Dalam kalangan pesakit dewasa, adakah terapi oksigen semasa tempoh tidak bernafas sebelum intubasi mencegah komplikasi?

Apakah itu intubasi?

Intubasi adalah prosedur perubatan yang melibatkan pemasukan sebuah tiub ke dalam saluran pernafasan semasa menjalani pembiusan sebelum pembedahan atau ketika situasi kecemasan untuk menyelamatkan nyawa seperti kejadian trauma di tepi jalan atau semasa penyakit kritikal. Tiub pernafasan ini berfungsi sebagai saluran untuk membolehkan sokongan pengalihudaraan.

Mengapakah terapi oksigen berguna?

Semasa seseorang pesakit berhenti bernafas selepas ditidurkan sebagai persiapan untuk pembedahan sebelum tiub pernafasan mulut dimasukkan, tahap oksigen darah rendah (ketepuan oksigen rendah) boleh terjadi. Ini berkemungkinan boleh mengakibatkan komplikasi yang dahsyat seperti serangan sakit jantung, serangan angin ahmar atau kematian. Membekalkan oksigen secara pasif melalui hidung boleh membekalkan oksigen jauh ke dalam paru-paru dan boleh mengelakkan masalah ketepuan oksigen darah yang rendah dan komplikasi yang berkaitan dengan masalah itu.

Apakah yang ingin kami tahu?

Adakah terapi oksigen menerusi tiub kecil yang dipasang di hidung mengurangkan kejadian paras ketepuan oksigen darah yang rendah dan terlampau rendah semasa pasukan perubatan sedang memasukkan tiub pernafasan apabila pesakit sudah tidak boleh bernafas? Adakah rawatan ini dapat mencegah komplikasi yang berkaitan dengan ketepuan oksigen darah rendah dan mempengaruhi tempoh rawatan inap baik di hospital mahupun di unit rawatan rapi?

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian rawak terkawal (sejenis kajian di mana orang ditugaskan secara rawak kepada kumpulan rawatan) orang dewasa (berumur tahun atau lebih) yang membandingkan pemberian terapi oksigen dengan tiada terapi oksigen dalam tempoh antara ketika mereka berhenti bernafas dan intubasi.

Apakah yang telah kami temui?

Kami telah mengenal pasti 23 kajian yang menyertakan 2264 orang peserta. Kajian-kajian ini telah dijalankan di unit rawatan rapi dan teater pembedahan di pelbagai negara di seluruh dunia. Syarikat farmaseutikal mendanai beberapa kajian tersebut.

Keputusan utama

Jika dibandingkan dengan rawatan tanpa pemberian oksigen, pemberian terapi oksigen meningkatkan serba sedikit paras oksigen darah terendah terekod (peningkatan sekitar 2%;15 buah kajian, 1525 orang peserta), dan mengurangkan tempoh penginapan di unit rawatan rapi sebanyak kira-kira satu hari (5 kajian, 815 peserta).

Terapi oksigen tidak mempunyai kesan ke atas angka kejadian paras oksigen darah yang terlampau rendah semasa tempoh pesakit berhenti bernafas dalam kebanyakan pesakit yang sakit kritikal (15 kajian, 1802 peserta).

Tiada ada kesan ke atas kadar komplikasi semasa intubasi (10 kajian, 997 peserta), atau dari segi kadar kejayaan menjalani intubasi pada percubaan pertama (8 kajian, 826 peserta).

Tiada satu pun kajian yang disertakan dalam ulasan ini yang melaporkan kesan ke atas tempoh penginapan di hospital.

Apakah keterbatasan bukti ini?

Walaupun kami telah menemui beberapa manfaat terapi oksigen, kami hanya mempunyai keyakinan rendah sehingga sederhana terhadap keputusan. Ini adalah terutamanya disebabkan pihak doktor dalam banyak kajian telah tahu peserta mana yang menerima oksigen tambahan dan terdapat beberapa perbezaan antara kelompok peserta yang kami tidak dapat wajarkan.

Apakah langkah seterusnya?

Tidak mungkin pemberian terapi oksigen semasa tempoh pesakit berhenti bernafas mendatangkan manfaat yang banyak kepada semua peserta dalam mana-mana hasil yang berkaitan dengan intubasi. Kajian lanjut mungkin tertumpu pada tempoh rawatan rapi dan apa-apa sebab yang munasabah untuk kesannya, atau kumpulan peserta mana yang lebih membantu.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti kami adalah terkini setakat 4 November 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shaun Lee (Monash Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information