Mesej utama
- Keputusan yang kami kenal pasti tidak mencukupi untuk menunjukkan bahawa aplikasi telefon pintar membantu remaja dan orang dewasa dengan berat badan yang berlebihan atau obesiti. Apabila kami membandingkan aplikasi telefon pintar dengan tidak melakukan apa-apa atau bimbingan peribadi, perbezaan yang kami dapati adalah kecil dan mungkin tidak memberi kesan penting terhadap kehidupan seharian.
- Kami tidak mempunyai banyak maklumat tentang remaja. Kami juga tidak tahu bagaimana aplikasi telefon pintar berfungsi di negara yang berbeza, atau untuk orang yang kekurangan wang atau latar belakang yang berbeza.
- Tiga puluh empat kajian tentang topik ini sedang berjalan, dan kami menjangkakan untuk mengetahui lebih lanjut dalam tempoh dua tahun akan datang.
- Para doktor dan profesional kesihatan lain perlu berfikir dengan teliti sama ada untuk mengesyorkan aplikasi telefon pintar kepada orang yang mempunyai berat badan yang berlebihan atau obesiti.
Apakah berat badan yang berlebihan dan obesiti?
Berat badan yang berlebihan bermakna berat lebih daripada apa yang dianggap biasa untuk ketinggian seseorang. Perkara ini sering dinyatakan menggunakan indeks jisim badan (BMI, yang merupakan berat seseorang dalam kilogram dibahagikan dengan persegi ketinggiannya dalam meter (kg/m²)). Bagi orang dewasa dengan berat badan yang berlebihan yang mana mempunyai BMI sebanyak 25 hingga 30. Obesiti adalah apabila seseorang mempunyai berat badan yang berlebihan dan mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk masalah kesihatan. Bagi orang dewasa yang mana mempunyai BMI lebih daripada 30. Selain masalah kesihatan yang mungkin berlaku, orang yang mengalami obesiti sering diperlakukan secara tidak adil oleh orang-orang di sekeliling mereka.
Apakah aplikasi telefon pintar untuk orang yang mempunyai berat badan yang berlebihan dan obesiti?
Aplikasi telefon pintar ialah program yang berjalan pada telefon pintar. Mereka boleh membantu orang yang mempunyai berat badan yang berlebihan dan obesiti untuk membuat pilihan kesihatan yang baik dalam hidup mereka. Mereka mungkin mendorong remaja dan orang dewasa untuk menjadi lebih aktif secara fizikal, mengubah cara mereka makan, atau berfikir lebih positif tentang diri mereka sendiri. Aplikasi ini dianggap dapat membantu orang agar patut dalam mengikuti amalan yang sihat.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengkaji sama ada menggunakan aplikasi telefon pintar membantu orang dewasa (orang berumur lebih dari 18 tahun), dan remaja (orang berumur 13 hingga 17 tahun) dengan berat badan yang berlebihan atau obesiti.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang secara rawak menugaskan orang untuk menerima sama ada aplikasi telefon pintar, rawatan lain, atau penjagaan biasa (disebut 'intervensi'). Kajian ini membantu kami mengetahui sama ada aplikasi telefon pintar berkesan dan apakah aplikasi ini lebih baik daripada intervensi lain. Kami memilih kajian yang merangkumi remaja atau orang dewasa dengan berat badan yang berlebihan atau obesiti dan menguji aplikasi telefon pintar sebagai intervensi tunggal. Aplikasi ini diperlukan untuk menyokong orang dengan menggunakan sekurang-kurangnya dua 'teknik perubahan tingkah laku' bagi disertakan sekali dengannya. Hal Ini bermaksud bahawa aplikasi itu harus membantu orang ramai untuk, misalnya, mengesan berat badan, makanan atau aktiviti mereka dan juga memberikan, misalnya, mesej motivasi atau maklumat tentang amalan sihat. Kami memberi tumpuan kepada hasil kajian pada enam bulan atau lebih lama (jangka sederhana) dan 12 bulan atau lebih lama (jangka panjang).
Apakah yang telah kami temui?
Kami memasukkan lapan belas kajian dengan 2703 peserta. Enam belas kajian merangkumi orang dewasa dan dua termasuk remaja. Intervensi dalam kajian berlangsung antara 2 dan 24 bulan. Kami juga menemukan 34 kajian berterusan tentang topik ini, yang boleh menambah data dalam kemas kini kajian kami di masa depan.
Aplikasi telefon pintar berbanding tanpa aplikasi
Tiga belas kajian membandingkan orang dewasa dengan aplikasi telefon pintar dengan mereka yang tiada aplikasi. Aplikasi telefon pintar mungkin mengurangkan aktiviti fizikal sederhana hingga kuat, dan aktiviti riadah mungkin tidak berubah. Aplikasi telefon pintar boleh mengurangkan BMI dalam jangka sederhana, tetapi bukti itu sangat tidak pasti. Mungkin terdapat sedikit atau tiada perubahan berat badan dua tahun selepas permulaan kajian. Aplikasi telefon pintar mungkin menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kualiti hidup dan kesejahteraan selepas satu tahun dan sedikit atau tiada perbezaan dalam amalan pemakanan selepas satu atau dua tahun. Kami tidak menemukan kajian pada remaja.
Aplikasi telefon pintar dibandingkan dengan aplikasi telefon pintar lain
Dua kajian membandingkan orang dewasa dengan versi aplikasi yang sama yang lain dan menunjukkan tiada atau perbezaan minimum dalam keputusan. Kajian ketiga pada orang dewasa membandingkan dua aplikasi yang berbeza (mengira kalori atau menggunakan diet ketogenik) dan mencadangkan sedikit penurunan berat badan pada enam bulan dengan diet ketogenik. Kami tidak menemukan kajian pada remaja.
Aplikasi telefon pintar dibandingkan dengan bimbingan peribadi
Satu kajian membandingkan orang dewasa dengan aplikasi telefon pintar dengan mereka yang mempunyai bimbingan peribadi. Kajian ini hanya melaporkan keputusan jangka pendek. Dua kajian membandingkan aplikasi dengan bimbingan peribadi pada remaja. Salah seorang daripada mereka menunjukkan bahawa aplikasi telefon pintar menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam BMI berbanding dengan bimbingan peribadi selepas enam bulan.
Aplikasi telefon pintar berbanding dengan penjagaan biasa
Hanya satu kajian membandingkan aplikasi dengan penjagaan biasa pada orang dewasa tetapi hanya melaporkan keputusan jangka pendek. Kami tidak menemukan kajian pada remaja.
Apakah batasan bukti?
Secara umum, kami agak tidak pasti tentang kesan aplikasi telefon pintar. Keputusan perbandingan menunjukkan variasi yang luas yang tidak jelas menyokong terhadap aplikasi telefon pintar. Banyak kajian hanya mempunyai beberapa orang yang mengambil bahagian dan tempoh pemerhatian yang singkat.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Bukti ini adalah terkini sehingga 2 Oktober 2023.
Sila hubung cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini. Diterjemah oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia).