Masa rawatan untuk patah tulang di kaki dan lengan yang juga mempunyai luka terbuka

Mesej utama

Kami tidak pasti sama ada masa rawatan yang berbeza (antibiotik, pembersihan luka, dan sama ada untuk melakukan semua pembedahan dalam satu operasi atau lebih) mungkin menjejaskan tahap pemulihan pesakit daripada patah tulang panjang terbuka. Kami menemui sangat sedikit kajian, dan mereka tidak mengemukakan bukti yang boleh dipercayai.

Apa itu patah tulang terbuka?

Beberapa tulang patah termasuk kawasan kulit dengan luka terbuka di sekitar patah tulang terbuka. Ini dipanggil patah tulang terbuka dan paling kerap berlaku akibat kecederaan impak tinggi seperti kemalangan jalan raya atau jatuh dari ketinggian. Dalam ulasan ini, kami berminat dalam rawatan patah tulang panjang terbuka (di paha, tulang kering, anggota bawah, lengan atas, dan lengan bawah). Patah tulang ini boleh menjadi kecederaan yang sangat serius. Oleh sebab terdapat luka terbuka, orang ramai menghadapi risiko jangkitan yang serius. 'Jangkitan dalam' melibatkan tulang dan memerlukan pembedahan lanjut; ia mungkin mengancam anggota badan dan menjejaskan pemulihan jangka panjang.

Apakah rawatan yang didapati?

- Antibiotik (untuk melawan jangkitan) boleh dimulakan lebih awal (dalam masa sejam selepas kecederaan) atau kemudian; ia boleh diberikan untuk masa yang singkat (sehingga luka ditutup dengan pembedahan) atau lebih lama.

- Debridemen: dengan pembedahan membuang sebarang kotoran, objek asing, atau tisu mati dan rosak dari bahagian dalam luka: ini boleh dilakukan lebih awal (dalam masa 12 jam selepas kecederaan) atau kemudian.

- Rawatan juga termasuk pembedahan untuk membaiki tulang dan menutup luka (ini mungkin melibatkan pemindahan kulit atau otot, atau kedua-duanya, dari kawasan badan lain untuk menutup luka). Semua peringkat (debridemen, membaiki tulang, penutupan luka) boleh diselesaikan melalui satu operasi atau beberapa operasi pembedahan. Jika ini dilakukan dalam beberapa operasi, luka mungkin ditutup awal (dalam masa 72 jam selepas kecederaan) atau kemudian.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan satu atau lebih daripada pilihan rawatan untuk orang dewasa yang mengalami patah tulang dengan luka pada kulit. Kami ingin mengetahui manfaat dan kemudaratan rawatan yang berbeza. Jika kami menemui kajian hampir sama dengan rawatan serupa, kami menggabungkan penemuan daripada kajian untuk melihat jika kami boleh mengetahui sama ada sesetengah rawatan menghasilkan hasil yang lebih baik.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui tiga kajian dengan 613 orang dewasa, yang mempunyai 617 patah tulang terbuka. Kebanyakan patah tulang adalah dalam golongan lelaki, dan umur purata ialah 30 hingga 34 tahun. Dalam dua kajian, patah tulang terbuka adalah pada tulang kering (tempat biasa untuk jenis kecederaan ini kerana tidak banyak kulit dan otot yang ada antara tulang dan permukaan kulit). Dalam kajian lain, kecederaan adalah di lengan dan kaki.

Satu kajian membandingkan pemberian antibiotik selama 24 jam (tempoh rawatan pendek) dengan lima hari antibiotik (tempoh rawatan panjang). Tidak jelas sama ada tempoh rawatan ini mempunyai kesan ke atas bilangan orang yang mengalami jangkitan permukaan dalam tempoh 14 hari. Jangkitan permukaan terjadi pada kulit di sekeliling luka, tetapi tidak cukup dalam untuk menjejaskan tulang; ia mungkin berlaku pada awal tempoh pemulihan dan boleh dirawat dengan mudah dengan antibiotik sahaja.

Dua kajian membandingkan penutupan luka serta-merta selepas membaiki tulang dengan kelambatan untuk menutup luka. Tidak jelas sama ada jangka masa penutupan luka mempunyai kesan ke atas bilangan orang yang mengalami jangkitan dalam, jangkitan permukaan, atau telah melambatkan sembuh sepenuhnya (apabila bahagian tulang yang patah pulih bersama lebih perlahan daripada yang dijangkakan) atau tidak sembuh sepenuhnya (apabila tulang tidak sembuh).

Tiada kajian melihat sejauh mana seseorang boleh menggerakkan lengan atau kaki mereka yang cedera, atau kualiti hidup pesakit yang berkaitan dengan kesihatan antara enam hingga 12 bulan selepas rawatan.

Kami tidak menemui kajian yang membandingkan permulaan antibiotik dengan serta-merta atau kemudian, sama ada pembersihan luka dimulakan dalam tempoh 12 jam selepas kecederaan atau kemudian, atau sama ada peringkat rawatan yang berbeza berlaku pada masa yang sama atau secara berasingan.

Adakah kami yakin dengan apa yang kami temui?

Kami tidak begitu yakin dengan penemuan ini kerana:

- kami hanya mendapat maklumat daripada satu kajian kecil tentang berapa lama antibiotik diberikan, dan dua kajian tentang bila luka tertutup;

- kajian tidak dilaporkan dengan baik, dan hanya satu kajian dilaporkan dalam ringkasan ringkas;

- semua penemuan termasuk kemungkinan manfaat (contohnya, kurang sedikit jangkitan dengan antibiotik jangka pendek) serta kemungkinan bahaya (contohnya, lebih banyak jangkitan dengan antibiotik jangka pendek).

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Bukti terkini sehingga Februari 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information