Mesej utama
- Intervensi psikologi bagi kemurungan dan kebimbangan mungkin menyebabkan pengurangan sederhana terhadap kemurungan dan kebimbangan pada para pesakit jantung koronari dan juga lemah jantung.
- Intervensi psikologi bagi kemurungan dan kebimbangan mungkin memberi peningkatan sederhana dalam kualiti hidup berkaitan kesihatan mental, tetapi bukan kualiti hidup berkaitan kesihatan fizikal, dikalangan pesakit jantung koronari dan juga pesakit lemah jantung.
- Memandangkan tiada kajian yang melibatkan pesakit dengan fibrilasi atrium, kesan intervensi psikologi terhadap kemurungan dan kebimbangan dalam populasi ini tidak diketahui.
Apakah itu penyakit jantung?
Istilah 'penyakit jantung' merujuk kepada masalah kesihatan yang mempengaruhi jantung, termasuk: penyakit jantung koronari (pengurangan aliran darah ke jantung), lemah jantung (kelemahan dalam sistem mengepam jantung) dan fibrilasi atrium (denyutan jantung tidak sekata) .
Mengapakah intervensi psikologi boleh membantu para pesakit dengan penyakit jantung?
Terdapat peningkatan bukti yang menunjukkan bahawa ramai (kira-kira 40%) individu dengan penyakit jantung mengalami kemurungan atau kebimbangan, selalunya berpanjangan. Intervensi psikologi ialah terapi yang digunakan untuk menghasilkan pemikiran, perasaan dan tingkah laku yang lebih positif, contohnya terapi tingkah laku kognitif untuk menimbulkan kepercayaan yang lebih tepat dan seimbang, dan terapi kesedaran, iaitu terapi berasaskan meditasi. Terdapat bukti kukuh bahawa intervensi-intervensi ini merupakan rawatan berkesan dalam banyak jenis gangguan psikologi,iaitu keadaan yang menjejaskan mood, pemikiran dan tingkah laku secara negatif. Walau bagaimanapun, bukti keberkesanan intervensi psikologi sebegini masih tidak jelas bagi mengurangkan kemurungan dan kebimbangan dikalangan individu dewasa dengan penyakit jantung koronari, kegagalan jantung dan fibrilasi atrium.
Apakah yang ingin kami tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada intervensi psikologi bagi kemurungan dan kebimbangan dapat mengurangkan tahap kemurungan dan kebimbangan terhadap individu dengan penyakit jantung koronari, kegagalan jantung dan fibrilasi atrium dibandingkan dengan individu yang tidak menerima intervensi psikologi .
Kami juga ingin mengetahui sama ada intervensi psikologi bagi kemurungan dan kebimbangan meningkatkan mana-mana faktor lain yang berkaitan, seperti kualiti hidup yang berkaitan dengan kesihatan mental (mood; pemikiran) dan fizikal (badan; kecergasan), kematian dan komplikasi jantung yang besar (contohnya kemasukan hospital yang berkaitan jantung).
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari pangkalan data untuk kajian intervensi psikologi bagi individu berumur lebih daripada 18 tahun dengan penyakit jantung.
Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian ini dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami mendapati 21 kajian yang layak yang melibatkan sejumlah 2591 peserta. Daripada 21 kajian ini, 16 kajian menyertakan individu dengan penyakit jantung koronari, lima kajian dengan kegagalan jantung dan tiada kajian dengan fibrilasi atrium. Kami menemui variasi jurang yang luas dari segi jenis intervensi yang disertakan dalam ulasan, dari segi kandungan intervensi yang disertakan, bagaimana dan oleh siapa ia disampaikan, dan kejelasan cara intervensi ini dilaporkan.
Berbanding tanpa intervensi psikologi, kami menemui bahawa intervensi psikologi bagi kemurungan dan kebimbangan mungkin dapat mengurangkan kemurungan dan kebimbangan, dan boleh meningkatkan kualiti hidup berkaitan kesihatan mental pada individu yang mempunyai diagnosis penyakit jantung koronari atau kegagalan jantung, tetapi tidak pada kesihatan fizikal. Selanjutnya, intervensi tersebut mungkin tidak mengurangkan kadar kematian dan risiko mendapat komplikasi utama jantung (seperti serangan jantung dan sebagainya).
Apakah batasan bukti?
Terdapat banyak variasi dalam jenis intervensi psikologi (contohnya terapi tingkah laku kognitif, kesedaran, gabungan terapi-terapi), para pesakit (jenis penyakit jantung koronari dan kegagalan jantung yang berbeza) dan alat yang digunakan untuk mengukur keputusan/hasil kajian (jenis alatan yang berbeza untuk mengukur hasil yang sama, contohnya kebimbangan). Ini menyukarkan pembandingan kesan-kesan intervensi psikologi merentasi kajian.
Selain itu, terdapat juga beberapa petunjuk penemuan yang tidak konsisten, tidak semua penemuan dilaporkan (hanya beberapa) dan kekurangan pembutaan (peserta mengetahui kumpulan mana mereka berada) dalam kajian disertakan . Selanjutnya, beberapa kajian mempunyai saiz sampel yang sangat kecil, atau tidak ada kajian yang mencukupi untuk membuat kesimpulan tentang kesan intervensi psikologi (iaitu kos, kematian dan komplikasi jantung yang buruk). Secara keseluruhan, keyakinan kami terhadap kesan keseluruhan intervensi psikologi berkurangan merentasi hasil utama.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Julai 2022.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Universiti Malaya). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia).