Lamotrigine sebagai rawatan pencegah, pengulangan gangguan bipolar

Soalan ulasan

Untuk menyiasat keberkesanan klinikal (faedah dan kemudaratan) lamotrigine sebagai terapi pengekalan bagi gangguan bipolar dibandingkan dengan plasebo, terapi kombinasi atau ubat-ubatan yang sedia ada (contohnya litium, olanzapine).

Latar belakang

Lamotrigine telah diluluskan untuk rawatan pengekalan (rawatan untuk mencegah pengulangan semula) gangguan bipolar. Ianya boleh menjadi strategi rawatan yang boleh dilakukan dan efektif sebagai rawatan kekal bagi gangguan bipolar, yang mana ia telah menunjukkan pengulangan semula yang lebih rendah daripada plasebo. Di samping itu, ia juga dilaporkan memmpunyai keberkesanan yang sama dengan litium. Oleh itu, kami melakukan ulasan sistematik untuk menyiasat keberkesanan dan keselamatan lamotrigine sebagai rawatan pengekalan (rawatan untuk pencegahan pengulangan semula) gangguan bipolar.

Penemuan utama

Bukti terkini sehingga Mei 2021. Kami memasukkan 11 kajian yang melibatkan 2314 peserta di dalam ulasan ini. 1146 peserta dimasukkan dalam kumpulan menggunakan lamotrigine, dan 1168 peserta pula dalam intervensi kawalan (869 menerima plasebo dan 299 menerima litium).

Ulasan kami mengenal pasti perkara berikut.

Lamotrigine berbanding placeb o

Manfaat: lamotrigine didapati lebih baik daripada plasebo dalam hasil-hasil berikut.

1) Mengurangkan kadar pengulangan semula gejala mania/manik

2) Menurunkan simptom kemurungan

3) Kurang memerlukan agen terapi tambahan untuk pengulangan semula semua gejala

4) Pengurangan kadar peserta berhenti dari kajian disebabkan oleh sebarang isu selama enam bulan atau lebih setelah memulakan intervensi

Bahaya: profil kejadian buruk lamotrigine sama dengan plasebo.

Lamotrigine berbanding litium

Manfaat: lamotrigine sama efektifnya dengan litium, kecuali untuk gejala mania/manik yang berulang, dimana peserta yang menerima lamotrigine lebih tinggi kadarnya berbanding dengan peserta yang dirawat dengan litium.

Bahaya: kadar kejadian buruk yang berkaitan dengan lamotrigine lebih rendah daripada litium.

Kepastian bukti

Kami menilai kepastian bukti yang dimasukkan sebagai sangat rendah hingga sederhana. Ini kerana kebanyakan kajian yang disertakan tidak menerangkan bagaimana kumpulan rawatan disembunyikan. Memandangkan kami tidak dapat mengenal pasti bukti yang keyakinan tinggi, keseluruhan penemuan ulasan sistematik ini harus dinilai dengan teliti.

Kesimpulan

Lamotrigine mungkin lebih baik daripada plasebo dari segi keberkesanannya dan mungkin setanding dari segi keselamatan. Llamotrigine juga memberikan kesan yang sama dengan litium kecuali terhadap kadar mania yang berulang, dan lebih baik daripada litium dari segi keselamatan. Kajian masa depan dalam bidang ini dengan kaedah yang lebih baik dan pelaporan yang telus diperlukan untuk mengesahkan hasil kami dan untuk menjawab sepenuhnya soalan ulasan kami yang telah ditentukan sebelumnya.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Syed Amirfaiz (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information