Kombinasi beberapa ubat iaitu bortezomib, lenalidomide dan thalidomide untuk rawatan awal bagi pesakit multiple myeloma dewasa yang tidak memenuhi kelayakan untuk pemindahan sel.

Latar belakang

Multiple myeloma adalah sejenis kanser darah. Ia mewakili kira-kira 2% daripada semua jenis kanser dan dianggap masih belum dapat diubati. Bagi mereka yang baru disahkan menghidap multiple myeloma (NDMM), yang tidak sesuai untuk menjalani prosedur penggantian sel darah yang rosak dengan sel darah yang sihat (pemindahan sel stem), rawatan yang kebiasaannya digunakan adalah melibatkan kombinasi beberapa ubat iaitu bortezomib, lenalidomide atau thalidomide, ditambah dengan meplhalan dan prednisolone (MP) atau dexamethasone (D). Kombinasi pelbagai ubat telah diluluskan untuk digunakan sebagai terapi rawatan awal untuk anti-myeloma, walaubagaimanapun, akses kepada ubat-ubatan ini adalah terhad di kebanyakan negara di seluruh dunia.

Matlamat ulasan

Untuk membandingkan manfaat dan kemudaratan ubat-ubatan anti-myeloma yang terpilih (bortezomib (V), lenalidomide (R), thalidomide (T)) bagi penghidap multiple myeloma yang tidak sesuai untuk pemindahan sel.

Ciri-ciri kajian

Kami telah mencari beberapa pangkalan data perubatan dan pendaftaran kajian-kajian sehingga 14 Februari 2019. Kami telah memasukkan kajian-kajian yang membandingkan beberapa kombinasi ubat iaitu V, R dan T bagi rawatan untuk pesakit NDMM yang tidak sesuai untuk menjalani pemindahan sel stem. Kami membandingkan antara tempoh rawatan tetap dan terapi berterusan. Rawatan tetap adalah rawatan meiibatkan bilangan kitaran yang telah ditentukan, manakala terapi berterusan adalah rawatan yang diberi secara berterusan sehingga penyakit tersebut menjadi lebih teruk, pesakit sukar menyesuaikan diri dengan ubatan, atau apabila rawatan tersebut diberikan untuk tempoh yang lama. Terapi berterusan ditandakan dengan "c".

Keputusan utama

Kami telah mengenal pasti 25 kajian yang melibatkan 11,403 dewasa yang menghidap NDMM yang tidak sesuai untuk pemindahan sel, dan membandingkan 21 rejimen rawatan yang berlainan.

Survival

Mereka yang menerima rawatan piawai, MP, hidup untuk purata 35 bulan. Mereka yang dirawat dengan RD, TMP, dan VRDc mempunyai kemungkinan hidup lebih lama (kepastian sederhana). Rawatan dengan VMP juga mungkin boleh membawa kepada kelangsungan hidup yang lebih lama, berbanding MP (kepastian rendah). Mereka yang dirawat dengan RD hidup dengan tempoh tambahan selama 20.4 bulan; yang dirawat dengan TMP hidup dengan tempoh tambahan selama 11.6 bulan; yang dirawat dengan VRDc hidup dengan tempoh tambahan selama 36.2 bulan, dan yang dirawat dengan VMP hidup dengan tempoh tambahan selama 14.9 bulan.

Kemudaratan

Secara purata, 0.9% (9 daripada 1000) pesakit yang dirawat dengan MP mengalami kerosakan saraf periferi (polineuropati). Bukti tersebut masih tidak muktamad sama ada rawatan RD mengurangkan risiko kerosakan polineuropati, berbanding dengan MP. Anggaran risiko untuk mendapat polineuropati bagi RD adalah 0.5%. Rawatan yang menggunakan TMP dan VMP mungkin meningkatkan risiko untuk mengalami polineuropati berbanding dengan MP (kepastian sederhana). Anggaran risiko dengan rawatan TMP adalah 4.0%, dan dengan VMP adalah 79.4%. Tiada kajian yang menggunakan rawatan VRDc melaporkan bilangan peserta dengan polineuropati yang teruk.

Secara purata, 36.1% (361 daripada 1000) orang yang menerima rawatan MP mengalami sekurang-kurangnya satu kesan sampingan yang serius (SAE). VMP kemungkinan meningkatkan kadar bilangan pesakit yang mengalami kesan sampingan yang serius (SAEs) berbanding MP sehingga 46.2% (kepastian sederhana).

Secara purata, 9.2% (92 daripada 1000) mereka yang menerima rawatan MP menghentikan rawatan disebabkan oleh kesan-kesan sampingan (AEs). Rawatan dengan RD, TMP, dan VRDc membawa kepada lebih banyak bilangan pesakit yang menghentikan rawatan disebabkan oleh AEs berbanding MP (kepastian tinggi). Risiko untuk menghentikan rawatan dengan RD adalah 38.5%; dengan TMP adalah sebanyak 37.7%, dengan VRDc adalah sebanyak 82.1%. Rawatan dengan menggunakan VMP mungkin meningkatkan risiko pemberhentian rawatan disebabkan oleh AE berbanding MP (9.75%, kepastian sederhana).

Kualiti hidup

Kualiti hidup (QoL) telah dilaporkan dalam empat kajian yang menggunakan tujuh rawatan berbeza dan telah dinilai menggunakan empat kaedah yang berbeza. Penilaian dan pelaporan adalah berbeza di antara kajian-kajian dan tidak dapat dianalisis dengan kaedah meta-analisis. Walaubagaimanapun, semua kajian melaporkan peningkatan dalam QoL selepas menerima rawatan anti-myeloma bagi semua rawatan yang dinilai.

Kesimpulan

VRDc menunjukkan kebaikan kepada kelangsungan hidup yang paling tinggi, berbanding MP. RD dan TMP juga meningkatkan kadar OS berbanding MP. Walaubagaimanapun, kombinasi ubat-ubatan ini juga telah membawa kepada lebih banyak kesan sampingan berbanding MP, dan membawa kepada lebih ramai pesakit memilih untuk menghentikan rawatan. Lebih banyak kajian-kajian adalah diperlukan untuk melihat dengan lebih teliti tentang kemudaratan dan QoL.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Amalin Najiha Mohd Sabri (RCSI-UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information