Adakah terapi sawan magnetik merupakan rawatan tambahan yang berkesan untuk orang mengalami kemurungan rintangan rawatan?

Soalan ulasan

Adakah terapi sawan magnetik (magnetic seizure therapy, MST) berkesan dan boleh diterima untuk merawat kemurungan rintangan rawatan (treatment-resistant depression, TRD).

Mengapakah ini penting

Lebih daripada 30% pesakit dengan kemurungan tidak memberi tindak balas terhadap perubatan dan psikoterapi. Kami mengenali orang seperti ini sebagai pesakit dengan TRD. Mereka mengalami tahap kecacatan dan beban ekonomi yang jauh lebih tinggi berbanding dengan pesakit bukan TRD.

Terapi elektrokonvulsif (electroconvulsive therapy, ECT) adalah rawatan penting untuk orang dengan TRD. Walaubagaimanapun, ECT sering dikaitkan dengan kesan sampingan kognitif, seperti kehilangan ingatan. Terapi sawan magnetik (MST) merupakan alternatif yang berpotensi kepada ECT dengan kesan sampingan kognitif yang lebih kurang. Oleh itu, ia adalah penting untuk mengetahui keberkesanan MST dalam merawat orang dengan TRD.

Apakah yang telah kami lakukan

Pada bulan Mac 2020, kami mencari percubaan rawak terkawal (randomised controlled trial, RCT) untuk kajian tentang MST untuk kemurungan rintangan rawatan. Peserta-peserta menerima rawatan yang berbeza secara rawak. Reka kajian ini memberikan bukti yang paling dipercayai.

Hasilnya merangkumi seberapa baik rawatan dijalankan (peningkatan keparahan simptom, kualiti hidup, dan fungsi sosial, serta jumlah peserta yang membunuh diri, melakukan percubaan bunuh diri, atau mencederakan diri sendiri) dan sama ada peserta mengalami kesan sampingan (fungsi kognitif, bilangan menarik diri dari kajian serta jumlah berlakunya kesan sampingan).

Apakah yang kami temui

Kami memasukkan tiga kajian yang melibatkan 65 peserta. Kajian-kajian ini membandingkan MST dan ECT dengan sehingga 12 sesi rawatan dalam enam minggu. Bukti yang terdapat tidak menunjukkan perbezaan pada keberkesanan atau toleransi antara MST dan ECT.

Namun, kami tidak pasti sejauh mana hasil kajian yang boleh dipercayai. Semua penemuan adalah berdasarkan hanya beberapa kajian dengan sebilangan kecil peserta. Peserta tahu rawatan yang mereka terima. Kajian-kajian ini dijalankan dengan cara yang berbeza dari protokolnya. Beberapa maklumat penting tidak dilaporkan, seperti bagaimana peserta diperuntukkan untuk rawatan yang berbeza dan sama ada peserta menarik diri daripada kajian-kajian tersebut. Semua kajian dilakukan oleh satu pasukan penyelidik di Jerman dan dibiayai sebahagiannya oleh pengeluar peranti MST.

Kesimpulan

Bukti mengenai kesan MST pada pesakit dengan TRD adalah tidak mencukupi pada masa ini. Analisis kami terhadap data yang terdapat tidak menunjukkan kesan yang berbeza antara MST dan ECT. Kepastian kami terhadap bukti adalah sangat rendah. Kajian besar, tempoh panjang, perancangan baik dengan pelaporan bagus amat diperlukan untuk mengkaji keberkesanan MST dengan lebih lanjut.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Lee Pei Yee (Hospital Selayang). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information