Rawatan untuk sakit perut dalam penyakit Crohn

Apakah matlamat utama ulasan ini?

Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada rawatan pada orang dengan penyakit Crohn boleh melegakan sakit perut.

Kami menganalisa maklumat daripada 14 kajian untuk menjawab soalan ini.

Mesej utama

Berdasarkan bukti berkualiti rendah, rangsangan elektrik ke otak boleh melegakan sakit perut berbanding rangsangan palsu ke otak.

Adalah tidak jelas sama ada terdapat sebarang perbezaan antara diet FODMAP rendah (satu kumpulan gula yang terdapat dalam makanan) dan diet yang tidak rendah FODMAP dalam melegakan sakit perut.

Adalah tidak jelas sama ada terdapat sebarang perbezaan antara program pengurusan stres, pengurusan stres kendiri, dan rawatan standard sahaja, dalam melegakan sakit perut.

Kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan tentang keselamatan mana-mana intervensi.

Adalah tidak jelas sama ada mana-mana rawatan untuk perbandingan lain yang dikaji adalah lebih baik atau lebih teruk daripada yang lain, kerana bukti adalah terhad disebabkan bilangan kajian dan peserta yang sangat rendah serta kualiti pelaporan yang rendah.

Penyelidikan lebih lanjut yang menangani isu kualiti yang telah kami ketengahkan adalah diperlukan.

Apakah yang dikaji dalam ulasan ini?

Orang yang menghidap penyakit Crohn biasanya mengalami sakit perut tidak kira sama ada penyakit mereka aktif atau tidak aktif.

Beberapa jenis terapi telah digunakan untuk cuba mengurangkan kesakitan dalam penyakit Crohn, termasuk diet, terapi psikologi, terapi alternatif, ubat-ubatan, dan terapi senaman.

Pada masa ini tiada kesepakatan dalam kalangan penyedia penjagaan kesihatan tentang terapi manakah yang lebih baik.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami mencari kajian rawak terkawal (kajian di mana peserta dimasukkan ke dalam satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan menggunakan kaedah rawak) yang membandingkan sebarang rawatan dengan mana-mana rawatan lain (seperti rawatan dummy/plasebo) pada penghidap penyakit Crohn. Kami menemui 14 kajian yang melibatkan seramai 743 peserta yang berumur 16 hingga 80 tahun. Kami membuat kesimpulan yang berikut.

• Rangsangan elektrik ke otak mungkin lebih baik daripada rangsangan palsu ke otak dalam melegakan kesakitan, berdasarkan bukti berkualiti rendah
• Adalah tidak jelas sama ada diet rendah FODMAP atau diet tidak rendah FODMAP adalah lebih baik dalam melegakan kesakitan.
• Adalah tidak jelas sama ada program pengurusan stres, pengurusan stres kendiri, atau rawatan standard sahaja adalah lebih baik dalam melegakan kesakitan.
• Adalah tidak jelas sama ada terdapat sebarang perbezaan antara mana-mana terapi lain dalam kesan-kesan terhadap pengurusan kesakitan.
• Adalah tidak jelas sama ada mana-mana terapi memberi perbezaan dalam kesan sampingan utama dan kecil.

Adakah ulasan ini muktahir?

Ulasan ini adalah terkini sehingga April 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information