Mesej utama
Dalam kalangan pesakit hati kronik yang sudah mengandungi jaringan parut yang berleluasa (diistilahkan sirosis hati) dan kemerosotan fungsi hati, pemberian infusi unsur perangsang koloni granulosit (G-CSF) dapat mengurangkan risiko kematian berbanding dengan rawatan biasa yang telah sedia ada. Kesan yang tidak dijangka sama ada dilaporkan dengan buruk, atau maklumatnya tidak jelas. G-CSF adalah sejenis sebatian protein yang merangsang pertumbuhan dan penyebaran sel yang belum mengalami proses pengkhususan (sel belum matang yang belum mempunyai suatu struktur atau bidang fungsi yang khusus) atau sel yang separa khusus (belum mengalami pengkhususan sepenuhnya) ke dalam sistem peredaran darah dan organ seperti hati. G-CSF boleh diberikan secara bersendirian atau digabungkan dengan ubat lain. Memandangkan kami tidak yakin terhadap bukti yang dihasilkan oleh kajian sedia ada yang mengkaji G-CSF, keputusan ulasan ini mungkin tidak boleh dipercayai. Selain itu, kajian yang disertakan dalam ulasan adalah terlalu berbeza antara satu sama lain untuk membolehkan kami membuat kesimpulan yang kukuh berdasarkan bukti.
Mengapakah perawatan penghidap penyakit hati kronik tahap lanjutan itu penting?
Pelbagai penyakit boleh menyebabkan kerosakan yang berterusan dan berulang-ulang pada hati, lantas menjurus kepada terjadinya parut yang progresif serta menjejaskan fungsi hati. Apabila kerosakan hati tidak dapat dipulihkan, ia diistilahkan sebagai penyakit hati kronik. Di peringkat global, penyakit hati kronik lanjutan dianggap bertanggungjawab untuk lebih daripada satu juta kematian setiap tahun. Tiada rawatan tersedia untuk menyasarkan pemarutanparut hati secara khusus, dan pemindahan hati kekal sebagai satu-satunya pilihan kuratif. Ramai penyelidik sedang menyiasat strategi untuk memulihkan fungsi hati untuk mengelakkan atau memperlahankan proses perkembangan yang menjurus ke arah penyakit hati fasa akhir (iaitu, fasa akhir penyakit hati yang progresif, seperti sirosis hati, hepatitis progresif seperti jangkitan hati kronik yang disebabkan virus hepatitis C, atau kanser hati), yang akhirnya memerlukan prosedur pemindahan hati.
Apakah itu unsur perangsang koloni granulosit?
Unsur perangsang koloni granulosit ialah protein yang merangsang sumsum tulang untuk menghasilkan sel darah putih dan sel yang tidak matang dan melepaskannya ke dalam aliran darah. Protein ini boleh dihasilkan menggunapakai teknologi DNA rekombinan (molekul DNA yang terbentuk melalui kaedah makmal) dan kini digunakan untuk mengekalkan tahap sel darah putih yang selamat dalam kalangan pesakit yang menjalani kemoterapi kanser. Selain itu, G-CSF mungkin mengawal keradangan dan meningkatkan kamampuan hati untuk menggantikan sel yang hilang dan kelangsungan hidup pada orang yang menghidap penyakit hati kronik lanjutan.
Apa yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada G-CSF, diberikan secara bersendirian atau digabungkan dengan ubat lain kepada orang yang menghidap penyakit hati kronik lanjutan, berbanding dengan rawatan palsu atau tiada rawatan, mampu memperbaik kelangsungan hidup. Kami juga ingin menilai kesan rawatan yang tidak diingini atau berbahaya, komplikasi yang terjadi akibat penyakit hati dan kesan rawatan tersebut terhadap kesejahteraan.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian klinikal rawak yang menyiasat kesan rawatan berulang yang melibatkan G-CSF sahaja atau digabungkan dengan ubat lain dalam kalangan pesakit yang menghidap penyakit hati kronik lanjutan. Dalam kajian-kajian rawak terkawal, peserta kajian diagihkan secara rawak kepada kelompok siasatan yang masing-masing menerima rawatan berbeza secara kebetulan (iaitu, secara rawak).
Apakah yang telah kami temui?
Kami telah menyertakan 20 kajian dalam ulasan ini, yang melibatkan seramai 1419 peserta. Sejumlah 188 daripada 738 (25.4%) peserta diagihkan secara rawak kepada kumpulan G-CSF, berbanding 302 daripada 681 (44.3%) peserta dalam kumpulan kawalan, meninggal dunia. (Kumpulan kawalan menerima terapi perubatan standard dan langkah sokongan lain.) Susulan dalam kajian berbeza antara 2 dan 12 bulan. Kajian telah dijalankan dari 2008 hingga 2022: 15 di Asia, 4 di Eropah, dan 1 di Amerika Syarikat. Lapan kajian menyertakan hanya orang yang menghidap penyakit hati alkohol, dan kajian lain menyertakan orang yang mempunyai punca penyakit hati yang berbeza, terutamanya hepatitis B atau C kronik. Hanya beberapa kajian yang melaporkan data tentang kesan yang tidak diingini atau berbahaya daripada rawatan dan kesejahteraan. G-CSF mungkin mengurangkan bilangan penghidap yang mempunyai komplikasi kerosakan hati yang boleh meningkatkan risiko kematian. Kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan yang kukuh untuk mana-mana hasil kajian kerana reka bentuk kajian yang lemah, kerana ini mengakibatkan tiada keyakinan terhadap bukti. Oleh itu, kami tidak dapat memastikan sama ada terdapat kesan yang bermanfaat, berbahaya atau neutral G-CSF berkenaan risiko kematian, kesan rawatan yang tidak diingini atau berbahaya dan komplikasi akibat penyakit hati.
Apakah batasan bukti?
Tahap keyakinan kami terhadap bukti ini adalah sangat rendah kerana kajian-kajian ini mempunyai pelbaga keterbatasan yang mungking akan cenderung menjurus ke arah keputusan yang berat sebelah. Jumlah kajian tidak mencukupi untuk menjana keyakinan terhadap ketepatan anggaran keputusan ulasan tersebut. Oleh itu, kami memerlukan kajian klinikal rawak lanjutan yang berkualiti tinggi.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti terkini adalah sehingga 4 Oktober 2022.
Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my