Apakah tujuan ulasan ini?
Relaps dan ulangan (menjadi kembali tidak sihat setelah menunjukkan penambahbaikan) adalah biasa dalam kemurungan dan menyebabkan peningkatan kehilangan upaya dan penurunan kualiti hidup pesakit. Relaps adalah kemunculan semula episod awal kemurungan setelah beberapa penambahbaikan awal, sedangkan ulangan adalah permulaan episod baru kemurungan setelah pemulihan. Hasilnya, seperti relaps dan ulangan, kadang-kadang dapat diramalkan ketika orang sedang sihat, menggunakan maklumat yang ada pada waktu itu. Pengiraan matematik dapat dilakukan untuk menilai risiko seseorang; pengiraan ini dikenali sebagai 'model prognostik' atau alat ramalan. Dalam kebanyakan perkhidmatan kesihatan, termasuk Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS) di UK, sumber seperti doktor dan ahli terapi perlu digunakan dengan cara yang terbaik, bagi orang yang akan mendapat banyak manfaat daripada mereka. Sekiranya ada alat ramalan yang tepat, maklumat tersebut dapat digunakan untuk mengenal pasti pesakit yang paling 'berisiko tinggi' dan memastikan mereka mendapat sokongan tambahan untuk berusaha mencegah relaps atau ulangan.
Tujuan ulasan ini adalah untuk mengenal pasti kajian yang telah berusaha untuk menghasilkan alat ramalan untuk relaps atau ulangan kemurungan pada orang dewasa. Kami berminat dengan kajian yang telah berusaha membuat ramalan ini semasa pesakit dalam keadaan sihat. Kami juga menyertakan alat yang meramalkan kemungkinan pesakit kekal berada dalam keadaan sihat. Sekiranya kami menemui banyak kajian yang menguji alat ramalan yang sama, kami merancang untuk menggabungkannya untuk menghasilkan ringkasan yang lebih baik mengenai seberapa baik alat itu berfungsi.
Mesej utama
Kami mengenal pasti 10 alat ramalan (lebih dari 11 kajian) untuk relaps atau ulangan. Alatan ini sama ada tidak terbukti mampu meramal relaps/ ulangan, atau kajian mempunyai masalah dengan bagaimana ia dijalankan, yang bermaksud bahawa tidak ada alat ramalan yang berada pada tahap yang mana ia dapat digunakan di dunia nyata. Kajian lebih lanjut adalah diperlukan untuk meningkatkan ramalan relaps atau ulangan kemurungan.
Apa yang dikaji dalam ulasan ini?
Penyelidik mengumpul dan menganalisis keputusan dari 11 kajian yang berkaitan. Kami berminat dengan beberapa perkara: bagaimana para penyelidik mendefinisikan relaps dan ulangan (contohnya, sama ada mereka menggunakan temu ramah klinikal atau soal selidik laporan kendiri untuk mendiagnosis gejala kemurungan); apa maklumat yang dikumpulkan untuk membantu membuat ramalan; teknik yang digunakan oleh penyelidik untuk membantu mengembangkan alat; dan seberapa baik ramalan alat tersebut. Kami juga berminat sama ada alat tersebut diuji dalam kumpulan peserta yang berasingan, yang penting untuk memastikan bahawa model tersebut dapat meramalkan secara tepat pada pesakit di dunia nyata.
Akhirnya, kami menilai kajian untuk menentukan sejauh mana keyakinan kami terhadap keputusannya, memandangkan pendekatan yang dilakukan oleh penyelidik (ini disebut sebagai 'risiko bias') dan seberapa relevan kajian ini dengan ulasan kami (ini disebut 'kebolehlaksanaan') .
Apakah keputusan utama ulasan ini?
Kami menemui 11 kajian. Sepuluh dari kajian ini menghasilkan model yang berbeza dan satu kajian menguji salah satu model yang dihasilkan dalam kajian sebelumnya. Adalah tidak mungkin untuk menggabungkan keputusan untuk sebarang alat tertentu.
Sepuluh daripada 11 kajian dinilai berisiko tinggi terhadap bias. Ini bermaksud bahawa kami tidak dapat yakin dengan keputusan yang dikemukakan, kerana beberapa isu dengan cara kajian dilakukan. Isu yang paling biasa ialah tidak cukup peserta yang terlibat dalam kajian-kajian ini. Masalah umum yang lain melibatkan pendekatan statistik yang digunakan oleh penyelidik.
Satu kajian berisiko keseluruhan yang rendah terhadap bias, yang bermaksud kami lebih yakin untuk mempercayai keputusannya. Walau bagaimanapun, alat ini tidak membuat ramalan yang tepat mengenai relaps atau ulangan.
Kami tidak menemui kajian yang boleh digunakan dalam amalan klinikal; kajian lebih lanjut adalah diperlukan bagi menghasilkan alat untuk meramalkan relaps atau ulangan kemurungan.
Adakah ulasan ini mutakhir?
Pencarian penulisan untuk ulasan ini telah diselesaikan pada Mei 2020.
Diterjemahkan oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.