Soalan ulasan
Kami mengulas bukti mengenai pelbagai masa terapi penggantian enzim pankreas (PERT) pada orang (dari mana-mana umur) dengan fibrosis sista (CF).
Latar belakang
CF adalah keadaan yang diwarisi yang menjejaskan lebih daripada 70,000 individu di seluruh dunia. Antara 80% dan 90% orang dengan CF tidak dapat menghasilkan enzim pankreas yang cukup untuk mengurai dan menyerap lemak, protein dan vitamin larut lemak dari makanan. Ini boleh menyebabkan najis berlemak (kotoran) dan penurunan berat badan. Bahawasanya jika lemak tidak dicerna dengan betul, ia dapat menyumbang kepada risiko yang lebih tinggi untuk mengalami sembelit atau komplikasi lain yang serius seperti gejala penyumbatan usus.
PERT memberikan enzim yang diperlukan untuk mengurai lemak dan dosnya adalah berdasarkan kandungan lemak makanan atau berat badan seseorang. PERT terbukti dapat meningkatkan berat badan dan dikaitkan dengan peningkatan fungsi paru-paru. Walaupun terdapat petunjuk dos semasa, terdapat perbezaan dalam dos PERT dan tidak ada petunjuk yang menentukan bila terapi harus diambil berkaitan dengan makanan (sebelum, semasa atau setelah makan).
Tarikh carian
Bukti adalah terkini sehingga: 24 Jun 2021.
Ciri-ciri kajian
Kami tidak menemui kajian di mana PERT diberikan kepada orang yang menghidap CF serta tidak mempunyai enzim pankreas yang cukup pada waktu yang berbeza dengan pengambilan makanan mereka. Kami mengecualikan sembilan kajian. Empat di antaranya menilai masa pemberian PERT, tetapi ia mempunyai bentuk silang pangkah di mana para peserta mempunyai satu intervensi dan kemudian bertukar ke intervensi kedua. Kami mengecualikan kajian ini kerana ia tidak memberikan cukup masa antara intervensi yang berbeza untuk memastikan bahawa kesan intervensi pertama tidak menjejaskan keputusan dari intervensi kedua. Empat kajian tidak melihat pada masa PERT dan satu kajian menilai program pendidikan baru untuk PERT. Satu kajian dihentikan lebih awal dan kami akan menilai ini sekali lagi pada kemas kini pertama ulasan ini sekiranya kami dapat memperoleh lebih banyak maklumat daripada penyelidik.
Keputusan utama
Tidak ada kajian yang memenuhi kriteria kelayakan. Penyelidikan lebih lanjut adalah diperlukan untuk mencari masa terbaik untuk mengambil PERT berkaitan dengan pengambilan makanan.
Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman (PPM). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my