikan yang diselia (dipanggil pemulihan pulmonari) biasanya digunakan untuk orang yang mengalami masalah paru-paru kronik dan membantu meningkatkan pernafasan, kecergasan dan kesejahteraan. Program ini mungkin berpusat di hospital, klinik pesakit luar, ataupun di rumah.

Pemulihan pulmonari adalah piawai penjagaan yang disyorkan untuk banyak keadaan paru-paru kronik; namun, kesannya pada orang dewasa yang menghidap asma adalah kurang jelas.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin melihat bagaimana pemulihan pulmonari mempengaruhi kecergasan fizikal, kawalan simptom asma dan kesejahteraan orang dewasa yang menghidapi asma berbanding penjagaan klinikal biasa yang tidak melibatkan pemulihan paru-paru. Kami juga ingin mengetahui cara ia mempengaruhi kadar serangan asma yang teruk/kemasukan ke hospital, kesihatan mental (kebimbangan dan kemurungan), kekuatan otot, tahap aktiviti fizikal dan penanda keradangan (dalam kahak atau darah). Akhirnya, kami ingin melihat sama ada ia dikaitkan dengan sebarang kesan yang tidak diingini.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan pemulihan pulmonari dengan penjagaan biasa pada orang dewasa dengan asma. Rawatan mesti berlangsung untuk sekurang-kurangnya empat minggu (atau lapan atau lebih sesi) dan mesti termasuk senaman aerobik (seperti berjalan kaki atau berbasikal) dan pendidikan atau pengurusan diri.

Kami membandingkan dan merumuskan penemuan merentasi semua kajian yang layak dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

- Kami menemui 10 kajian yang melibatkan 894 orang dewasa yang menghidapi asma.

- Kajian adalah bervariasi dalam saiz dari 24 orang hingga 412 orang.

- Kebanyakan kajian dijalankan di Eropah.

- Sekiranya dilaporkan, kebanyakan peserta kajian adalah wanita, dengan purata umur antara 27 hingga 54 tahun.

- Satu kajian khususnya menyertakan orang yang mempunyai bentuk asma yang teruk. Satu kajian lain khususnya menyertakan orang yang mempunyai keadaan yang melibatkan ciri-ciri bertindih iaitu kedua-dua asma dan penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD).

- Cara pemulihan pulmonari disampaikan adalah berbeza-beza merentasi kajian. Program pesakit dalam berlangsung selama 3 hingga 4 minggu, manakala program pesakit luar berlangsung selama 8 hingga 12 minggu.

- Sifat khusus komponen senaman atau pendidikan di antara kajian yang disertakan berbeza-beza secara meluas.

Keputusan utama

- Pemulihan pulmonari mungkin menyebabkan peningkatan besar dalam kecergasan fizikal sejurus selepas tamat program, yang mengakibatkan keupayaan untuk berjalan secara purata 80 meter lebih jauh dalam masa 6 minit berbanding orang yang menerima penjagaan biasa. Mungkin terdapat sedikit atau tiada kesan ke atas kecergasan fizikal yang diukur sehingga satu tahun kemudian.

- Pemulihan pulmonari boleh menyebabkan penambahbaikan kecil atau sedikit atau tiada impak ke atas kawalan asma sejurus selepas tamat program atau sehingga satu tahun kemudian berbanding penjagaan biasa.

- Pemulihan pulmonari mungkin menyebabkan peningkatan besar dalam kesejahteraan seperti yang diukur oleh Soal Selidik Penyakit Pernafasan St George sejurus selepas tamat program. Keputusan mungkin berbeza sedikit mengikut kualiti instrumen hayat yang berbeza. Kesannya berpotensi untuk bertahan sehingga satu tahun, tetapi keputusannya adalah sangat tidak pasti.

- Sedikit atau tiada kesan ke atas kesejahteraan diperhatikan selepas program selesai atau sehingga sembilan bulan susulan apabila Soal Selidik Kualiti Hidup Asma digunakan.

- Terdapat bukti yang sangat terhad untuk menentukan kesan pemulihan pulmonari pada kadar serangan asma/kemasukan ke hospital, ukuran kebimbangan dan kemurungan, kekuatan otot anggota badan, tahap aktiviti fizikal, atau penanda keradangan dalam darah atau kahak.

- Data daripada satu kajian mencadangkan pemulihan pulmonari tidak menghasilkan kesan langsung yang tidak diingini atau berbahaya.

Batasan bukti

Keyakinan kami terhadap bukti yang berkaitan dengan hasil seperti kecergasan fizikal, kesejahteraan dan kawalan asma adalah terhad disebabkan oleh kebimbangan mengenai kaedah yang tidak jelas dalam beberapa kajian, potensi peserta atau penilai (atau kedua-duanya) untuk mempengaruhi hasil disebabkan oleh kesedaran terhadap rawatan yang diberikan, dan kepelbagaian cara pemulihan pulmonari disampaikan.

Bukti adalah terkini sehingga Mei 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information