Adakah magnesium sulfat berkesan untuk penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) yang memberang?

Latar belakang

COPD adalah penyakit berlarutan paru-paru yang menyebabkan saluran pernafasan menjadi sempit. COPD yang memberang adalah episod yang bertambah teruk dalam kalangan orang yang didiagnos dengan COPD, disebut sebagai eksaserbasi dalam ulasan ini. Magnesium sulfat dilaporkan mampu meluaskan saluran pernafasan untuk membantu pernafasan. Magnesium sulfat boleh diberi sebagai infusi ke dalam vena atau sebagai sedutan melalui alat yang dipanggil penebula. Beberapa kajian menunjukkan ia boleh membantu sebagai tambahan kepada penjagaan biasa dalam kalangan orang dengan COPD yang memberang. Oleh itu, kami ingin tahu sama ada penggunaan magnesium sulfat adalah lebih baik atau lebih teruk berbanding alternatif lain seperti penjagaan biasa sahaja atau plasebo. Plasebo ialah infusi atau sedutan salina biasa (air garam) melalui penebula.

Ciri-ciri kajian

Kami menyertakan 11 kajian melibatkan 762 individu dengan COPD memberang. Kajian-kajian ini telah dibiaya oleh pihak berkuasa kesihatan tempatan, para penyelidik atau universiti di mana penyelidik berkhidmat. Biasanya, para peserta dan orang yang menjalankan kajian tidak tahu rawatan manakah yang diterima oleh peserta; walaupun di dalam satu kajian, rawatan diketahui oleh orang yang menjalankan kajian tersebut. Kajian dibuat di satu atau dua pusat kajian di beberapa negara antara 2004 hingga 2018. Purata umur peserta adalah antara 62 hingga 76 tahun. Tujuh kajian menilai infusi magnesium, tiga kajian menilai sedutan magnesium, dan satu kajian menilai kedua-duanya. Bukti dalam ulasan ini adalah terkini sehingga 2 Ogos 2021.

Keputusan utama

Orang yang menerima infusi magnesium mengalami kurang kemasukan ke hospital dari unit kecemasan. Tujuh individu dengan COPD memberang perlu dirawat dengan infusi magnesium untuk mengelak seorang lagi dimasukkan ke hospital. Terdapat sedikit atau tiada perbezaan dari segi sokongan pernafasan tanpa intubasi (kemasukan tiub ke dalam tenggorok untuk membantu orang bernafas). Tiada peserta yang memerlukan sokongan pernafasan dengan intubasi. Kajian yang disertakan tidak melaporkan kemasukan ke ICU atau kematian. Hanya satu kajian melaporkan peristiwa buruk yang serius, tetapi tiada sesiapa dalam kajian itu mengalaminya. Infusi magnesium mungkin memendekkan tempoh tinggal di hospital dan mengurangkan sesak nafas. Walau bagaimanapun, kami tidak jelas tentang kesannya terhadap fungsi paru-paru, kepekatan oksigen dalam darah atau sebarang kejadian buruk.

Sedutan magnesium (penebula) mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap kemasukan ke hospital atau keperluan untuk sokongan bernafas berbanding plasebo. Magnesium yang disedut mungkin mengurangkan kemasukan ke ICU dan memperbaik kesesakan bernafas. Walau bagaimanapun, kami tidak yakin dengan penemuan ini kerana bilangan peserta yang kecil dan limitasi kajian. Tiada bukti tentang perbezaan dalam tempoh tinggal di hospital, fungsi paru-paru, atau ketepuan oksigen dalam darah. Tiada peristiwa buruk yang serius dilaporkan. Tiada data untuk peristiwa buruk. Sebuah kajian melaporkan satu kematian dalam kumpulan plasebo, namun kami tidak yakin untuk membuat sebarang kesimpulan kerana bilangan peserta yang sangat sedikit dalam kajian itu.

Hanya satu kajian membandingkan sedutan dan infusi magnesium sulfat dengan sedutan ipratropium bromida dan infusi plasebo. Kami tidak dapat mengenal pasti sebarang perbezaan tentang kesan antara rawatan-rawatan ini.

Limitasi bukti

Infusi magnesium mungkin mengurangkan kemasukan ke hospital, memendekkan tempoh tinggal di hospital dan memperbaik sesak nafas berbanding plasebo. Kami sangat tidak pasti tentang kesannya terhadap keperluan untuk sokongan bernafas, fungsi paru-paru atau kepekatan oksigen dalam darah kerana kajian-kajian adalah kecil. Kami tiada cukup maklumat untuk menilai sebarang kesan peristiwa buruk yang serius atau kematian. Kesan sedutan magnesium berbanding plasebo atau magnesium sulfat berbanding ipratropium bromida adalah tidak jelas.

Infusi magnesium sulfat mungkin berguna sebagai rawatan tambahan untuk COPD memberang. Walau bagaimanapun, kami tidak dapat membuat kesimpulan sama ada sedutan magnesium sulfat berguna untuk membantu orang dengan COPD yang memberang.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Aishah Ibrahim (University of Hull). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information