Adakah orang dengan diabetes mellitus jenis 1 mendapat manfaat daripada menggunakan jenis insulin yang berbeza sebagai insulin asas mereka?

Latar belakang

Diabetes adalah keadaan yang menyebabkan tahap gula darah (glukosa) seseorang menjadi terlalu tinggi. Insulin adalah hormon yang dirembeskan oleh pankreas (organ kecil di belakang perut) yang mengawal tahap glukosa dalam darah. Dalam orang dengan diabetes mellitus jenis 1 (T1DM) pankreas tidak menghasilkan insulin, maka orang tersebut harus menyuntik insulin untuk mengawal kadar glukosa dan untuk kekal sihat. Matlamat terapi insulin adalah untuk menyediakan insulin yang meniru rembesan insulin fisiologi. Insulin diberikan melalui suntikan di bawah kulit (subkutan) dengan menggunakan jarum insulin, pen insulin atau pam insulin. Untuk mengawal tahap glukosa darah dalam tempoh berpuasa, insulin asas atau latar belakang adalah diperlukan. Insulin asas boleh diberikan melalui suntikan harian atau dua kali sehari dengan penggunaan insulin yang bertindak pertengahan atau (ultra-)panjang. Insulin asas boleh diberikan sebagai insulin protamin Hagedorn (NPH) neutral manusia yang bertindak pertengahan atau sebagai analog insulin (insulin sintetik) yang bertindak (ultra-)panjang. Bolus insulin diambil pada waktu makan (insulin prandial) untuk mengawal kadar glukosa darah setelah makan dan diberikan melalui insulin bertindak pendek atau cepat. Matlamat bagi kebanyakan pesakit T1DM adalah untuk mencapai tahap glukosa darah hampir normal untuk mengelakkan komplikasi jangka panjang seperti penyakit ginjal dan mata dan untuk memberi kelonggaran mengenai masa, jenis dan jumlah pengambilan makanan. Kesan utama yang tidak diingini dari terapi insulin adalah hipoglikemia (glukosa darah rendah) yang boleh menjadi teruk.

Kami ingin mengetahui sama ada satu jenis insulin yang bertindak (ultra-)panjang berbanding dengan insulin NPH atau jenis insulin (ultra-)panjang yang lain adalah lebih baik untuk pesakit T1DM. Hasil yang kami minati secara khusus adalah kematian, kualiti hidup berkaitan kesihatan, hipoglikemia yang teruk (waktu malam), kejadian tidak diingini yang serius, komplikasi diabetes yang tidak membawa maut (serangan jantung, strok) dan tahap hemoglobin A1c glikosilasi (HbA1c) yang merupakan petunjuk kawalan glukosa jangka panjang.

Apakah yang kami cari?

Kami mencari pangkalan data perubatan dan menghubungi pengeluar farmasi dan agensi pengawalseliaan ubat untuk kajian yang:
— merupakan ujian rawak terkawal (kajian di mana peserta-peserta dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu kumpulan rawatan);
— melibatkan pesakit T1DM;
— membandingkan satu insulin bertindak (ultra-)panjang dengan insulin bertindak (ultra-)panjang yang lain atau insulin NPH;
— berlangsung sekurang-kurangnya 24 minggu.

Apakah yang kami temui?
Kami menemui 26 kajian yang melibatkan sejumlah 8780 peserta (21% adalah kanak-kanak). Kajian-kajian ini berlangsung antara 24 minggu dan dua tahun. Mereka membandingkan:
— insulin NPH dengan insulin detemir (sembilan kajian);
— insulin NPH dengan insulin glargine (sembilan kajian);
— Insulin detemir dengan insulin glargine (dua kajian);
— Insulin degludec dengan insulin detemir (dua kajian);
— Insulin degludec dengan insulin glargine (empat kajian).

Tiada kajian yang membandingkan insulin NPH dengan insulin degludec.

Hasil utama

Tidak ada perbezaan yang jelas untuk semua hasil utama yang membandingkan analog insulin bertindak (ultra-)panjang antara satu sama lain.

Episod hipoglikemia yang teruk dikurangkan dengan insulin detemir: antara 1000 peserta yang menggunakan insulin NPH, 115 akan mengalami hipoglikemia yang teruk; penggunaan insulin detemir akan ada pengurangan 36 peserta (pengurangan 9 hingga 55 peserta) yang mengalami hipoglikemia yang teruk. Namun, hasilnya tidak konsisten, yang bermaksud jika kajian lain dilakukan mungkin tidak ada perbezaan yang jelas antara insulin detemir dan insulin NPH. Tidak ada perbezaan yang jelas mengenai risiko hipoglikemia yang teruk pada waktu malam. Tidak ada perbezaan yang jelas untuk kualiti hidup berkaitan kesihatan, kesan tidak diingini yang serius atau tahap HbA1c. Sangat sedikit orang yang mengalami serangan jantung atau meninggal dunia, dan strok tidak dilaporkan.

Tidak ada perbezaan yang jelas membandingkan insulin glargine dengan insulin NPH untuk semua hasil utama. Sangat sedikit orang yang mengalami serangan jantung atau meninggal dunia, dan strok.

Tidak ada perbezaan yang jelas untuk semua perbandingan antara kanak-kanak dan orang dewasa.

Tahap kepastian bukti
Dalam perbandingan analog insulin detemir dan glargine dengan insulin NPH, kami cukup yakin mengenai hasil untuk kematian, hipoglikemia yang teruk (waktu malam), kesan tidak diingini yang serius dan tahap HbA1c. Kami tidak pasti mengenai kesan terhadap serangan jantung, strok dan kualiti hidup berkaitan kesihatan, terutamanya kerana beberapa kajian tidak cukup lama untuk menyiasat hasil ini dengan pasti.

Seberapa terkinikah ulasan ini?
Bukti ini adalah terkini sehingga 24 Ogos 2020.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Pang Zhi Chiing (RCSI & UCD Malaysia Campus, kelas siswazah 2020). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information