Mengapakah soalan ini penting?
Keratokonus adalah sejenis penyakit yang menjejaskan lapisan luar mata yang nipis dan lutcahaya, lapisan ini dikenali sebagai kornea. Kornea asalnya berbentuk seperti kubah. Mereka yang dijangkiti keratokonus, kornea mereka menipis secara perlahan-lahan dan lama-kelamaan bonjolan berbentuk kubah terbentuk di tengah-tengah kornea tersebut. Penyakit ini biasanya bermula diantara usia remaja dan 40 tahun, bagaimanapun bila terjadi ia berkekalan sepanjang hayat. Keadaan ini menyebabkan penglihatan menjadi kabur atau terherot yang mungkin tidak dapat dibaiki dengan memakai cermin mata. Ia juga mungkin menyebabkan lubang terbentuk pada kornea dan masalah penglihatan yang lain.
Rawatan-rawatan seperti pemakaian cermin mata dan kanta lekap boleh digunakan untuk menambah baik penglihatan mereka yang ada keratokonus. Walau bagaimanapun, ini tidak dapat memperlahankan perkembangan penyakit ini. Satu-satunya rawatan yang diketahui dapat memperlahankan perkembangan penyakit adalah dengan membuat ‘pautan silang kolagen kornea’ (CXL).
CXL adalah prosedur pembedahan yang bertujuan untuk menguatkan kornea dan mencegah penipisan lebih lanjut. Ia melibatkan proses menyinarkan sinar cahaya ultraviolet A (cahaya yang tidak dapat dilihat) ke mata yang telah dirawat dengan titisan ubat mata yang mengandungi riboflavin (vitamin). Apabila sinar cahaya ini bertembung dengan riboflavin, pautan-pautan baru akan terbentuk diantara serat-serat yang membentuk kornea.
Terdapat dua jenis CXL. Satu jenis memerlukan pembuangan sel-sel di permukaan kornea, bagi memudahkan riboflavin sampai ke kornea. Prosedur ini dipanggil ‘CXL pembuangan epitelium’. Jenis yang lain tidak memerlukan pembuangan sel-sel ini. Prosedur ini dipanggil ‘CXL transepitelium’. Pakar bedah yang menjalankan prosedur ini boleh menggunakan bahan kimia untuk membantu riboflavin menembusi sel-sel di permukaan kornea. Mereka juga boleh menggunakan aliran ion letrik (iontophoresis) bagi meletakkan riboflavin dikornea.
CXL pembuangan epitelium adalah prosedur yang lebih kerap digunakan. Walau bagaimanapun, CXL transepithelium mempunyai kelebihan, seperti penyembuhan yang lebih cepat dan kurang ketidakselesaan pada pesakit. Kami mengulas bukti untuk mengetahui mana dari dua prosedur ini yang lebih bermanfaat dan kurang risiko bagi mereka yang ada keratokonus.
Bagaimanakah kami mengenal pasti dan menilai bukti?
Kami mencari penerbitan perubatan untuk kajian-kajian yang membandingkan CXL pembuangan epitelium dengan CXL transepitelium. Kemudian kami membandingkan keputusan-keputusannya dan merumuskan bukti dari semua kajian. Kami menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian, dan konsistensi penemuan bagi semua kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 13 kajian yang melibatkan 567 orang. Kajian-kajian tersebut dijalankan di Eropah, Timur Tengah, India, Rusia, dan Turki. Kajian terpendek memakan masa selama enam bulan, dan kajian terpanjang lebih dari tiga tahun. Sebelas kajian membandingkan CXL transepitelium tanpa iontoforesis dengan CXL pembuangan epitelium. Tiga kajian membandingkan CXL transepitelium dengan iontoforesis dengan CXL pembuangan epitelium.
CXL transepitelium tanpa iontoforesis berbanding CXL pembuangan epitelium
Kami tidak mengetahui jika satu prosedur lebih baik daripada yang lain untuk mencegah perkembangan keratokonus atau kehilangan penglihatan kerana terlalu sedikit kajian yang mantap membandingkan kesan-kesan dua kaedah CXL ini.
Bukti dari empat kajian menunjukkan bahawa pengaburan kornea atau parut mungkin lebih kerap terjadi dengan CXL pembuangan epitelium.
CXL transepitelium dengan iontoforesis berbanding CXL pembuangan epitelium
Bukti dari dua kajian menunjukkan bahawa mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara dua prosedur itu pada perubahan terhadap kejelasan penglihatan. Kami tidak mengetahui jika satu prosedur lebih baik daripada yang lain untuk mencegah perkembangan keratokonus kerana terlalu sedikit kajian yang mantap membandingkan dua kaedah ini.
Bukti tidak menunjukkan bahawa satu prosedur membawa kepada lebih banyak peristiwa-peristiwa tidak diingini daripada yang lain. Walau bagaimanapun, keyakinan kami terhadap bukti ini adalah rendah, kerana ia berdasarkan tiga kajian yang tidak menggunakan kaedah yang mantap.
Apakah maksudnya?
Disebabkan kekurangan bukti yang mantap, kami tidak mengetahui jika CXL pembuangan epitelium atau CXL transepitelium lebih baik untuk memperlahankan perkembangan keratokonus.
Peristiwa-peristiwa buruk seperti pengaburan kornea atau parut mungkin lebih lazim dengan CXL pembuangan epitelium daripada dengan CXL transepitelium tanpa iontoforesis.
Kami memerlukan kajian-kajian yang lebih banyak dan lebih besar untuk menguatkan bukti. Mereka perlu membandingkan manfaat dan risiko prosedur-prosedur CXL yang berbeza. Kajian-kajian perlu mengikuti pesakit lebih dari 12 bulan, agar kesan-kesan jangka panjang boleh dibandingkan kerana ia boleh mengambil masa sekurang-kurangnya tempoh itu untuk tisu kornea sembuh dari sebarang prosedur.
Seberapa terkinikah ulasan ini?
Bukti dalam Ulasan Cochrane ini terkini sehingga Januari 2020.
Diterjemah oleh Muhammad Faiz Mohd Adenan (University of New South Wales, Sydney). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.