Apa kelebihan dan masalah tiub pemakanan kepada orang yang mengalami demensia yang teruk?
Mesej utama
Tiub pemakanan mungkin tidak meningkatkan jangka hayat orang yang mengalami demensia yang teruk berbanding tanpa tiub pemakanan. Risiko mengalami kudis tekanan mungkin lebih tinggi dengan tiub pemakanan berbanding tanpa tiub. Tiada kajian yang melihat kualiti hidup. Kami memerlukan lebih banyak kajian yang lebih baik untuk mengkaji tiub pemakanan dalam orang yang mengalami demensia yang teruk. Kajian masa depan harus bertumpu kepada julat hasil yang lebih luas, termasuk kesakitan, kualiti hidup dan impak terhadap penjaga.
Apa itu tiub pemakanan?
Seseorang yang tidak dapat makan atau minum melalui mulut mungkin diberi makanan cair melalui tiub ke dalam perutnya. Ini dipanggil tiub pemakanan enteral. Tiub diletakkan melalui hidung ke dalam perut (tiub nasogastrik), atau dimasukkan ke dalam perut melalui belahan kecil di perut (gastrostomi endoskomi perkutan atau PEG).
Mengapa ini penting bagi orang yang mengalami demensia?
Orang yang mengalami demensia sering menghadapi masalah untuk makan dan minum. Pada peringkat awal demensia, mereka mungkin lupa untuk makan, menelan makanan tanpa mengunyah, atau keliru pada waktu makan. Sebilangan orang mengalami perubahan pada rasa dan bau makanan. Pada peringkat demensia lanjut, pesakit sering mengalami kesukaran untuk menelan. Adalah sukar untuk memastikan mereka menerima makanan dan cecair yang sesuai.
Orang yang mengalami demensia yang teruk memerlukan rawatan sepenuh masa, dan sering kali keluarga mereka yang menjaga mereka. Adalah sukar untuk membuat keputusan untuk memberikan tiub pemakanan atau tidak kepada seseorang yang mengalami demensia kerana tiub pemakanan mungkin tidak selesa atau menyakitkan, dan boleh menyebabkan kesan lain yang tidak diingini seperti radang paru-paru, memburukkan lagi kawalan usus atau pundi kencing, serta menyebabkan pendarahan, pembengkakan dan jangkitan. Orang yang mengalami demensia teruk mungkin keliru atau rasa tertekan disebabkan oleh tiub tersebut dan mungkin akan cuba membuangnya.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada pemberian tiub pemakanan dapat membantu orang yang mengalami demensia teruk yang menghadapi masalah untuk makan dan menelan.
Kami berminat dengan kesan penggunaan tiub pemakanan terhadap:
jangka hayat seseorang;
kualiti hidup (kesejahteraan) mereka; atau
kejadian atau penyembuhan kudis tekanan (juga dikenali sebagai luka di tempat tidur).
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menyiasat sama ada:
PEG berbanding tanpa tiub; tiub nasogastrik berbanding tanpa tiub ; atau PEG, nasogastrik dan jenis tiub yang lain berbanding tanpa tiub
adalah berkesan dan adakah tiub pemakanan menyebabkan kesan tidak diingini pada orang dewasa pada apa-apa usia dengan demensia yang teruk dan pengambilan makanan dan minuman yang sedikit.
Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti metodologi dan saiz kajian.
Apakah yang telah kami temui?
Kami menyertakan 14 kajian yang melibatkan 49,714 peserta. Dari jumlah tersebut, 6203 diberi tiub pemakanan dan 43,511 tidak diberi tiub tersebut. Peserta tanpa tiub pemakanan diberi penjagaan standard atau penjagaan standard dengan rawatan tambahan untuk mendorong mereka makan dan minum.
Keputusan utama
Pada orang yang mengalami demensia yang teruk, berbanding dengan tiada tiub pemakanan:
PEG mungkin tidak menyebabkan perbezaan dalam tempoh pesakit hidup (4 kajian, 36,816 orang), dan menyebabkan peningkatan kecil dalam kemungkinan mengalami kudis tekanan (1 kajian, 4421 orang). Kami tidak tahu sama ada tiub pemakanan nasogastrik meningkatkan jangka hayat atau meningkatkan peluang mereka untuk mengalami kudis tekanan, kerana tiada kajian yang disertakan yang memberikan maklumat mengenai perkara ini. Kajian terhadap orang yang mempunyai PEG atau tiub nasogastrik menunjukkan bahawa tiub pemakanan mungkin meningkatkan jangka hayat (4 kajian, 1696 orang), dan sedikit sebanyak dapat meningkatkan kemungkinan terkena kudis tekanan (3 kajian, 351 orang).
Tiada kajian yang disertakan yang melaporkan kualiti hidup.
Apakah batasan bukti tersebut?
Kami mempunyai keyakinan yang sederhana dalam penemuan bahawa kudis tekanan lebih kerap terjadi pada orang yang diberi tiub PEG. Namun, kami mempunyai keyakinan yang sangat sedikit terhadap penemuan kami yang lain.
Tiga faktor utama mengurangkan keyakinan kami terhadap bukti tersebut. Pertama, perserta kajian tidak dimasukkan secara rawak ke dalam kumpulan rawatan yang berbeza. Ini bermaksud bahawa perbezaan antara kumpulan mungkin disebabkan oleh perbezaan antara peserta dan bukannya antara rawatan. Namun, disebabkan oleh pertimbangan etika, sangat sukar untuk melakukan hal ini dalam kajian pada masa depan. Kedua, keputusan kajian sangat tidak konsisten merentasi kajian yang berbeza. Akhirnya, beberapa kajian adalah sangat kecil.
Hasil kajian lanjutan mungkin berbeza dengan hasil ulasan ini.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini hingga 14 April 2021.
Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.