Mesej utama
- Bukti tentang kesan pendekatan pembedahan dan bukan pembedahan (contohnya, ubat-ubatan) untuk pengurusan tumor pituitari yang merembeskan hormon pertumbuhan adalah sangat terhad.
- Hasil yang sangat penting untuk orang yang menghidap penyakit, seperti komplikasi berkaitan penyakit, kesan sampingan dan penyakit berulang, tidak, atau hanya jarang dilaporkan.
- Apabila dilaporkan, kami mendapati bahawa pembedahan mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas hasil berbanding dengan rawatan bukan pembedahan.
Apakah adenoma pituitari yang merembeskan hormon pertumbuhan?
Adenoma pituitari yang merembeskan hormon pertumbuhan, penyakit hormon yang serius, ialah tumor dalam kelenjar kecil yang terletak di pangkal otak yang merembeskan hormon pertumbuhan ke dalam darah.
Bagaimana tumor ini dirawat?
Pada masa ini, pesakit yang menghidap jenis tumor ini dirawat dengan membuang tumor melalui pembedahan. Namun, kaedah bukan pembedahan, seperti ubat-ubatan dan terapi radiasi, yang menyasarkan tumor ini, boleh digunakan untuk merawatnya atau mungkin menambahbaik keputusan walaupun selepas pembedahan.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kesan strategi pembedahan dan bukan pembedahan untuk rawatan adenoma pituitari yang merembeskan hormon pertumbuhan dalam kalangan orang dewasa.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami melihat bukti daripada kajian penyelidikan untuk melihat sama ada strategi pembedahan dan bukan pembedahan berkesan dalam merawat adenoma pituitari yang merembeskan hormon pertumbuhan dalam kalangan orang dewasa. Kami membandingkan intervensi pembedahan dan bukan pembedahan yang digunakan dalam rawatan tumor ini.
Apa yang kami temui?
Kami temui lapan kajian rawak terkawal (kajian klinikal di mana pesakit dimasukkan ke dalam salah satu daripada dua kumpulan rawatan secara rawak) yang melibatkan 445 individu dengan jenis tumor ini, melihat sama ada pembedahan, ubat-ubatan atau ubat-ubatan diikuti dengan pembedahan boleh menambah baik hasil. Kami tidak menemui kajian yang mengkaji terapi radiasi. Susulan peserta kajian adalah dari 12 minggu hingga 5 tahun.
Keputusan utama
Kajian tidak menerangkan kemungkinan komplikasi penyakit dan kesan rawatan yang tidak diingini dengan terperinci. Pengulangan tumor tidak dilaporkan sama sekali. Selepas menggabungkan maklumat yang ada dalam kajian, ianya tidak pasti sama ada terdapat sebarang perbezaan antara pembedahan dan ubat-ubatan atau antara pembedahan dan ubat-ubatan diikuti dengan pembedahan dari segi hasil utama kami.
Apakah batasan bukti?
Kami tidak yakin dengan bukti ini kerana banyak kajian yang termasuk dalam ulasan ini adalah sangat kecil, kajian-kajian ini tidak melaporkan maklumat yang boleh kami gunakan, dan beberapa keputusan adalah tidak konsisten merentas kajian yang berbeza. Tambahan pula, beberapa kajian tidak melaporkan dengan jelas bagaimana kajian ini dijalankan, sebagai contoh, bagaimana peserta kajian dimasukkan secara rawak ke dalam salah satu daripada dua kumpulan rawatan. Kekurangan keyakinan kami terhadap bukti ini bermakna kajian masa depan berkemungkinan mengubah keputusan kami.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Bukti ini adalah terkini sehingga Ogos 2022.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).