Mengapakah penting untuk mengkaji sklerosis berbilang?
Sklerosis berbilang (MS) adalah penyakit kronik otak, tulang belakang, dan saraf. Berjuta-juta orang di seluruh dunia menghidap penyakit ini, tetapi cara ia berkembang adalah sangat berbeza dari individu ke individu. Walaupun MS tidak dapat disembuhkan, pelbagai rawatan yang ada boleh membantu mengurangkan gejala dan melambatkan kemerosotan penyakit. Rawatan ini berfungsi secara berbeza, dengan sesetengahnya mempunyai kesan sampingan yang lebih teruk daripada yang lain. Memahami tahap keterukan MS seseorang adalah penting kepada pesakit dan profesional perubatan.
Mengapakah model prognostik penting dalam konteks sklerosis berbilang?
Model prognostik membantu pesakit dan profesional perubatan memahami kesakitan sesorang kini dan akan datang. Pemahaman ini menyokong pesakit dalam kehidupan seharian dan pemilihan rawatan. Model prognostik juga boleh membantu profesional perubatan memutuskan cara rawatan terbaik untuk individu, memahami penyakit dengan lebih baik, atau untuk membangunkan rawatan. Model prognostik MS mungkin melibatkan penggabungan pelbagai cebisan maklumat yang berbeza tentang individu untuk meramal bagaimana MS mereka akan terus berkembang. Contoh maklumat penting yang perlu disertakan dalam model prognostik termasuklah, maklumat tentang ciri peribadi (seperti umur, jantina, indeks jisim badan), maklumat tentang tingkah laku mereka (seperti sama ada mereka merokok) dan maklumat tentang MS (seperti berapa lama mereka telah menghidap penyakit tersebut). Ciri-ciri atau ukuran-ukuran klinikal lain mungkin juga penting.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami ingin mencari semua model prognostik yang menggabungkan berbilang maklumat untuk meramalkan bagaimana MS akan terus berkembang dan bertambah teruk pada orang dewasa.
Apakah yang kami lakukan?
Kami menggunakan teknik yang berbeza untuk mencari semua kajian yang menerangkan model prognostik, yang menggabungkan pelbagai maklumat, yang dibangunkan dalam konteks MS. Kami berminat dengan kajian yang menunjukkan cara model prognostik ini dibangunkan, serta kajian yang menilai sejauh mana model tersebut berfungsi dalam amalan. Setelah kami menemui semua kajian yang berkaitan, kami merumuskannya dan menilai sebaik mana mereka melaporkan keputusan mereka dan sebaik mana ia dijalankan.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 57 kajian yang menerangkan model prognostik menggabungkan pelbagai maklumat untuk meramalkan bagaimana MS akan terus berkembang dan bertambah teruk pada orang dewasa. Kajian-kajian ini menerangkan perkembangan 75 model prognostik yang berbeza. Terdapat 15 keadaan di mana prestasi model prognostik tertentu dinilai.
Kami menemui bahawa model prognostik memberi tumpuan kepada hasil yang berbeza; 41% melihat perkembangan penyakit, 8% pada relaps, 18% pada perkembangan dari serangan pertama ke MS yang dipastikan, dan 28% pada perkembangan dari MS peringkat awal ke MS progresif. Model prognostik yang kami temui sangat berbeza antara satu sama lain. Contohnya, pesakit yang mereka sertakan untuk membangunkan model sangat berbeza dari segi rawatan. Di samping itu, cebisan maklumat yang mereka gunakan untuk meramalkan perkembangan MS sangat berbeza antara satu sama lain. Kami menemui bahawa model prognostik telah berubah dari semasa ke semasa mengenai diagnosis MS dan peningkatan dalam penggunaan rawatan, maklumat yang ditemui dengan teknik baharu, atau pendekatan pemodelan baharu. Kami juga menemui bahawa penggunaan model prognostik ini memerlukan maklumat individu yang memerlukan pakar perubatan dan selalunya peralatan pakar, kedua-duanya mungkin tidak sedia ada di banyak klinik dan hospital.
Apakah batasan bukti?
Kami menemui masalah dalam kebanyakan kajian, bermakna kami mungkin tidak boleh mempercayai keputusan mereka. Masalah biasa melibatkan data dan kaedah statistik yang digunakan merentasi kajian. Selain itu, banyak kajian melaporkan keputusan yang mungkin sangat berbeza jika model prognostik digunakan pada set baru pesakit MS. Kami juga menemui bahawa kajian tidak menerangkan kaedah mereka dan melaporkan penemuan mereka dengan baik.
Apakah maksudnya?
Kajian yang kami temui menunjukkan bahawa bukti mengenai model prognostik untuk meramalkan bagaimana MS akan terus berkembang dan bertambah buruk pada orang dewasa masih belum dibangunkan dengan baik. Penyelidikan baharu yang menumpukan pada penggunaan kaedah yang disyorkan dalam garis panduan untuk membangunkan model prognostik dan menilai prestasinya adalah diperlukan. Penyelidikan ini juga harus memberi tumpuan kepada penerangan kaedah dan keputusan mereka dengan baik, supaya penyelidik dan profesional perubatan lain boleh menggunakannya untuk penyelidikan dan amalan klinikal.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my, untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).