Terapi tingkah laku kognitif serta penjagaan piawai berbanding penjagaan piawai untuk tingkah laku agresif atau pergolakan yang berterusan pada pesakit skizofrenia

Adakah terapi tingkah laku kognitif lebih baik daripada rawatan konvensional untuk merawat pencerobohan atau pergolakan pada penghidap skizofrenia?

Mesej utama

• Kami tidak menemui bukti berkualiti baik yang mencukupi tentang faedah terapi tingkah laku kognitif terhadap pencerobohan pada pesakit skizofrenia. Kami hanya menjumpai dua kajian dengan peserta yang tidak mencukupi untuk memberikan hasil yang boleh dipercayai.

• Kajian yang lebih besar dan direka bentuk dengan baik diperlukan untuk memberikan anggaran yang lebih baik tentang manfaat dan potensi bahaya intervensi tingkah laku kognitif.

Betapa pentingnya agresi pada penghidap skizofrenia?

Skizofrenia adalah gangguan mental yang dicirikan oleh gangguan dalam proses pemikiran, persepsi, tindak balas emosi, dan interaksi sosial. Ia biasanya berterusan dan boleh menjadi teruk dan melumpuhkan. Walaupun risiko agresi (pencerobohan diri dan pencerobohan kepada orang lain) pada penghidap skizofrenia jarang berlaku dan terhad kepada sebilangan kecil individu, agresi akan menambah beban penyakit dengan meningkatkan risiko kecederaan dan kematian. Terapi tingkah laku kognitif bertujuan untuk mencabar pemikiran yang tidak berfungsi dan digunakan untuk meningkatkan kesihatan mental dan gangguan emosi; ia telah menunjukkan kesan yang baik dalam gejala skizofrenia yang berterusan dan penggunaannya sebagai terapi tambahan kepada ubat dalam rawatan skizofrenia disokong oleh garis panduan rawatan. Tetapi, pada masa ini tiada kesimpulan yang kukuh boleh dibuat mengenai keberkesanan menambah terapi tingkah laku kognitif kepada penjagaan standard untuk orang yang mengalami skizofrenia dan tingkah laku agresif. Walaupun terapi tingkah laku kognitif bukanlah intervensi kecemasan atau krisis yang bertindak serta-merta ke atas pencetus yang diketahui atau tidak diketahui yang mendasari tingkah laku agresif, ia mungkin merupakan rawatan yang tepat pada masanya yang digunakan untuk menguruskan pencerobohan berterusan atau episod agresif berulang pada penghidap skizofrenia.

Betapa pentingnya agresi pada penghidap skizofrenia?

Rawatan untuk keadaan ini termasuk:

• rawatan berasaskan ubat;

• rawatan bukan berasaskan ubat;

• rawatan fizikal (menahan dan mengasingkan diri).

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada terapi tingkah laku kognitif lebih baik daripada penjagaan standard untuk mengurangkan:

• tingkah laku agresif;

• pergolakan;

• mencederakan diri sendiri;

• berhenti daripada rawatan

Kami ingin mengetahui sama ada terapi tingkah laku kognitif lebih baik daripada penjagaan standard untuk mengurangkan:

• keadaan mental keseluruhan;

- kesejahteraan hidup.

Kami juga ingin mengetahui sama ada terapi tingkah laku kognitif dikaitkan dengan sebarang kesan yang tidak diingini.

Apakah yang telah kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang menyiasat terapi tingkah laku kognitif berbanding dengan penjagaan standard untuk merawat pencerobohan pada penghidap skizofrenia.

Kami telah membanding dan merumuskan hasil kajian dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti perkaedahan dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menjumpai dua kajian yang melibatkan 184 orang dengan skizofrenia dan agresi dan berlangsung antara tiga dan enam bulan. Satu kajian dijalankan di UK dan satu lagi di Amerika Syarikat. Keputusan utama ulasan ialah:

• terapi tingkah laku kognitif boleh mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kekerapan tindakan keganasan fizikal;

• terapi tingkah laku kognitif boleh mengurangkan sedikit kekerapan tindakan agresi lisan;

• terapi tingkah laku kognitif tidak mengubah skor min pada skala pencerobohan yang dilaporkan sendiri;

• terapi tingkah laku kognitif boleh menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam meninggalkan kajian atas sebarang sebab.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti kerana:

• peserta dalam kajian itu sedar tentang rawatan yang mereka terima.;

• tidak semua kajian menyediakan data tentang semua perkara yang kami minati;

• kajian adalah sedikit dan sangat kecil dan kesan nol tidak boleh dikecualikan untuk kebanyakan hasil.

Terdapat ketidakpastian tentang keputusan hasil.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti terkini sehingga 18 Januari 2023.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information