Cecair intravena berbanding penghidratan tiub nasogastrik atau orogastrik untuk kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital dengan bronchiolitis

Soalan ulasan

Adakah tiub penyusuan atau kateter intravena lebih baik untuk menghidratkan kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital dengan bronchiolitis?

Latar belakang

Bronkiolitis adalah jangkitan pernafasan biasa pada kanak-kanak kecil yang menyukarkan penyusuan disebabkan oleh peningkatan usaha untuk bernafas dan pengeluaran lendir. Apabila bayi dianggap tidak selamat untuk diberi makan melalui mulut (secara oral), terdapat dua cara cecair boleh diberikan: tiub penyusuan dan/atau kateter intravena. Tiub penyusuan dimasukkan melalui hidung atau mulut ke dalam perut kanak-kanak dan boleh digunakan untuk memberi susu atau cecair jernih seperti larutan rehidrasi. Kanula intravena dimasukkan ke dalam vena dan memberikan cecair penghidratan perubatan ke dalam vena. Tidak jelas sama ada salah satu cara untuk memberi cecair adalah lebih baik daripada yang lain, dan terdapat banyak variasi kaedah yang digunakan pada kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital dengan bronchiolitis. Ulasan kami menggunakan kaedah Cochrane yang standard untuk mengenalpasti kajian yang secara rawak menetapkan kanak-kanak untuk menerima cecair sama ada melalui tiub penyusuan atau kateter intravena, dan kemudian membandingkan kesan dua kaedah terapi cecair pada kanak-kanak. Matlamat ulasan ini adalah untuk mengetahui sama ada satu kaedah adalah lebih baik daripada yang lain.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini sehingga 8 March 2021.

Ciri-ciri kajian

Kami mendapati hanya dua kajian yang membandingkan penggunaan tiub penyusuan dengan kateter intravena untuk kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital dengan bronchiolitis. Kajian itu menyertakan seramai 810 kanak-kanak yang berumur kurang daripada dua tahun, dan yang secara rawak diberikan sama ada tiub penyusuan atau kateter intravena.

Sumber pembiayaan kajian

Pengarang kajian Oakley menunjukkan bahawa kajian itu dibiayai oleh Majlis Penyelidikan Kesihatan dan Perubatan Kebangsaan Australia, Yayasan Amal Samuel Nissen (Perpetual), Institut Penyelidikan Kanak-kanak Murdoch, dan Kerajaan Victoria, tetapi pembiaya tidak mempunyai peranan dalam reka bentuk dan tafsiran kajian. Kajian Kugelman tidak menerangkan pembiaya kajian.

Keputusan utama

Kedua-dua kajian itu mendapati tiada perbezaan dalam bilangan jam kanak-kanak duduk di hospital, dan tiada sebarang perbezaan dalam masa pemulihan untuk kembali kepada penyusuan oral sepenuhnya. Perbezaan utama antara kumpulan adalah kejayaan yang lebih besar dalam memasukkan tiub penyusuan pada percubaan pertama berbanding dengan kateter intravena, yang selalunya memerlukan beberapa percubaan. Selain itu, kanak-kanak yang menerima cecair intravena lebih cenderung untuk beralih kepada penyusuan tiub enteral dan mengalami lebih banyak kesan sampingan. Salah satu kajian melaporkan bahawa ibubapa berpuas hati dengan kedua-dua kaedah penghidratan. Walau bagaimanapun, oleh kerana hanya dua kajian yang disertakan, sukar untuk mengetahui sama ada penyusuan tiub enteral lebih baik atau lebih teruk daripada cecair intravena.

Kesimpulan

Terdapat keperluan untuk penyelidikan yang lebih khusus bagi topik ini, termasuk pemahaman yang lebih baik tentang keutamaan ibu bapa dan penjaga yang berkaitan dengan pemberian cecair bukan oral dan cara menggabungkan pembuatan keputusan bersama, di mana kedua-dua pesakit dan doktor bekerjasama untuk membuat keputusan rawatan.

Kepastian bukti

Dalam satu kajian, kaedah yang digunakan untuk menetapkan dan menyertakan peserta secara rawak kepada kumpulan rawatan adalah tidak jelas. Tidak jelas bagaimana ini mungkin menyebabkan ketidaktelusan dalam kajian. Oleh kerana satu kajian mempunyai risiko tidak telus yang tidak jelas, kami menilai kepastian bukti secara keseluruhan untuk hasil utama sebagai sederhana. Tiada pengarang kajian mengisytiharkan sebarang konflik kepentingan.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USMKK). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information