Apakah faedah dan risiko penyingkiran perkutaneus darah beku (trombektomi) dan pembubaran darah beku yang dipercepatkan oleh gelombang ultrasound (trombolisis yang dipercepatkan oleh ultrasound) untuk merawat iskemia anggota badan akut?

Mesej utama

Oleh kerana kekurangan bukti yang kukuh, faedah dan risiko penyingkiran perkutaneus darah beku (penyingkiran darah beku melalui tusukan jarum pada kulit, dikenali sebagai trombektomi perkutaneus) atau trombolisis yang dipercepatkan oleh ultrasound (di mana gelombang ultrasound dihantar oleh peranti khusus ke dalam saluran darah untuk mempercepatkan pembubaran darah beku) untuk rawatan awal iskemia anggota badan akut adalah tidak jelas.

Penyelidikan masa depan dalam bidang ini harus memberi tumpuan kepada keberkesanan pilihan rawatan seperti penyingkiran darah beku, trombolisis terarah kateter (penghantaran ubat ke dalam darah beku untuk dibubarkan), dan pembedahan terbuka (untuk membuang darah beku dan meningkatkan aliran darah), serta mengkaji sebarang kesan yang tidak diingini daripada rawatan-rawatan ini.

Apakah iskemia anggota badan akut dan bagaimana ia dirawat?

Iskemia akut adalah keadaan biasa yang menjejaskan anggota badan. Disebabkan oleh pengurangan aliran darah ke anggota badan yang mendadak dan ketara, iskemia anggota badan akut boleh mengakibatkan kesakitan, lumpuh, kepucatan, dan kesejukan, dan dalam kes yang teruk, ia boleh menyebabkan amputasi.

Rawatan standard untuk pengurusan awal iskemia anggota badan akut termasuk pembedahan terbuka dan trombolisis terarah kateter. Rawatan lain untuk pengurusan awal untuk iskemia anggota badan akut ialah trombektomi perkutaneus dan trombolisis yang dipercepatkan oleh ultrasound.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada trombektomi perkutaneus atau trombolisis yang dipercepatkan ultrasound adalah lebih baik daripada trombolisis terarah kateter atau pembedahan terbuka untuk meningkatkan aliran darah dan mengurangkan amputasi, pendarahan dan risiko lain.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari ujian terkawal secara rawak yang mengkaji trombektomi perkutaneus atau trombolisis yang dipercepatkan ultrasound dan membandingkannya dengan sama ada trombolisis terarah kateter atau pembedahan terbuka pada orang dewasa dengan iskemia anggota badan akut. Dalam ujian terkawal secara rawak, rawatan atau ujian diterima seseorang ditentukan secara rawak, dan ini biasanya memberikan bukti yang paling boleh dipercayai mengenai kesan rawatan. Kami membandingkan dan merumuskan hasil kajian yang dikenalpasti dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui satu kajian yang melibatkan 60 orang dengan iskemia anggota badan akut. Kajian itu berlangsung selama 30 hari dan membandingkan trombolisis yang dipercepatkan ultrasound dengan trombolisis terarah kateter. Kajian itu tidak menerangkan keputusan dengan cara yang boleh memberitahu kita sama ada trombolisis yang dipercepatkan oleh ultrasound, berbanding dengan trombolisis terarah kateter, mempunyai kesan ke atas aliran darah, dan adalah tidak jelas sama ada rawatan ini mempunyai kesan terhadap amputasi, pendarahan, dan risiko lain. Oleh itu, kami sangat tidak pasti akan keputusan.

Apakah batasan bukti tersebut?

Kami mempunyai keyakinan yang sangat sedikit terhadap bukti tersebut kerana ada kemungkinan bahawa peserta kajian mengetahui rawatan yang mereka terima. Kajian tersebut tidak memberikan maklumat tentang kesan penting rawatan (aliran darah), dan kajian itu hanya melibatkan sebilangan kecil orang.

Adakah bukti ini mutakhir?

Bukti adalah terkini sehingga Mac 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information