Sasaran tekanan darah untuk pesakit yang menjalani pembedahan jantung

Soalan ulasan

Apakah kesan sasaran tekanan darah, iaitu tinggi berbanding dengan rendah di kalangan pesakit yang menjalani pembedahan jantung semasa pintasan kardiopulmonari (cardiopulmonary bypass, CPB).

Mesej utama

Sasaran tekanan darah yang tinggi berbanding dengan sasaran yang lebih rendah mungkin mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan terhadap kecederaan buah pinggang, kerosakan kognisi (keupayaan untuk belajar dan memahami), atau kelangsungan hidup.

Sasaran tekanan darah yang tinggi mungkin meningkatkan sedikit tempoh tinggal di hospital.

Apakah itu pembedahan jantung?

Pembedahan jantung adalah sejenis pembedahan yang lazim dilakukan di seluruh dunia. Kebanyakan jenis pembedahan jantung dilakukan dengan CPB. CPB ialah alat perubatan yang menggantikan fungsi jantung dan paru-paru dengan mengepam darah, dan membawa oksigen ke dalam darah dan mengeluarkan karbon dioksida daripada darah. Pesakit yang menjalani pembedahan jantung biasanya mempunyai tekanan darah tinggi (hipertensi). Penghidap hipertensi memerlukan tekanan darah yang lebih tinggi untuk mengekalkan pengaliran darah ke organ penting seperti otak dan buah pinggang. Walau bagaimanapun, bukti mengenai sasaran tekanan darah yang terbaik untuk digunakan semasa pembedahan jantung adalah terhad.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin menilai kesan sasaran tekanan darah yang lebih tinggi berbanding dengan sasaran tekanan darah yang lebih rendah terhadap buah pinggang, otak, kualiti hidup dan komplikasi yang berlaku semasa berada di hospital.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami melakukan pencarian di pangkalan data perubatan untuk ujian klinikal yang membandingkan sasaran tekanan darah yang tinggi berbanding lebih rendah semasa pembedahan jantung sementara CPB digunakan.

Apa yang kami dapati?

Kami menemui tiga kajian melibatkan 737 pesakit yang menjalani pembedahan jantung. Tempoh kajian berbeza dari dua ke tiga tahun. Purata usia peserta terlibat adalah antara 65.8 hingga 76 tahun dan kira-kira 72% adalah lelaki.

Terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara sasaran tekanan darah yang tinggi atau lebih rendah terhadap kecederaan terhadap buah pinggang, kerosakan kognisi, atau kematian. Walaupun begitu sasaran tekanan darah yang tinggi mungkin meningkatkan sedikit tempoh tinggal di hospital, mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam kualiti hidup atau komplikasi semasa dimasukkan ke hospital.

Apakah batasan bukti

Keyakinan kami terhad bukti untuk kecederaan buah pinggang dan kematian adalah sangat terhad kerana kajiannya bersaiz kecil, tidak menyertakan data tentang semua perkara yang kami ingini, dan melibatkan pelbagai jenis individu. Kami juga kurang yakin dengan bukti mengenai kerosakan kognisi disebabkan kajiannya yang kecil dan ia tidak memberikan data tentang kesemua perkara yang kami mahukan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini setakat November 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information