Intervensi penjagaan kulit untuk mencegah ekzema dan alahan makanan

Adakah melembabkan kulit bayi dapat mencegah ekzema atau alahan makanan?

Mesej utama

Rawatan penjagaan kulit pada bayi, seperti menggunakan pelembap pada kulit semasa tahun pertama kehidupan, mungkin tidak menghalang bayi daripada mengalami ekzema; boleh meningkatkan peluang alahan makanan; dan mungkin meningkatkan peluang jangkitan kulit. Ulasan ini melihat pencegahan ekzema dan alahan makanan sahaja. Rawatan penjagaan kulit masih penting untuk merawat ekzema.

Apa itu alahan?

Tindak balas imun adalah bagaimana tubuh mengenali dan mempertahankan diri daripada bahan yang kelihatan berbahaya. Alahan adalah reaksi sistem pertahanan badan terhadap makanan atau bahan tertentu (alergen) yang biasanya tidak berbahaya. Alahan yang berbeza mempengaruhi bahagian tubuh yang berlainan, dan kesannya boleh jadi ringan atau serius.

Alahan makanan dan ekzema

Ekzema adalah keadaan kulit yang biasa yang menyebabkan kulit kering, gatal, retak. Ekzema biasa berlaku pada kanak-kanak, sering timbul sebelum ulang tahun pertama mereka, dan boleh jadi berpanjangan.

Alahan terhadap makanan boleh menyebabkan gatal-gatal di mulut, ruam timbul yang merah gatal, pembengkakan wajah, gejala perut, atau kesukaran bernafas. Ia selalunya berlaku dalam dua jam selepas makanan dimakan.

Orang yang mempunyai alahan makanan sering mengalami keadaan alahan lain, seperti asma, demam, dan ekzema.

Mengapa kami melakukan Ulasan Cochrane ini

Kami ingin mengetahui bagaimana penjagaan kulit mempengaruhi risiko bayi mengalami ekzema atau alahan makanan. Rawatan penjagaan kulit termasuk:

• meletakkan pelembap pada kulit bayi;

• memandikan bayi dengan air yang mengandungi pelembap atau minyak pelembap;

• menasihati ibu bapa untuk kurang menggunakan sabun, atau jarang memandikan anak mereka;

• menggunakan pelembut air.

Kami juga ingin mengetahui apakah rawatan penjagaan kulit ini menyebabkan kesan yang tidak diingini.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian tentang pelbagai jenis penjagaan kulit untuk bayi yang sihat (berumur hingga satu tahun) tanpa alergi makanan, ekzema, atau keadaan kulit yang lain.

Tarikh carian: kami merangkumkan bukti yang diterbitkan sehingga Julai 2021.

Kami berminat dengan kajian-kajian yang melaporkan:

• berapa ramai kanak-kanak yang menghidap ekzema, atau alahan makanan, pada usia satu hingga tiga tahun;

• betapa teruknya ekzema (menurut penyelidik dan ibu bapa);

• berapa lama masa yang diambil untuk ekzema terjadi;

• laporan ibu bapa mengenai reaksi segera (di bawah dua jam) terhadap alergen makanan;

• berapa ramai kanak-kanak yang mengalami sensitiviti terhadap alergen makanan tertentu;

• sebarang kesan yang tidak diingini.

Kami menilai kekuatan dan kelemahan setiap kajian untuk menentukan sejauh mana keputusannya boleh dipercayai, dan kemudian menggabungkan keputusan kajian yang berkaitan dan melihat kesan keseluruhan.

Apakah yang kami temui

Kami menemui 33 kajian, melibatkan 25,827 bayi, yang menilai sebarang jenis intervensi kulit. Kajian yang disertakan berlaku di Eropah, Australia, Jepun, dan AS, selalunya di hospital kanak-kanak. Penjagaan kulit dibandingkan dengan tiada penjagaan kulit atau penjagaan kulit yang biasa untuk bayi di negara tersebut. Tempoh rawatan dan susulan berkisar antara 24 jam hingga tiga tahun. Banyak kajian (13) menguji penggunaan pelembap; kajian yang lain terutamanya menguji penggunaan produk mandi dan pembersih dan kekerapan ia digunakan.

Daripada 33 kajian yang disertakan, hanya 11 kajian yang mempunyai hasil setanding ekzema, alahan makanan, atau kesan buruk dan digabungkan untuk analisis. Kesemua kajian ini mendaftarkan bayi sebelum mereka berumur satu bulan, dan lapan daripada kajian ini melibatkan bayi yang dianggap berisiko tinggi untuk mengalami ekzema.

Apakah keputusan utama ulasan kami?

Berbanding dengan tanpa penjagaan kulit atau penjagaan piawai, pelembap:

• mungkin tidak mengubah peluang untuk mendapat ekzema pada usia satu hingga tiga tahun (7 kajian; 3075 bayi), atau masa yang diperlukan untuk ekzema terjadi (9 kajian; 3349 bayi);

• boleh meningkatkan peluang untuk terjadi alahan makanan seperti yang dinilai oleh penyelidik (1 kajian; 976 bayi) pada usia satu hingga tiga tahun;

• mungkin meningkatkan sedikit jumlah reaksi segera terhadap alahan makanan biasa pada dua tahun, seperti yang dilaporkan oleh ibu bapa (1 kajian; 1171 bayi);

• mungkin menyebabkan lebih banyak jangkitan pada kulit (6 kajian; 2728 bayi);

• boleh meningkatkan kesan yang tidak diingini, seperti rasa pedih atau reaksi alergi terhadap pelembap (4 kajian; 343 bayi);

• boleh meningkatkan kemungkinan bayi tergelincir (4 kajian; 2538 bayi);

• mungkin tidak menjejaskan peluang untuk terjadi sensitiviti terhadap alergen makanan (3 kajian; 1797 bayi) pada usia satu hingga tiga tahun.

Keyakinan dengan keputusan kami

Kami cukup yakin dengan keputusan kami untuk mengalami ekzema dan masa yang diperlukan untuk terjadinya ekzema. Kami kurang yakin dengan keputusan kami untuk alahan makanan atau sensitiviti, yang berdasarkan pada bilangan kajian yang kecil dengan keputusan yang sangat bervariasi. Keputusan ini berkemungkinan berubah apabila lebih banyak bukti menjadi tersedia. Keyakinan kami terhadap penemuan ulasan tentang jangkitan kulit adalah sederhana, tetapi rendah untuk pedih atau reaksi alahan dan tergelincir.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information