Sejauh manakah keberkesanan aktiviti fizikal dan pendidikan bagi kesakitan otot rangka kronik pada kanak-kanak dan remaja?

Mesej utama

- Kami tidak pasti sama ada aktiviti fizikal mengurangkan kesakitan atau menambahbaik ketidakupayaan berbanding penjagaan biasa. Kami tidak menemui kajian yang membandingkan aktiviti fizikal dengan intervensi penjagaan perubatan (cth. pendidikan).

- Kami tidak menemui kajian yang menilai pendidikan tentang aktiviti fizikal, dengan atau tanpa aktiviti fizikal, pada kanak-kanak dan remaja.

- Oleh sebab bilangan kajian yang disertakan adalah kecil, dan cara kajian dijalankan, yang boleh menimbulkan kesilapan dalam keputusannya, kami tidak dapat menyimpulkan sama ada aktiviti fizikal, pendidikan tentang aktiviti fizikal, atau kedua-duanya, adalah berkesan berbanding dengan penjagaan perubatan aktif atau penjagaan biasa.

Apakah kesakitan otot rangka kronik pada kanak-kanak dan remaja?

Kesakitan kronik adalah sakit yang berlarutan lebih dari tiga bulan. Kesakitan otot rangka kronik (cth. sakit pada otot dan tulang) adalah perkara biasa pada kanak-kanak dan remaja, dan mempunyai kesan negatif terhadap kehidupan mereka. Kesakitan otot rangka kronik yang paling biasa pada kanak-kanak dan remaja adalah sakit di belakang, leher, dan lengan mereka, dan sakit akibat kecederaan sukan.

Apakah kesan yang disebabkan oleh kesakitan otot rangka pada kanak-kanak dan remaja?

Kanak-kanak dan remaja yang mengalami kesakitan kronik melaporkan ketidakupayaan dan emosi yang rendah; mereka kurang bergaul dengan rakan-rakan mereka, dan menganggap kesakitan sebagai penghalang untuk bersenam dan menyertai aktiviti fizikal. Ini boleh mengakibatkan ponteng sekolah, dan kurang sihat apabila dewasa.

Bagaimanakah kesakitan otot rangka dirawat pada kanak-kanak dan remaja?

Kesakitan otot rangka kronik biasanya diuruskan dengan aktiviti fizikal, pendidikan tentang aktiviti fizikal, atau kedua-duanya. Selalunya, pendekatan ini disampaikan sebagai sebahagian daripada intervensi yang kompleks, iaitu intervensi dengan komponen yang berbeza (cth. psikologi, ubat-ubatan, aktiviti fizikal).

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada aktiviti fizikal, pendidikan tentang aktiviti fizikal, atau kedua-duanya, adalah lebih baik daripada penjagaan biasa atau rawatan penjagaan perubatan (juga dikenali sebagai penjagaan perubatan aktif) untuk menambahbaik:

- Kesakitan

- Ketidakupayaan

- Kualiti hidup

Kami juga ingin mengetahui sama ada aktiviti fizikal, pendidikan tentang aktiviti fizikal, atau kedua-duanya, membawa kepada sebarang kesan sampingan yang tidak diingini.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan aktiviti fizikal, atau pendidikan tentang aktiviti fizikal, atau kedua-duanya, dengan penjagaan biasa atau penjagaan perubatan aktif, pada kanak-kanak dan remaja berumur sekolah (4 tahun hingga 18 tahun) dengan sebarang kesakitan otot rangka kronik.

Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut, dan menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor, seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui empat kajian dengan sejumlah 243 peserta. Kajian itu hanya melibatkan kanak-kanak dan remaja dengan artritis idiopatik juvenil. Bilangan orang muda yang dimasukkan dalam setiap kajian adalah antara 32 hingga 93; umur purata peserta ialah 11 tahun. Tempoh rawatan adalah antara tiga hingga enam bulan. Hanya satu kajian menilai hasil pada susulan jangka panjang. Kami hanya menemui kajian yang membandingkan aktiviti fizikal dengan penjagaan biasa.

Kami tidak pasti sama ada aktiviti fizikal mengurangkan kesakitan atau menambahbaik ketidakupayaan lebih daripada penjagaan biasa. Kami tidak pasti tentang kesan aktiviti fizikal terhadap kualiti hidup. Tiada kajian melaporkan sama ada peserta mengalami kesan sampingan yang tidak diingini.

Apakah batasan bukti?

Kajian itu hanya memasukkan sebilangan kecil kanak-kanak dan remaja, dan mungkin telah dilakukan dengan cara yang boleh menimbulkan kesilapan dalam keputusan mereka. Kedua-dua sebab mengehadkan keyakinan kami terhadap bukti.

Kemungkinan kesan sampingan aktiviti fizikal dan penjagaan biasa tidak dilaporkan dengan secukupnya.

Ketidakpastian kami dalam keputusan tidak membenarkan kami menyimpulkan sama ada aktiviti fizikal untuk kesakitan otot rangka kronik pada kanak-kanak dan remaja menambahbaik kesakitan, ketidakupayaan, atau kualiti hidup mereka.

Dalam amalan, penyedia penjagaan kesihatan harus mempertimbangkan ketersediaan dan kualiti bukti penyelidikan tentang terapi fizikal, keutamaan orang muda dalam kesakitan, dan pengalaman profesional.

Sejauh manakan bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Ainur Atiqah Amid. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information