Apakah matlamat ulasan ini?
Matlamat ulasan ini adalah untuk mengetahui sekiranya rawatan tanpa ubat untuk gagap dapat meningkatkan kefasihan pertuturan, sikap komunikasi kanak-kanak dan kesannya terhadap kualiti hidup mereka, dan kemungkinan berlakunya kesan berbahaya pada anak berusia enam tahun ke bawah, dalam jangka masa pendek dan panjang. Kami mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan menjumpai empat kajian.
Mesej utama
Program Lidcombe mungkin mengakibatkan frekuensi gagap yang lebih rendah dan kecekapan pertuturan yang lebih tinggi (i.e. jumlah perkataan atau suku kata yang disebut setiap minit) untuk kanak-kanak muda setelah menerima jumlah rawatan yang termasuk dalam kajian. Kami belum mengetahui kesan program yang disampaikan secara keseluruhan, kerana tiada kajian yang melaporkan hasil untuk kanak-kanak yang telah menamatkan program ini, yang dirancang untuk berlangsung selama satu hingga dua tahun.
Hanya satu kajian yang melaporkan bagaimana rawatan tersebut berfungsi dalam jangka masa panjang, tetapi kesan rawatan tidak dapat dirumuskan, kerana hasil bagi kebanyakan kanak-kanak dalam kumpulan kawalan hilang.
Kami memerlukan lebih banyak kajian berkualiti tinggi yang menilai rawatan gagap untuk kanak-kanak muda, termasuk kajian yang melaporkan julat hasil yang lebih luas dan yang menilai rawatan selain daripada Program Lidcombe.
Apakah yang dikaji ulasan ini?
Gagap, atau kegagapan seperti yang kadang-kala dipanggil, adalah gangguan komunikasi yang kerap berlaku, yang biasanya bermula ketika kanak-kanak berusia antara dua hingga empat tahun. Gagap boleh dicirikan dengan pengulangan bunyi ucapan secara individu, sebahagian perkataan atau keseluruhan perkataan; pemanjangan bunyi pertuturan yang tidak disengajakan; atau sekatan pertuturan. Detik-detik gagap boleh disertai dengan ketegangan yang jelas kelihatan pada wajah atau suara pertutur, mata berkelip-kelip atau anggukan kepala. Gagap boleh memberi kesan negatif terhadap perasaan seseorang terhadap diri sendiri dan bagaimana mereka menjalani kehidupan mereka. Oleh itu, penting untuk mengenalpasti rawatan yang berkesan untuk gagap pada kanak-kanak muda untuk mengurangkan kemungkinan mereka mengalami kesan-kesan negatif ini.
Apakah keputusan-keputusan utama ulasan ini?
Kami menjumpai empat kajian, yang kesemuanya membandingkan kanak-kanak muda yang menerima Program Lidcombe dengan kanak-kanak muda dalam senarai menunggu. Dalam tiga kajian, kanak-kanak dalam senarai menunggu tidak mendapat rawatan sehingga setelah kajian itu selesai. Dalam kajian yang keempat, kanak-kanak dalam senarai menunggu boleh menerima rawatan daripada ahli terapi bahasa pertuturan tempatan mereka (SLT) jika mereka mahu. Pada akhir kajian, ibubapa tujuh kanak-kanak (35%) dalam kumpulan kawalan melaporkan anak mereka telah menerima rawatan, sama ada Program Lidcombe atau program rawatan lain yang dipanggil "Easy Do It", ketika berada dalam senarai menunggu.
Terdapat 151 kanak-kanak berusia antara dua hingga enam tahun dalam empat kajian tersebut. Dalam Program Lidcombe, seorang SLT menjalankan lawatan klinik dengan kanak-kanak dan ibubapa mereka di klinik atau berhubung dengan mereka melalui telefon. Semasa lawatan ini, ibubapa diajar untuk menjalankan rawatan di rumah selama 10 hingga 15 minit sehari bagi setiap sesi latihan. Dua kajian dijalankan di Australia, satu di New Zealand dan satu di Jerman. Dua kajian dijalankan selama sembilan bulan, satu selama 16 minggu dan satu lagi selama 12 minggu. Satu kajian sebahagiannya dibiayai oleh Rotary Club, Wiesbaden, Jerman; dan satu lagi dibiayai oleh Majlis Penyelidikan Kesihatan dan Perubatan Nasional Australia. Satu kajian tidak melaporkan sumber pendanaan dan satu lagi kajian melaporkan bahawa mereka tidak menerima dana untuk kajian tersebut.
Keempat-empat kajian melaporkan kesan rawatan terhadap kekerapan gagap. Satu kajian juga melaporkan kecekapan pertuturan. Kami tidak menemui kajian yang melihat kesan rawatan untuk gagap pada keterukan kegagapan; sikap komunikasi; perkembangan emosi (bagaimana kanak-kanak mengenali, menyatakan, dan menguruskan perasaan), kognitif (bagaimana kanak-kanak berfikir, meneroka dan menyelesaikan masalah) atau psikososial (bagaimana keperluan individu kanak-kanak berkait dengan keperluan atau tuntutan masyarakat); atau kesan sampingan.
Kajian yang disertakan mencadangkan bahawa Program Lidcombe dapat mengurangkan frekuensi gagap pada kanak-kanak muda dibandingkan dengan kumpulan kawalan dalam senarai menunggu (bukti berkualiti rendah). Satu kajian juga melaporkan bahawa Program Lidcombe dapat meningkatkan kecekapan pertuturan pada kanak-kanak muda berbanding dengan kumpulan kawalan dalam senarai menunggu (bukti berkualiti sederhana).
Hanya satu kajian yang mengikuti kanak-kanak tersebut sehingga lima tahun selepas rawatan dimulakan, dan pada masa itu hasil bagi kebanyakan kanak-kanak dalam kumpulan kawalan hilang. Oleh itu, kita tidak tahu sama ada faedah rawatan itu bertahan dari masa ke masa.
Seberapa terkinikah ulasan ini?
Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 16 September 2020. Satu pangkalan data tambahan dicari pada 20 Oktober 2020.
Sejauh mana bukti yang dihasilkan oleh ulasan ini boleh dipercayai?
Kualiti hasil yang berkaitan dengan frekuensi gagap sangat rendah dan keputusan yang berkaitan dengan kecekapan pertuturan adalah sederhana. Ini bermaksud bahawa kami tidak pasti bahawa kesan rawatan akan tetap sama sekiranya kami menambahkan lebih banyak kajian dalam ulasan ini. Lebih banyak kajian yang membandingkan rawatan yang berbeza untuk gagap dengan kumpulan kawalan dalam senarai menunggu diperlukan untuk mengetahui kesan rawatan untuk gagap dengan lebih pasti.
Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Univeristy Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my