Kemoterapi intensif untuk penghidap kanser boleh menyebabkan sitopenia yang teruk dan berpanjangan (bilangan sel darah yang lebih rendah daripada biasa), terutamanya neutropenia (sel darah putih yang lebih rendah daripada biasa, yang membantu melawan jangkitan), keadaan kritikal yang berpotensi untuk mengancam nyawa. Apabila seseorang mengalami kedua-dua demam dan neutropenia, ia dipanggil neutropenia febril (FN). Penyakit kulat invasif (IFD; jangkitan yang disebabkan oleh kulat) adalah salah satu punca serius FN yang disebabkan oleh kemoterapi.
Terdapat dua strategi rawatan dalam situasi ini. Dalam terapi antikulat empirikal, ubat antikulat diberikan apabila doktor mula-mula mengesyaki terdapat jangkitan kulat (contohnya seseorang masih demam selepas empat hingga tujuh hari dengan terapi antibiotik, atau doktor masih cuba menentukan punca demam) . Dalam terapi pendahuluan, doktor menggunakan beberapa siri ujian saringan makmal untuk mencari punca jangkitan sebelum memulakan ubat antikulat.
Berbanding dengan terapi empirikal, terapi pendahuluan mungkin mengurangkan penggunaan ubat antikulat dan kesan buruk yang boleh ditimbulkannya, tetapi boleh meningkatkan bilangan kematian. Faedah dan kemudaratan yang berkaitan dengan dua strategi rawatan tersebut masih belum ditentukan.
Siapakah yang akan berminat dengan ulasan ini?
Profesional penjagaan kesihatan, termasuk pakar onkologi klinikal; penghidap kanser dan orang di sekeliling mereka.
Apakah soalan yang ingin dijawab oleh ulasan ini?
Ulasan sistematik ini bertujuan untuk mencari dan menilai bukti untuk keberkesanan relatif (sejauh mana ia berfungsi); keselamatan (bilangan dan keterukan kesan sampingan); dan kesan terapi antikulat pendahuluan berbanding empirikal terhadap penggunaan ubat antikulat pada penghidap kanser yang mengalami FN.
Kajian mana yang disertakan dalam ulasan ini?
Kami mencari pangkalan data perubatan elektronik untuk mencari semua kajian berkaitan yang menyertakan orang dewasa dengan kanser yang mengalami FN. Untuk disertakan, kajian tersebut perlulah kajian rawak terkawal (RCT), yang bermaksud peserta dibahagikan secara rawak (secara kebetulan sahaja), untuk menerima sama ada ubat antikulat empirikal atau pendahuluan (carian terakhir Oktober 2021). Kami menyertakan tujuh kajian, melibatkan 1480 orang, yang membandingkan strategi rawatan antikulat empirikal dan pendahuluan.
Apakah bukti daripada ulasan ini memberitahu kami?
Bagi penghidap kanser dan neutropenia febril, mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan kematian antara mereka yang menerima terapi pendahuluan dan mereka yang menerima terapi antikulat empirikal. Terapi pendahuluan boleh meningkatkan kadar pengenalpastian IFD, dan mengurangkan tempoh dan kadar penggunaan ubat antikulat, tetapi tidak menunjukkan pengurangan kesan buruk. Kepastian bukti adalah dari sangat rendah hingga rendah; paling baik, keyakinan kami terhadap anggaran kesan adalah terhad.
Apakah yang patut berlaku seterusnya?
Terapi pendahuluan mungkin merupakan kaedah rawatan yang berpotensi untuk penghidap kanser yang mengalami FN. Memandangkan kajian melaporkan rawatan yang berbeza, menyeragamkan protokol rawatan akan membantu untuk menentukan penilaian yang lebih sah terhadap kesan rawatan.
Diterjemahkan oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my